hati

Ligat promosi sambal belacan

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Ketika ramai wanita seusianya sibuk menjual barangan kosmetik, minuman kurus, alat solek, busana indah mahupun tudung pelbagai rekaan, Ruzaimah Badron, 29, ligat mempromosikan sambal belacan.

Agak janggal kerana wanita berasal daripada Kempas, Johor Bahru (JB) ini masih muda dan cantik orangnya. Jangan salah faham. Penulis bukan bermaksud orang yang menjual sambal belacan harus berumur dan berwajah ala kadar, tetapi realiti menunjukkan perniagaan sebegini lazimnya dimonopoli pengusaha berpengalaman dari kampung atau mereka yang sudah hampir ke pertengahan usia.

Apabila persoalan ini ditujukan kepada Ruzaimah, dia hanya tersenyum manis. Baginya, usia tidak menjadi soal dalam memilih jenis perniagaan asalkan ada kebolehan, keyakinan dan kesungguhan untuk berjaya.

Dia yang menyandang gelaran ibu tunggal sejak awal tahun ini mengakui memang minat berniaga sejak zaman persekolahan. Biarpun sekadar menjual gula-gula dan keropok, asalkan usahanya menguntungkan, dia sudah seronok.

“Sejak dulu kerja saya memang berniaga. Pernah juga saya cuba bekerja sambilan dengan orang selepas tamat sekolah, tetapi kebanyakan peluang yang datang tidak memberi kepuasan pada diri.

“Kemudian, saya berkahwin pada umur 19 tahun dan membuat keputusan berniaga dengan lebih serius. Saya mencuba pelbagai jenis perniagaan dan mula sedar memang meminati bidang pemasaran.

“Berikutan itu, saya beranikan diri menceburi beberapa perniagaan, termasuk menjadi stokis produk dan membuka kedai serbaneka untuk jenama pengeluar produk popular di Kuala Lumpur.

“Lima tahun berjauhan dengan suami dan keluarga, saya akhirnya mengambil keputusan menutup kedai dan kembali ke pangkuan keluarga dengan pelan perancangan perniagaan baru,” katanya.

Tidak pernah menyesali keputusan yang dibuat, Ruzaimah sebaliknya bersyukur kerana kepulangannya ke JB diiringi rezeki lebih besar dan bermakna. Sekian lama menanti zuriat, dia dikurniakan seorang anak angkat yang kini sudah pun berusia lima tahun.

Bermula kembali

Lama juga Ruzaimah menumpukan perhatian kepada si kecil kesayangan. Selepas itu, dia mengatur kembali langkahnya dalam dunia pekerjaan. Kali ini, anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik ini memilih bidang pemasaran sebagai perunding kewangan dan insurans.

“Saya tidak duduk diam. Sambil itu, saya menjual bubur di tepi jalan kerana lebih berminat kepada perniagaan yang kita boleh nampak aliran keluar masuk tunai setiap hari.

“Pernah juga kena kejar dengan anggota majlis perbandaran, tetapi semangat berniaga tidak pernah hilang. Saya juga pernah tular kerana menjual roti pelangi. Ramai yang menempah dari seluruh negara, namun akhirnya saya terpaksa tutup kerana tempahan sukar dikendalikan, selain terdapat masalah tertentu,” katanya.

Bermulanya episod sambal belacan kata Ruzaimah, adalah dari hobinya yang suka memasak dan menjamu orang. Kebetulan dalam keluarga pula memang semua adik-beradiknya mempunyai perniagaan sendiri.

“Kami sekeluarga bukanlah orang senang. Malah, mungkin lebih tepat dikategorikan sebagai miskin bandar. Kakak menjual jamu buatannya sendiri, ada juga wangian dan banyak lagi. Semuanya berusaha gigih untuk membantu ekonomi keluarga. Jadi, saya mula mencari jalan untuk turut memiliki perniagaan sendiri.

