hati

Rezeki warisan nenek

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

BENAR kata orang, memasak ini perlukan ‘jiwa’, barulah keenakan sebenar dapat dirasa. Memasak bukan sekadar menyediakan hidangan untuk dimakan semata-mata namun ia lebih daripada itu kerana kepakaran memasak adalah anugerah yang tidak dimiliki semua.

Atas sebab itu, tidak semua individu dapat menghasilkan juadah yang ‘cukup rasa’ walaupun ada orang menganggap ia bukanlah sesuatu yang rumit dan mampu dilakukan sesiapa saja.

Mengakui memasak dan dirinya tidak dapat dipisahkan bak irama dan lagu, anak jati Tanjung Syawal, Klang, Selangor ini menggunakan sepenuhnya kemahiran dan ilmu dalam bidang masakan yang diturunkan daripada nenek tersayang.

Ternyata wanita yang juga ibu empat cahaya mata ini sangat bertuah kerana dia bukan saja mempunyai ilmu masakan yang tidak dapat dijual beli malah pada masa sama bijak mempelbagaikan resipi untuk menghasilkan hidangan luar biasa.

Semuanya bermula apabila semua adik-beradiknya mempunyai tugasan sendiri sewaktu kecil untuk membantu ibu, bapa dan nenek.

Memulakan bicara, Norfaralydia Nordin, 36, yang kini pemilik Dhiya Event & Catering berkata, ketika kecil, dia ditugaskan membantu ibu dan nenek menyediakan makanan di dapur.

“Saya mempunyai lima beradik, masing-masing mempunyai tugasan sendiri setiap hari seperti mengemas, membasuh baju, mencuci pinggan mangkuk dan saya pula ditugaskan memasak.

“Sejak kecil saya sudah biasa berada di dapur dan boleh dikatakan dapur adalah dunia saya. Saya tidak malu malah seronok kerana berpeluang belajar pelbagai resipi yang diajar nenek,” katanya.

Menurutnya, ilmu yang diturunkan itu ditambah dengan minat menjadikan dia mula berfikir sesuatu yang dapat menjana pendapatannya.

“Saya juga sudah biasa dengan perniagaan makanan memandangkan ibu berniaga di kantin dan saya juga sering membantu ibu.

“Saya selalu berfikir cara terbaik untuk tidak mensia-siakan bakat, pengalaman dan ilmu yang ada ini bukan semua orang mempunyai ilmu masakan,” ujarnya.

Lulusan jurusan kulinari dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini juga mengakui dia kemudian memilih bidang yang sememangnya diminati atas niat untuk memulakan perniagaan di samping menimba ilmu.

“Bermula empat tahun lalu, saya memberanikan diri menerima tempahan masakan. Mulanya saya terima tempahan kecil-kecilan dan apabila sudah biasa dan yakin barulah berani mengambil tempahan bersaiz besar.

“Sesungguhnya rezeki itu datang daripada Yang Maha Esa dan saya amat bersyukur kerana langkah menceburi bidang ini sememangnya satu pilihan tepat,” katanya.

Norfaralydia berkata, hari demi hari, perniagaan kateringnya semakin berkembang dan hingga kini, dia bersyukur dengan apa yang dinikmati.

TURUN DAPUR SEDIAKAN TEMPAHAN

Menurut Norfaralydia, walaupun sudah mempunyai pekerja, sehingga kini dia masih turun ke dapur setiap kali menyiapkan tempahan.

“Ini bukan soal tidak percaya kepada pekerja tetapi bagi saya, ini adalah soal air tangan. Saya sendiri akan memeriksa semua bahan masakan, resipi dan cara penyediaan bagi menjaga kualiti makanan terutama rasa dan kebersihan.

“Saya juga amat bertuah kerana perniagaan ini banyak dibantu ahli keluarga terutama suami dan hampir semua bahagian dalam soal pengurusan perniagaan diuruskan bersama-sama keluarga,” ujarnya.

Menurutnya, selepas lima tahun berada dalam bidang ini, dia bersyukur dengan apa yang berjaya dikecapi.

“Bidang katering ini banyak saingan, disebabkan itu saya tidak boleh bekerja sambil lewa dan mesti sentiasa cuba lakukan yang terbaik.

“Menyentuh soal hidangan, saya amat gembira kerana menu daging masak hitam yang olahan sendiri mendapat sambutan menggalakkan dan rata-rata pelanggan menggemarinya.

“Selain keenakan makanan, kami juga menitikberatkan hiasan sesebuah majlis. Bagi mencipta kelainan kami menjadikan sampan kayu yang dihias indah sebagai tempat meletak hidangan pada sesuatu majlis,” katanya.

Norfaralydia berkata, bagi memudahkan pelanggan, dia tidak menetapkan jumlah minimum tempahan dan semuanya bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Saya menerima semua jenis tempahan untuk pengurusan majlis dan katering termasuk majlis perkahwinan, pernikahan, pertunangan, akikah dan hari lahir.

“Saya juga kini mempunyai tiga van dan sebuah lori bagi memudahkan proses penghantaran makanan juga perkhidmatan sewaan khemah,” ujarnya.

Mempunyai sasaran untuk meluaskan empayar perniagaan, Norfaralydia berkata, pihaknya kini sedang dalam proses membina bangunan tiga tingkat bagi memudahkan perjalanan perniagaan.

“Bangunan ini dalam pembinaan dan saya menjangkakan ia akan siap sepenuhnya menjelang 2019. Buat masa kini, kami beroperasi sepenuhnya di kawasan kediaman saya sendiri.

“Melihat kepada pencapaian sekarang, saya bersyukur dianugerahkan ibu bapa yang sangat membantu bahkan merekalah yang memberi saya modal untuk memulakan perniagaan ini,” katanya.

Katanya, dia juga berharap perniagaan katering diuruskan semakin berkembang maju bukan saja di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur malah di seluruh Malaysia pada masa akan datang.

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 5:01am
d