hati

Solekan sesuai untuk si wajah bulat

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

SETIAP wanita memiliki kecantikan tersendiri. Ada yang dianugerahkan wajah manis berbentuk bujur, tidak kurang si comel pemilik wajah bulat dan pemilik wajah unik bersegi.

Tidak kira bagaimana bentuk wajah seseorang itu, tentu saja masing-masing mempunyai keistimewaan ditambah dengan personaliti diri menarik yang melengkapkan penampilan.

Mungkin ramai beranggapan wanita yang memiliki bentuk wajah bulat sukar untuk tampil menawan namun ternyata persepsi itu tidak boleh diterima sama sekali. Ini kerana pemilik bentuk wajah bulat pada hakikatnya lebih mudah kelihatan menonjol berbanding yang lain.

Ternyata teknik solekan yang tepat memainkan peranan besar dalam mempengaruhi penampilan diri seseorang namun dalam keterujaan bersolek, langkah berwaspada perlu ditekankan supaya solekan dilakar itu bersesuaian dan manis dipandang.

Berkongsi pendapat dalam menghasilkan solekan sesuai untuk si comel berwajah bulat, jurusolek Hilmi Awall(@hilmiawall_the_hairstylist) berkata, teknik utama adalah pembayang dan pembentukan wajah supaya hasil yang diinginkan dapat dihasilkan.

“Jangan keterlaluan, apa yang utama adalah hasil solekan itu kelihatan sekata. Jadi sebaik-baiknya gunakan teknik pembentukan dan pembayang pada kedua-dua belah rahang kerana ia penting dalam mendapatkan wajah berbentuk V.

“Bukan berniat untuk mengubah bentuk wajah namun teknik ini perlu dilakukan dengan tepat bagi memastikan bentuk wajah tampak menarik,” katanya.

Menurut Hilmi, soal penggunaan rona dalam solekan tidak menjadi masalah. Anda boleh menggunakan sebarang warna, namun apa yang penting rona dipilih itu bersesuaian dengan busana atau gaya yang ingin dihasilkan.

“Namun begitu, langkah selamat adalah penggunaan rona tanah terutama apabila menyentuh mengenai solekan harian kerana ia bakal memberi hasil yang manis dan lembut.

“Hakikatnya, pemilik wajah bulat tidak perlu bersedih kerana teknik solekan yang tepat dapat membuatkan anda kelihatan lebih segar dan tidak jemu dipandang walaupun pada rutin harian yang padat,” ujarnya.

Hilmi berkongsi langkah demi langkah menghasilkan solekan khusus untuk si pemilik wajah bulat.

Disiarkan pada: October 17, 2018 @ 11:31am
d