“Suatu hari, saya dan rakan merancang majlis jamuan. Selain menu utama, saya juga bawa sambal belacan. Selepas kawan merasainya, mereka mula menempah. Mungkin kerana saya menggabungkan tiga gaya masakan dari Indonesia, Thailand dan Jawa, mereka kata rasa sambal belacan itu unik serta sedap.

“Mungkin sudah tersurat rezeki, saya akhirnya menerima tempahan demi tempahan setiap minggu. Saya namakan resipi ini sebagai Sambal Belacan Tumbuk dan mula mengusahakan perniagaan dengan bantuan ibu,” katanya.

Ruzaimah berkata, sambal belacan dihasilkan memang unik kerana mempunyai tekstur dan rasa yang seimbang. Selepas versi limau kasturi laris dijual, dia menghasilkan pula sambal belacan tempoyak dan pelam muda.

“Alhamdulillah, hampir setahun dalam pasaran, saya begitu teruja kerana berjaya mendapat tempat di hati ramai pelanggan seluruh negara termasuk dari Singapura. Saya juga sudah mempunyai 200 ejen pesan hantar (drop ship) di seluruh negara.

“Saya anggap ini adalah rezeki selepas bangkit daripada masa lalu. Perceraian dengan bekas suami memberi tamparan buat diri, namun mustahil untuk saya terus mengalah dalam hidup.

“Apa yang berlaku sedikit sebanyak memberi kekuatan untuk saya melakukan yang terbaik dalam hidup. Saya punya anak yang masih kecil dan ibu untuk ditanggung. Jadi, ada eloknya jika saya terus fokus kepada perniagaan.

“Lagipun, emak memang banyak membantu sejak awal. Setiap kali adanya tempahan pada awal permulaan dulu, emaklah yang membantu saya menumbuk sambal. Sokongan dan restu emak sentiasa ada untuk saya.

“Cuma sekarang, saya pesan pada emak supaya berehat saja kerana umurnya kian meningkat. Keupayaan emak juga kian berkurang. Saya hanya minta emak doakan setiap hari supaya rezeki berpihak kepada kami dan dipermudahkan urusan,” katanya.

Selain emak, Samsiah Mohamad, 67, wanita ini juga bertuah kerana sentiasa dikelilingi ramai sahabat dan rakan usahawan yang tidak pernah lokek ilmu untuk memberi tunjuk ajar mahupun cadangan.

Kehadiran insan berhati mulia di sampingnya dianggap sebagai penguat untuk Ruzaimah mendepani cabaran dalam dunia perniagaan. Tambahan, bukan dia saja yang mengkomersialkan sambal belacan.

“Ada banyak jenama sambal, termasuk yang memang sudah dikenali sejak zaman-berzaman. Kadangkala, orang bezakan harga dengan jenama sedia ada dan mempersoalkan, kenapa mahal?

“Saya percaya, bagi yang sudah merasa, mereka sendiri tahu mengapa harga yang ditawarkan tinggi sedikit daripada jenama di pasaran. Tekstur sambal tumbuk, rasa unik, bahan berkualiti dan pembungkusan dijamin bersih. Semua ini tidak ada pada kebanyakan produk di pasaran.

“Jika ada peluang untuk terus berkembang dalam skala lebih besar, mungkin saya akan melangkah lebih jauh. Buat masa ini, pembuatan dilakukan di kilang kecil dan hanya babitkan tiga pekerja,” katanya.

Pesan Ruzaimah buat wanita, tidak kira apa pun jenis perniagaan yang hendak diceburi, amalkan disiplin dan sikap bersungguh-sungguh. Biarpun suami mampu memberikan segalanya, namun tidak bermakna wanita harus menjalani hidup selesa dan bergantung penuh kepada poket pasangan semata-mata.

“Berniagalah. Tidak kira walau sekecil atau sebesar mana sekali pun. Biar ada wang untuk poket sendiri dan mampu menghulur kepada ibu ayah di kampung. Ketepikan sifat malu dan penat. Jika tidak usaha, hasilnya tidak akan menjelma,” katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2018 @ 2:47pm
d