hati

Demi alam sekitar

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Manis sungguh senyuman wanita ini tatkala menyapa buat kali pertama. Biarpun majlis hanya menunggu masa untuk bermula, Prof Madya Dr Norhayati Abdullah tetap tenang memenuhi permintaan untuk dirakam gambarnya.

Tidak kekok mahupun kalut, wanita ini cukup profesional bertolak ansur dengan masa dan keadaan. Terbit rasa bangga saat melihatnya melangkah yakin ke pentas untuk membentangkan penyelidikan dibuat mengenai butiran enapcemar (aerobic granular sludge) di depan ratusan tetamu majlis Anugerah Tahunan L’Oreal-UNESCO For Women in Science 2018.

Itu belum lagi meneliti latar belakang sebenar. Wanita ini menyandang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan Felo International Water Association (IWA) hingga 2022, Naib Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA), bekas Pengerusi Young Water Professional IWA, menerima IWA Young Water Professional Award 2012 di Busan, Korea Selatan dan berpengalaman menyampaikan pelbagai ucaptama di beberapa persidangan IWA.

Terbukti ibu kepada tiga anak berusia lima hingga 15 tahun ini bukan calang-calang wanita. Pada usianya baru mencecah 38 tahun, Dr Norhayati sudah bergelar saintis. Cintanya kepada alam sekitar melayakkan dirinya menerima Anugerah Tahunan L’Oreal-UNESCO For Women in Science Ke-13.

Kata anak kelahiran Labis, Johor ini, dia memilih bidang berkaitan alam sekitar atas rasa tanggungjawab untuk membantu memelihara dan memulihara sumber seperti air, tenaga serta makanan.

“Ketika ini saya berkhidmat sebagai penyelaras perhubungan antarabangsa di Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Suami saya, Prof Madya Dr Muhamad Ali Muhammad Yuzir, juga pensyarah di universiti sama. Malah, bekerja dalam bidang sama sejak lebih 10 tahun lalu.

“Sebenarnya, ketika remaja dulu saya meminati bidang psikologi. Bagi saya, mendekati masyarakat adalah penting supaya kita dapat menyampaikan mesej dengan mudah. Saya membaca buku puisi Hamka, menulis cerpen pendek, deklamasi sajak, berpidato dan berbahas. Saya sukakan semua aktiviti sekolah yang diceburi ketika itu. Bagaimanapun, saya mendapat tawaran menyambung pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar di UTM,” katanya.

Tidak kecewa bahkan bersyukur, Dr Norhayati berkata, alam sekitar adalah subjek yang menjadi topik perbincangan lazim di peringkat global. Seiring dengan 17 sasaran ditetapkan dalam Sustainable Development Goals (SDG), wanita ini memilih memfokuskan kepada bidang kelestarian alam sekitar, terutama berkaitan perawatan air dan air sisa.

“Sekalipun bidang ini dipelopori lelaki, saya masih berpeluang belajar menyumbang kepada pembangunan teknologi berkaitan air sisa. Saya mencedok ilmu daripada jurutera, pengurus dan saintis yang kebanyakannya lelaki. Mereka mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan.

“Wanita seperti saya mempunyai kualiti dan kekuatan tersendiri. Istimewanya wanita, apabila mempunyai kepakaran dan ilmu kejuruteraan yang mantap, digabungkan dengan sifat lemah lembut, lebih perhatian dan teliti, ia memberikan kelebihan untuk menerapkan elemen kejiwaan dalam usaha menimbulkan kesedaran mengenai pentingnya menjaga kelestarian alam sekitar.

“Berbeza dengan dulu, wanita kini tidak lagi terkongkong dalam silo (budaya) sendiri kerana masyarakat kita semakin terdedah dengan konsep pementoran tidak kira sama ada dalam kerjaya mahupun pendidikan. Lelaki boleh memainkan peranan sebagai mentor untuk wanita lebih berjaya dan terkehadapan di dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.

Rawat air sisa sawit

Bercerita mengenai kajian yang dijalankan, Dr Norhayati berkata, idea untuk mengkaji butiran enapcemar datang hasil pengajian tiga tahun di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).

“Ia sudah dikaji secara meluas di negara lain untuk jenis air sisa berbeza, kesan daripada penghasilan tekstil, kertas, minuman dan makanan. Memandangkan kita menghasilkan air sisa yang banyak daripada proses penghasilan minyak sawit, saya berbincang dengan pensyarah untuk menumpukan kajian dalam bidang ini dengan mengambil air sisa kelapa sawit sebagai sampel kajian.

“Saya mahu kajian ini boleh diterjemah untuk menambah baik perawatan air sisa sedia ada. Kita boleh mencontohi kejayaan Belanda yang sudah menggunakan teknologi sama pada skala industri.

“Pada masa sama, masyarakat juga boleh belajar mengenai teknologi perawatan air sisa industri sedia ada di negara kita dan bagaimana ia boleh menjana tenaga,” katanya.

Jelas Dr Norhayati, dia bersyukur apabila mendapat sokongan penuh daripada pihak UTM untuk menjalankan kajian berkenaan. Biarpun berdepan banyak cabaran, sebanyak itu jugalah ilmu baru diterima.

“Agak susah pada permulaan kerana saya perlu mempelajari menganalisis sifat air sisa kelapa sawit yang kompleks seperti mempunyai kadar pH tinggi, kandungan keperluan biokimia oksigen dan kadar kelodak tinggi dalam air sisa ini. Bagaimanapun, kami akhirnya berjaya menemukan mikro organisma yang berfungsi untuk membentuk butiran enapcemar terbabit.

“Bagi saya, kajian ini penting untuk memberikan alternatif perawatan pelbagai jenis air sisa industri. Tambahan, semua tahu bahawa air sisa industri memang mempunyai ciri kompleks dan sukar dirawat. Tanpa rawatan sempurna, ia boleh menyebabkan pencemaran. Saya harap, hasil kajian ini nanti dapat memberi sumbangan bermakna dalam aplikasi industri antara dua hingga tiga tahun lagi,” katanya.

Mengakui bertuah kerana mendapat sokongan penuh suami dan keluarga, Dr Norhayati berkata, dia banyak melatih anak berdikari untuk memastikan perjalanan rumah tangganya teratur.

“Walaupun ketiga-tiga anak lelaki, saya tetap latih mereka untuk memahami kepentingan menjaga kebersihan diri, tempat tinggal dan pakaian. Masing-masing bertanggungjawab untuk mengurus diri dengan baik kerana saya dan suami tidak mempunyai pembantu rumah. Kami juga bertuah kerana keluarga amat memahami dan sudi membantu apabila diperlukan.

“Suami saya amat memahami dan sentiasa memberi sokongan penuh. Ibu juga tidak pernah putus memberi dorongan supaya saya terus maju dan mencapai cita-cita. Ada ketikanya, anak turut ikut saya bertugas di luar dan kami mencuri kesempatan bercuti serta berehat bersama.

“Sekarang, anak juga sudah faham mengenai kepentingan menjimatkan air, menjaga kebersihan tandas dan bilik air serta membuang sampah kerana ini semua sebahagian daripada amalan kelestarian alam sekitar yang saya usahakan,” katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 12:50pm
d