hati

Latih juruterapi profesional

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Bertemu wanita ini ketika mengintai produk usahawan di Fiesta Halal Malaysia (Halfest) Giant 2018. Sedang sibuk bersembang dan mencuba sampel hidangan, wanita ini menyelit memperkenalkan diri.

Katanya, dia adalah pengusaha spa yang mahir dalam urutan tradisional Melayu Melaka dan mempunyai minyak terapi khusus untuk membantu wanita menangani tekanan akibat pekerjaan dan keletihan. Sambil bercerita, Suzana Abu Talib, 35, sempat menyapu sampel produk di tangan. Nyaman, sejuk dan menenangkan.

Terlihat kesungguhan pada wajah ibu kepada tiga anak ini. Lontar suaranya bak bertih jagung. Namun apa yang lebih menarik, dia bukan sekadar menjual minyak terapi, tetapi turut menyuarakan peranca­ngannya untuk melahirkan lebih ramai ahli terapi profesional.

Nah, serentak itu raut wajah wanita ini ditenung dalam-dalam. Ternyata Suzana bukan wanita biasa. Bahkan, katanya, ramai yang pernah bertanya sama ada dia berstatus ibu tunggal kerana kerap dilihat bersendirian mengurus perniagaan.

“Alhamdulillah, saya punya seorang suami yang sangat kuat menyokong dari belakang. Dia tidak pernah mengehadkan potensi yang ada dalam diri, malah sentiasa melihat keupayaan saya dari perspektif berbeza.

“Dia juga me­ngenali saya sejak gadis. Ketika itu saya membantu ibu menebar roti canai di gerai kami. Kalau hendak dibandingkan, pencapaian akademik kami juga jauh berbeza kerana suami lulusan universiti, sementara saya terpaksa melupakan hasrat ke menara gading kerana keluarga tidak mampu,” katanya.

Alang-alang bercerita, kata Suzana, dia sebenarnya lahir di Kuching, Sarawak dan kerap berpindah kerana ayahnya seorang askar. Sehinggalah orang tuanya menamatkan perkhidmatan, mereka sekeluarga akhirnya memilih untuk menetap di Melaka.

“Saya anak sulung daripada empat beradik dan minat berniaga. Apabila tamat sekolah, saya nekad mencari duit, sekali gus mengurangkan beban tanggungan emak dan ayah.

“Tawaran ke universiti juga terpaksa diketepikan kerana kewangan keluarga tidak mengizinkan. Pilihan yang ada hanya membantu emak berniaga dan petang bekerja di spa. Upah sehari bekerja di spa pada masa itu RM8. Tapi sebab minat, saya beri peluang kepada diri untuk terus meneroka bidang kecantikan sebagai pekerja sambilan,” katanya.

Suka pada kecantikan

Menurut Suzana, minat pada penjagaan diri banyak dipengaruhi rutin dan petua tradisional yang diwarisi daripada emak sejak turun-temurun.

“Emak memang jenis yang mementingkan penjagaan tubuh. Setiap kali balik berniaga, emak akan suruh pakai bedak sejuk. Sedar tak sedar, itu antara pencetus minat untuk berniaga dan mengembangkan potensi diri.

“Pernah juga suami tanya apa yang hendak buat pada masa akan datang. Saya katakan minat memang dalam bidang penyediaan makanan dan kecantikan. Jadi, dia pesan kedua-dua ini memerlukan ilmu dan kemahiran.

“Pada masa itu, kolej komuniti yang menawarkan bidang kecantikan hanya ada di Kedah. Kalau emak dan ayah nak hantar sekalipun, pasti memerlukan kos yang tinggi. Sedangkan kami tidak mampu. Pe­nyudahnya, saya terus bantu emak di gerai dan belajar daripada pengalaman kerja di spa,” katanya.

Setahun melalui rutin harian yang sama, Suzana membuat keputusan untuk berhenti dan memajukan perniagaan spa bergerak miliknya sendiri. Wang simpanan yang ada dikeluarkan sedikit buat modal permulaan.

“Itu pun saya masih membantu emak di gerai pada sebelah pagi. Selepas solat Zuhur di rumah, barulah saya cari dan hubungi pelanggan. Kebanyakan mereka adalah pelanggan dari gerai emak sendiri.

