hati

Cantik dipandang

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Kala bersolek, apa yang anda inginkan? Anda mahu tampak glamor dan menyerlah hingga menjadi tumpuan atau cukup dengan riasan sederhana tetapi manis dipandang?

Rasanya ramai yang lebih selesa dengan solekan sederhana tetapi mampu menyerlahkan kecantikan. Namun istilah cantik bagi setiap individu itu berbeza, ada yang yakin tampil dengan solekan tebal dan menyerlah namun ada juga yang memilih mengenakan solekan nipis tetapi tetap kelihatan manis.

Apa juga jenis solekan dipilih, ia bergantung kepada si empunya diri kerana bagi sesetengah wanita, bersolek tebal mampu menutup segala kekurangan dan meningkatkan keyakinan diri.

Menurut jurusolek Feiruz Sohor, setiap wanita mempunyai cara atau jenis solekan yang digemari dan ia bergantung kepada personaliti individu itu sendiri.

“Lebih elok sekiranya solekan tebal hanya dikenakan ketika majlis formal dan solekan nipis untuk hari biasa kerana ia lebih manis dipandang.

“Tidak perlu menghabiskan masa berjam-jam bersolek hanya untuk ke pejabat, bersantai pada hujung minggu atau menghadiri jemputan majlis perkahwinan kerana bukan saja tidak sesuai malah membuang masa serta tenaga,” katanya.

Menurut Feiruz, seiring peredaran masa kini, solekan ringkas namun manis lebih menjadi pilihan dan rata-rata wanita sudah semakin mahir untuk bersolek sendiri.

“Perkembangan teknologi seperti laman sesawang, YouTube, blog dan media sosial kini menyediakan banyak tutorial dan demonstrasi solekan yang boleh diikuti dengan mudah.

“Ia menjadikan sesiapa saja mampu tampil cantik dengan bersolek sendiri asalkan solekan itu tidak comot atau keterlaluan,” ujarnya.

Menurutnya, dia juga menyarankan untuk mendapatkan khidmat jurusolek profesional sekiranya mahukan solekan tebal atau mempunyai tema tertentu bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Sekiranya mahu tampil ringkas pada hari biasa seperti ke tempat kerja, keluar bersantai bersama yang tersayang atau menghadiri undangan bolehlah bersolek sendiri namun sekiranya mahu solekan bertema, disarankan mendapatkan khidmat jurusolek profesional,” katanya.

Feiruz berkongsi langkah demi langkah melakukan solekan manis dipandang yang boleh dijadikan sebagai rujukan kepada setiap wanita.

Disiarkan pada: November 8, 2018 @ 2:41pm
d