hati

Bangun awal baca al-Quran

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

BUKAN mudah mengekalkan kecantikan dan kesihatan apabila usia sudah melebihi angka 50 tahun. Cantik, langsing dan sentiasa berseri setiap kali dipandang menjadi antara impian mana-mana wanita tidak kira berapa pun usia mereka.

Namun untuk mencapai apa yang diimpikan itu tidak semudah disangka, ada yang berjaya mengekalkan kecantikan wajah namun badan pula mengembang. Ada pula yang kekal langsing namun wajah pula kelihatan kusam dan tidak bermaya.

Inilah yang dinamakan kehidupan, atas pelbagai faktor terutama perubahan hormon ketika mengandung dan melahirkan anak, ramai wanita yang terpaksa akur dengan keadaan diri walaupun sudah berusaha mencuba pelbagai kaedah.

Berbeza dengan si empunya nama Dilla Muhamad, tentu saja ramai cemburu dengan kecantikan wajah dan tubuh badan langsing dimilikinya.

Walaupun sudah mencecah usia 52 tahun, Dilla tidak sesekali menjadikan usia sebagai penghalang kepadanya kekal cantik dan sihat.

Berkongsi tip dan rutin harian diamalkan sejak berusia belasan tahun, Dilla berkata, dia sentiasa memegang nasihat diturunkan ibunda tercinta yang menyarankannya bangun tidur setiap jam 3 atau 4 pagi setiap hari.

“Ibu selalu nasihat jika mahu cantik, saya perlu bangun pada jam 3 hingga 4 pagi. Bangun dan kemudian mengaji dalam tempoh setengah jam.

“Saya amalkan perkara itu hingga kini dan syukur, saya sendiri dapat merasai nikmatnya apabila mengikut nasihat ibu,” katanya.

Selain itu, Dilla berkata, selepas selesai mengaji dia akan tidur semula seketika sebelum bangun pada waktu Subuh.

“Saya tidak akan tidur semula selepas selesai solat Subuh, sebaliknya akan bersenam. Tidur selepas solat Subuh akan membuatkan badan terasa lesu, tidak bermaya dan timbul perasaan malas. Kadangkala timbul juga rasa malas tetapi saya cepat-cepat bersiap supaya keinginan untuk bermalas-malasan itu hilang.

“Cara senaman saya mudah saja iaitu dengan berjalan. Ini senaman paling mudah dan ringan tetapi memberi kesan yang besar kepada saya. Saya akan berjalan laju mengikut kemampuan diri dan kebiasaannya dilakukan di kawasan berhampiran rumah.

“Senaman ini bukan saja untuk stamina tetapi juga amat penting bagi menjaga kesihatan khususnya bagi orang yang sudah berusia seperti saya. Apa yang saya suka, ia seolah-olah memberi aura positif kepada saya. Saya rasa lebih bersemangat dan bertenaga,” katanya.

Baginya, semua wanita tidak kiralah berapa pun usia mereka perlu memulakan usaha menjaga kesihatan diri dengan bersenam. Tidak kira sesibuk mana pun, mesti meluangkan sedikit masa untuk melakukan aktiviti kecergasan kerana ia akan menambah stamina supaya kita boleh kekal cergas sepanjang hari.

Jika tidak sempat melakukan senaman pada waktu pagi, ia boleh diselitkan ketika waktu makan tengah hari. Jika tidak, buatlah senaman ringan pada waktu malam ketika sambil menonton televisyen.

Menurut Dilla, selesai bersenam, dia akan mengambil sarapan berkhasiat terutama buah-buahan. Antara buah-buahan kegemarannya ialah buah tempatan yang mengandungi pelbagai khasiat.

“Saya yakin rutin harian yang teratur ini akan membantu diri kekal sihat dan mengelak daripada sebarang penyakit tidak diingini.

“Syukur, pada usia kini, saya masih sihat dan terhindar daripada sebarang penyakit,” katanya.

Dilla yang mengusahakan spa kecantikan miliknya berkata, atas faktor usia juga, dia perlu mengehadkan pengambilan makanan setiap hari.

“Saya perlu mengambil makanan berkhasiat namun dalam jumlah yang kecil iaitu satu senduk.

“Tidak kira apa juga makanan sama ada nasi, mi, bihun atau apa saja, saya akan pastikan mengambilnya dalam kuantiti kecil iaitu hanya satu senduk. Sedap macam mana pun, hadnya cuma satu senduk,” ujarnya sambil tersenyum.

Seolah-olah dapat membaca kehairanan penulis, dia menambah, tidak mudah untuk mengambil makanan dalam kuantiti sekecil itu. Namun oleh kerana ia sudah menjadi amalan sejak muda, jumlah berkenaan dirasakan cukup untuknya. Apa yang penting, makanan diambil perlulah seimbang.

Menurut Dilla, dia juga gembira kerana jadual pemakanan diamalkan menjadikan dia sihat dan terhindar daripada masalah perut buncit.

“Saya turut melalui proses kehamilan dan melahirkan dan kini tiga anak saya semuanya sudah dewasa. Mungkin ada yang menyangkakan saya tidak mempunyai cahaya mata kerana masih kekal langsing.

“Selain itu, saya juga mengamalkan makan manjakani secara rutin. Ini bukan saja baik untuk kesihatan wanita namun ia juga memberikan tenaga dan mengurangkan rasa penat walaupun pada hari-hari sibuk,” katanya.

Dilla berkata, selain pemakanan, dia juga sentiasa memastikan dirinya kekal positif dan mengelak terjebak dengan sebarang masalah.

“Sejujurnya saya tidak suka rapat dengan individu negatif kerana ia bakal memberi aura negatif kepada saya. Saya jenis insan yang ceria. Bagi saya keceriaan itu penting dan kita juga mesti pandai mencari kaedah untuk menggembirakan diri sendiri.

“Masalah itu sentiasa ada, cuma kita perlu pandai mengendalikannya dan melihatnya dari sudut positif. Barulah ia tidak membelenggu fikiran kita sepanjang masa.

“Satu perkara lagi, jangan sesakkan fikiran dengan perkara yang tidak sepatutnya atau yang tidak memberi faedah kepada kita. Luangkan masa juga untuk menjalani rawatan kecantikan sebagai ganjaran kepada diri sendiri selepas penat bekerja. Ia antara cara yang boleh membuatkan kita berasa lebih yakin dengan diri sendiri dan membantu fikiran untuk menjadi lebih positif,” ujarnya.

Disiarkan pada: October 17, 2018 @ 11:40am
d