“Sehinggalah pada 2007, saya bertemu jodoh dengan suami dan mengikutnya ke Kelana Jaya. Tidak banyak yang dapat saya lakukan sepanjang tinggal di Kuala Lumpur. Tambahan dengan suasana bandar, tinggal di pangsapuri, kehidupan terasing daripada masyarakat, semuanya merimaskan.

“Jadi, selepas melahirkan anak sulung, saya kembali semula ke Melaka, sementara suami kekal bekerja di Kuala Lumpur. Saya ambil kesempatan yang ada untuk menghidupkan kembali spa bergerak.

“Ramai pelanggan yang menghubungi dan bertanyakan khidmat rawatan. Pada masa sama, saya juga ditawarkan menjadi stokis pada satu jenama tempatan yang popular ketika itu,” katanya.

Sepanjang dua tahun berpegang kepada komitmen perniagaan dan spa, Suzana berjaya mengumpul sejumlah besar wang simpanan. Duit itu kemudian dijadikan modal untuk membuka spa pertama pada 2010.

“Banyak perkara baru yang saya terpaksa pelajari apabila membuka spa. Apabila kita berniaga, standard dan kemahiran perlu sentiasa di pertingkatkan. Dulu saya berniaga hanya mencari kemahiran.

“Apabila membuka spa, saya sedar ada tiga komponen penting yang perlu diberi perhatian utama iaitu servis dan produk; saluran pemasaran yang betul dan efektif dan pengurusan aliran tunai. Saya pula tidak mempunyai latar belakang pendidikan formal. Oleh itu, saya giat mengikuti kursus keusahawanan dan belajar secara formal serta tidak formal.

“Saya banyakkan bertanya kepada orang yang sudah berjaya dan dapat­kan tip daripada mereka. Kemuncaknya, saya ikut seminar intensif daripada pakar motivasi terkenal dan mula melakukan perubahan besar dalam hidup serta perniagaan,” katanya.

Jenama semula

Jelas Suzana, ilmu yang diperoleh sepanjang mengikuti kursus dan seminar dimanfaatkan sebaik mungkin. Pengurusan spa, premis, perkhidmatan, risalah, penentuan harga semuanya melalui proses penjenamaan sendiri.

Melengkapkan pakej dalam diri, pada 2015, Suzana mengambil sijil pembangunan kemahiran tahap dua dan tiga sebelum mendapatkan Sijil Pengajar Vokasional (VTO) untuk melatih lebih ramai juru terapi profesional.

“Semua ini diusahakan selepas ramai yang bertanya bagaimana saya boleh memulakan karier dan perniagaan daripada spa bergerak sehingga memiliki pusat rawatan spa sendiri. Mereka semua mahu belajar, tetapi saya tiada sijil dan kelayakan untuk mengajar.

“Jadi, suami beri cadangan supaya sambung belajar lagi. Kami rujuk ke Jabatan Pembangunan Kemahiran, mereka kata memang ada program untuk mengiktiraf kelompok yang sudah berpengalaman lebih lima tahun dalam industri.

“Syukur apabila semua perancangan lancar, saya berjaya membuka Akademi Sifu Spa, di sebelah spa. Di situ, saya tawarkan latihan kemahiran untuk belia, ibu tunggal dan mereka yang mahu belajar dalam bidang kecantikan. Menariknya, sejak ada akademi ini, kami berjaya mengeluarkan usahawan spa, malah ada yang berjaya buka spa lebih besar daripada saya,” katanya.

Tidak terhad kepada ilmu kecantikan, kata Suzana, dia juga mengajar teknik urutan tradisional Melayu Melaka. Malah, kemahirannya sebagai juruurut dan khidmat lima tahun sebagai anggota Kumpulan Sokongan Penyusuan Ibu di Hospital Jasin melengkapkan pakej wanita ini sebagai tenaga pengajar berpengalaman.

“Perjalanan saya masih jauh. Ada banyak lagi perancangan yang disusun pada masa depan. Namun, visi saya adalah untuk membantu memperkasa wanita. Saya tahu wanita hari ini terlalu penat bekerja, ditimbuni tekanan dan sukar untuk mencari masa mengurus diri.

“Sebab itu saya tawarkan pakej rawatan pada harga murah berbanding pasaran. Kami juga dalam proses menawarkan pelan terapi di tempat kerja. Saya mahu bangkitkan kesedaran dalam kalangan wanita mengenai pentingnya merawat dan mengadakan masa untuk diri mereka,” katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2018 @ 1:49pm
d