hati

Badan cantik

Oleh Siti Zarinah Sahib

Kebanyakan wanita menolak untuk melakukan senaman mengangkat bebanan seperti barbel kerana bimbang badan seperti jejaka sado. Tetapi benarkah anggapan ini atau hanya mitos semata-mata?

Menurut jurulatih kecergasan Andjani Kwee, hormon testosteron perempuan sebenarnya hanya satu daripada 10 jika dibandingkan dengan lelaki. Jadi, sekeras manapun wanita berlatih atau tidak kira apa bentuk senaman mereka, ototnya tidak akan menjadi seperti lelaki.

Malah banyak manfaat yang diperoleh sekiranya melakukan senaman angkat berat. Misalnya, kadar kolesterol menjadi lebih rendah, jantung lebih sihat, kepadatan tulang meningkat dan otot pula lebih kuat.

Hal ini turut diakui juruterapi senaman Adasandha Anuar yang turut menggalakkan wanita mencuba senaman sebegini dengan syarat mengikut tunjuk ajar jurulatih. Otot boleh dikatakan sebagai mesin pembakar lemak paling efektif.

“Jadi, sekiranya inginkan tubuh yang terbentuk cantik, dada bidang, pinggang ramping serta pinggul menawan mulakan dengan mengangkat bebanan,” katanya.

Pada mulanya sememangnya agak sukar tetapi sekiranya dilakukan secara konsisten, lama-kelamaan tubuh mulai terbiasa. Paling penting jangan memaksa diri dan mulakan pada bebanan paling rendah kemudian sedikit demi sedikit meningkatkan jumlah bebanan.

“Elakkan memaksa diri. Jika tidak mampu anda boleh mengangkat sehingga ke paras paha saja dan cuba lagi pada waktu berbeza,” katanya.

Antara kelebihan senaman mengangkat bebanan:

1. Wanita yang membuat latihan kekuatan dua hingga tiga kali seminggu selama dua bulan akan mendapati berat badan mereka berkurangan sebanyak dua hingga lima kilogram (kg).

2. Ramai wanita bimbang sekiranya otot terbentuk lebih besar. Sebenarnya ia tidak berlaku. Biasanya otot tidak akan terbentuk terhadap wanita yang melakukan latihan kekuatan berbanding lelaki kerana kedua-duanya memiliki hormon berlainan.

3. Latihan angkat berat terbukti meningkatkan kesihatan kardiovaskular dalam beberapa cara, termasuk mengurangkan LDL iaitu kolesterol tidak sihat dan meningkatkan HDL iaitu kolesterol sihat dan merendahkan tekanan darah. Apabila senaman kardiovaskular ditingkatkan, kebaikan untuk kesihatan juga bertambah.

4. Mengurangkan risiko kecederaan dan sakit belakang. Latihan kekuatan bukan saja boleh menguatkan otot, tetapi membina tisu penghubung dan sendi menjadi lebih stabil. Otot bertindak sebagai tetulang untuk sendi dan membantu mengelakkan kecederaan. Di samping itu, kajian membuktikan latihan angkat berat boleh meringankan sakit osteoartritis dan menguatkan sendi.

Langkah-langkah

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 1:05pm
d