hati

Bertangas di rumah

Oleh Siti Zarinah Sahib

BAGI wanita yang rajin mengunjungi pusat rawatan kecantikan dan spa pastinya tidak meninggalkan rawatan bertangas dalam pakej kecantikan mereka kerana sudah merasai keberkesanannya. Jika dulu ramai beranggapan rawatan ini khusus untuk wanita selepas bersalin saja, tetapi sebenarnya ia sesuai untuk semua golongan termasuk anak dara.

Ini kerana banyak kebaikan yang boleh diperoleh antaranya mempercepatkan pengecutan rahim untuk ibu dalam pantang, kuatkan peranakan, melancarkan darah haid dan menguatkan otot pelvik.

Malangnya tidak semua wanita mampu melakukan rawatan ini disebabkan harganya agak mahal sehingga membuatkan ada yang berfikir dua tiga kali untuk bertangas di spa.

Menurut pemilik Cony Kimora Mobile Spa Academy Noraini Mokhtar, sebenarnya bahan tangas tidak sukar diperoleh kerana ia boleh diambil dari dapur rumah saja. Tanpa mengeluarkan perbelanjaan besar wanita hanya perlu menyediakan asam keping, pandan, manjakani, garam bukit dan kunyit hidup, yang direbus kemudian airnya diletakkan di bawah kerusi khas bertangas.

“Sebenarnya kerusi khas kayu ini memang ada dijual di kedai. Namun bagi yang tidak mampu boleh menggunakan kerusi rotan yang dibuat lubang di tengahnya. Jika tiada, mereka boleh meletakkan bahan tangas di dalam mangkuk tandas (tandas duduk) dilapisi papan. Kemudian mencangkung di bawahnya selama 30 minit.

“Bertangas sangat sesuai untuk wanita yang baru melahirkan anak atau selepas haid bagi mengeluarkan peluh serta toksin daripada badan. Bagi wanita bersalin, ia juga dapat membantu proses penyembuhan dan pengecutan rahim dengan cepat,” ujarnya.

Katanya, bertangas dilakukan pada hari ketujuh selepas bersalin selama 10 hari berturut-turut dan apabila darah nifas kering. Faedahnya ia dapat mengeluarkan sisa toksin dan boleh digunakan untuk merawat luka. Malah, ketika bertangas senaman kemutan otot boleh diamalkan untuk kekuatan otot vagina dan rahim.

Memastikan wap daripada bahan rebusan tersebar rata ke seluruh badan, amalan ini boleh dilakukan dengan cara berkemban dan membiarkan wap ini mengenai vagina. Hasilnya selepas 30 minit badan berpeluh seakan bersauna.

“Perpeluhan daripada wap ini dapat melembapkan kulit pada bahagian alat sulit dan mengelakkan kelesuan. Wangian pandan pula membantu menghilangkan bau badan,” katanya.

Walaupun kesegaran dapat dirasai, aktiviti ini tidak boleh melebihi tempoh 30 minit bagi mengelak tubuh mengalami kekurangan air. Sebaiknya minum segelas air sebelum dan selepas bertangas. Ia juga sesuai dilakukan setiap hari atau seminggu sekali,” katanya.

Noraini yang menjadikan amalan bertangas di rumah sebagai rutin mengakui setiap bahan mempunyai fungsinya tersendiri. Pandan misalnya bertindak mengharumkan badan manakala manjakani dan asam keping pula terkenal sebagai ejen mengetatkan bahagian sulit. Kunyit hidup mengandungi antiseptik terbaik pengubat luka manakala garam diyakini sebagai bahan yang dapat memberikan semangat baru dan keceriaan kepada wanita.

“Namun, sebelum mencuba, faktor kesihatan perlu diambil kira terutama untuk mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi dan masalah jantung. Bagi yang baru mencubanya, masa selama 15 minit sudah mencukupi,” jelasnya yang menunjukkan langkah demi langkah melakukan tangas sendiri di rumah kepada pembaca Hati, Harian Metro.

Bahan bertangas:

6 potong hirisan kunyit hidup

5 helai daun pandan disimpul rapi atau boleh diganti dengan sirih

3 biji manjakani diketuk

5 keping asam keping

2 sudu garam bukit

Campurkan semua bahan di atas kemudian rebus bersama satu atau dua liter air.

Disiarkan pada: November 16, 2018 @ 5:02am
d