hati

Merenung sengsara Lombok

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Boleh saja kalau wanita ini meneruskan kehidupan selesa sebagai pemilik spa.

Tidak perlu merentas hutan belantara untuk menjengah perkampungan Orang Asli, apatah lagi menerjah hiruk-pikuk kota yang musnah akibat bencana gempa.

Namun kata Rafizah Hashim, 51, dia amat bersyukur kerana jiwa dan hatinya sentiasa digerakkan Allah SWT untuk menyantuni orang yang memerlukan.

Lebih daripada itu, dia juga percaya rezeki dan kemampuan diri yang dibekal Tuhan ketika ini adalah untuk dikongsi bersama.

Bertanya khabar baru-baru ini, Rafizah berkata, dia kini dalam usaha membantu mangsa bencana di Lombok dan Palu, Sulawesi.

Malah dia begitu terkesan dengan pengalaman yang diperoleh ketika kunjungan pertamanya ke Lombok pada 15 September lalu.

“Saya ke sana mewakili Kembara Cintami untuk Misi Bantuan Pemulihan Gempa Bumi Lombok bersama empat lagi badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Amal Relief Malaysia, Peduli Care, People Care dan Mahabbah Barokah.

“Jauh berbeza dengan program Kembara Cintami bersama masyarakat Orang Asli di Malaysia, di sana saya melihat sendiri kesengsaraan dan penderitaan dihadapi mangsa bencana alam.

“Tiba saja di lapangan terbang, perasaan sudah bercampur-baur. Sebak dan sedih kian terasa apabila tiba di lokasi terjejas. Kami lihat majoriti penduduk masih mendiami khemah yang dibina sendiri.

“Itu pun bukanlah sempurna. Ada yang mendirikan sisa atap, khemah tidak berdinding, menumpang cebisan runtuhan, berteduh di bawah pokok dan kanvas lusuh. Ternyata mereka berani dan sanggup menerima ujian ini dengan tabah,” katanya.

Kata Rafizah, dia bersama 13 sukarelawan misi memang sedia maklum dengan cara hidup penduduk Lombok yang kebanyakannya bertani dan menternak untuk menyara kehidupan.

Padi antara tanaman yang diusahakan untuk menampung keperluan seisi keluarga. Lazimnya, separuh daripada beras yang dihasilkan akan dijadikan makanan harian dan selebihnya dijual bagi mendapatkan keperluan lain buat keluarga.

“Bagaimanapun, masyarakat di sini mengadu mereka berdepan kehidupan lebih sukar apabila gempa berlaku, ditambah musim panas yang memeritkan. Mereka bukan saja hilang punca pendapatan, tempat berteduh dan sumber makanan, malah sukar mendapatkan bekalan air bersih.

“Jadi, kehadiran anggota sukarelawan di sana memang dinanti. Sebelum ke perkampungan, saya bersama anggota misi yang lain singgah ke pasar berhampiran untuk membeli barang keperluan untuk penduduk kampung.

“Kami beli beras, mi segera, minyak masak, air mineral, telur, gula dan beberapa barang keperluan dapur yang dirasakan sesuai. Semua perbelanjaan hasil sumbangan bersama rakan NGO,” katanya.

Sokongan moral

Sekalipun sedar banyak sumbangan dari segi kelengkapan dan keperluan diperlukan kelompok masyarakat terjejas, Rafizah percaya sokongan emosi masih diperlukan untuk membantu mereka mendapatkan semula keberanian menempuh hari mendatang.

“Sepanjang berada di sana, saya dan ahli NGO lain sibuk dengan kerja mengagih sumbangan. Pada masa sama, kami juga beri sedikit motivasi kepada anak mangsa yang terbabit.

“Setiap kali menatap wajah mereka, saya sebak. Sedih mengenangkan nasib yang menimpa mereka pada usia begitu muda. Kadang-kadang sampai mengalir juga air mata. Tapi selalu saya ingatkan pada diri untuk menjadi penguat semangat mereka.

“Kami berusaha menceriakan suasana yang mulanya memang suram. Alhamdulillah, dalam serba kekurangan, mereka masih mampu mengukir senyuman ceria. Kenangan paling indah buat diri saya apabila mengingatkan lagu Gempa nyanyian kanakkanak di Lombok.

“Meskipun melalui ujian pahit, mereka sempat menyanyikan lagu bertajuk Gempa untuk anggota misi. Antara bait lagunya berbunyi, ‘Kalau ada gempa, lari bawah meja’. Lirik itu membuatkan saya ketawa, tetapi tanpa sedar air mata tetap mengalir,” katanya.

Perbualan sunyi sementara Rafizah menyambung cerita. Kata ibu kepada tiga anak ini, kembara ke Lombok jauh berbeza dan sukar diungkap dengan kata-kata.

“Biasanya, kalau mengembara di pelosok belantara bersama Orang Asli pun masih ada banyak tempat yang saya tidak berkesempatan untuk pergi namun perasaan di Lombok jauh berbeza. lebih-lebih lagi dua hari sebelum saya berangkat pulang.

“Saya sempat rasa sendiri gegaran menakutkan itu. Gempa sederhana berukuran 5.5 skala richter sudah cukup untuk menyedarkan saya daripada tidur. Saya menyebut nama Allah SWT tanpa henti.

“Tidak dapat saya membayangkan bagaimana perasaan kanak-kanak yang sentiasa dihambat trauma akibat gempa ini. Kami semua cukup terkesan. Betapa hebatnya kuasa Allah SWT yang boleh membolakbalikkan bumi ini dalam tempoh yang singkat,” katanya sebak.

Masih perlu dibantu

Biarpun gegaran gempa masih terasa kejap di hujung kaki, Rafizah nekad kembali ke Lombok buat kesekian kali hujung Oktober ini.

Katanya, banyak lagi yang perlu dibantu untuk memastikan masyarakat Lombok dapat berdiri dengan yakin kembali.

“Semuanya diperlukan. Tidak kira sama ada makanan, selimut, pakaian, air dan yang paling utama adalah tempat perlindungan.

Ketika di sana, saya sempat melawat satu rumah yang dibina secara pasang siap.

Ini diusahakan sendiri satu NGO di Lombok. Hasil perbincangan, kami samasama bersetuju bekerjasama mengumpul sumbangan bagi membina rumah pasang siap ini.

“Kami sepakat membentuk pasukan dan mendaftar Peduli Relief di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Ketika ini kami dalam usaha mengumpul lima rumah yang dianggarkan berharga RM25,000. Ia dijangka bertahan selama dua tahun, sementara kerajaan Indonesia mula menyiapkan bantuan rumah untuk mangsa awal tahun depan.

“Untuk pengetahuan, sebanyak 84,000 rumah musnah teruk dalam kejadian gempa di Lombok Utara dengan 840 masjid terbabit sama. Inilah masanya untuk kita sama-sama membantu masyarakat Lombok yang 80 peratus daripadanya adalah Muslim,” katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2018 @ 4:26pm
d