hati

Rawat rambut guna bahan organik

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

KECANTIKAN individu tidak hanya diukur melalui penampilan wajah yang berseri, namun ia dinilai secara menyeluruh bermula daripada rambut sehingga ke hujung kaki.

Masalah rambut gugur yang dihadapi kebanyakan wanita boleh menghilangkan keyakinan diri apabila hari demi hari, rambut menjadi semakin tipis sehingga menampakkan kulit kepala. Semua ini menyerlahkan kesan penuaan pada seseorang.

Ia masalah biasa bagi kebanyakan wanita dan lelaki kerana dalam keadaan normal, manusia kehilangan kira-kira 100 helai rambut sehari.

Keguguran rambut biasanya diikuti dengan kemunculan kelemumur, rambut bercabang, kusam, kering dan masalah berkaitan yang lain.

Rawatan rambut menggunakan herba ayurveda dan henna (inai) adalah antara penyelesaian untuk menjaga kesihatan rambut. Banyak manfaat yang boleh didapati dengan melakukannya, salah satunya mampu membuatkan rambut lebih sihat dan terhindar daripada kerosakan yang disebabkan oleh kurangnya nutrisi dan perawatan.

Kesempatan membelai rambut dengan kaedah ini di Dhiya Ammani Spa & Hair Care di Bangunan PJ21, Petaling Jaya baru-baru ini begitu mengujakan lebih-lebih lagi rawatan berkenaan menggunakan 100 peratus bahan organik.

Kali pertama melangkah ke salun itu disambut mesra pemiliknya, Noor Shahbina Omar yang tidak lokek berkongsi petua rambut sihat menggunakan bahan semula jadi, malah aroma herba yang menjadi antara bahan untuk rawatan begitu menyegarkan sesiapa yang berada di salun itu.

Campuran bahan semuanya diadun sendiri oleh Noor Shahbina menggunakan yogurt untuk pelanggan yang menghadapi masalah seperti keguguran rambut.

“Saya gunakan herba buatan sendiri dan ada antaranya saya dapatkan dari Kerala, India. Perawatan rambut menggunakan herba ayurveda dan inai ini adalah warisan turun-temurun daripada nenek yang diamalkan sejak saya kecil.

“Saya juga mendapat idea membuka pusat rawatan rambut khusus untuk wanita empat tahun lalu selepas mendapat banyak maklum balas kesukaran mereka terutama yang bertudung mendapatkan rawatan rambut.

“Apa saja rawatan yang saya tawarkan adalah asli kerana saya mahu memberi kesedaran kepada orang ramai rawatan secara semula jadi boleh membantu pelbagai masalah rambut,” katanya.

Menurutnya, rawatan rambut yang dinamakan Miracle Henna itu terdiri daripada ramuan campuran herba dan yogurt serta pati minyak yang menyediakan nutrisi untuk bagus untuk rambut.

Rawatan itu antara lain dapat memberi kesegaran dan keaslian rambut kerana dalam perawatan ini akan diberikan beberapa nutrisi yang diperlukan rambut misalnya jus enzim.

Rawatan ini juga membantu mengatasi kelemumur dan masalah lain. Urutan yang dilakukan semasa rawatan juga bermanfaat untuk melancarkan peredaran darah.

Selain itu dengan melakukan urutan, penyerapan nutrisi ke dalam kulit kepala lebih lancar dan membantu meningkatkan kesihatan kulit.

Noor Shahbina berkata, rawatan itu biasanya mengambil masa dua jam dimulai dengan rundingan, ultrasonik, sapuan jus enzim di kulit kepala, urutan kepala dan bahu. Rambut kemudian diwap diikuti aplikasi campuran inai ke seluruh kepala dan dibiarkan mengering kira-kira 30 minit. Seterusnya rambut dibilas sebelum disapukan perapi. Kemudian, rambut disembur dengan pati limau untuk mengurangkan bau herba dan dikeringkan dengan lembut.

Sebelum rawatan dimulakan, Noor Shahbina akan meneliti masalah rambut yang dihadapi pelanggan dan melakukan analisis menggunakan mesin khas. Dari situlah, dia membuat campuran bersesuaian mengikut masalah masing-masing dan rawatan dibantu dengan khidmat pendandan yang bukan saja mahir, malah berpengalaman dan pandai mengurut.

Selain itu, dia turut menyediakan set rawatan di rumah bagi memudahkan pelanggan yang tidak berkesempatan ke spa atau lelaki yang mahu mendapatkan manfaat sama daripada rawatan itu.

Hasil rawatan adalah keutamaan Noor Shahbina dan dia memastikan pelanggannya benar-benar berpuas hati dengan keputusan rawatan. Oleh itu, jika tiada kemajuan dalam rawatan, semua aspek diambil kira misalnya bahagian campuran yang perlu diubah suai dan diubah hingga mendapat hasil positif.

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 7:04am
d