hati

Bekas jurutera tauke hotel kucing

Oleh Siti Zarinah Sahib

LELAKI ini langsung tidak kekok memeluk dan mencium dua ekor anak kucing berbulu tebal dengan penuh kasih sayang. Datang pula kucing comel berbulu hitam menggesel-gesel kakinya meminta dibelai, seakan-akan tahu siapa tuannya.

Walaupun sibuk dengan rutin seharian memastikan keempat-empat hotel kucing miliknya beroperasi dalam keadaan baik, pemiliknya, Muhammad Syahir Zainal, 30, tidak lupa bertemu kucing yang diibaratkan sebagai ‘pelanggan setianya’.

Beranggapan haiwan jinak ini sama seperti manusia, Catzonia menempatkan perkhidmatan spa mencantikkan kucing, tandas, permainan mini dan 60 bilik bertaraf VIC (very important cat), VVIC dan super VVIC dengan kamera litar tertutup (CCTV) 24 jam serta kad keahlian untuk pelanggan.

Malah konsep yang diperkenalkan ini sama seperti hotel lima bintang yang menyediakan pakej premium untuk pelanggan namun dalam bentuk berbeza.

Menariknya, setiap kucing yang ditinggalkan diberikan makanan premium tiga kali sehari, dibersihkan bulunya dan sesi bermain bersama penjaga pusat jagaan berkenaan, terdiri daripada kakitangan Catzonia yang juga pencinta kucing.

Kemudahan CCTV pula dipancarkan secara langsung ke telefon pintar pelanggan menerusi aplikasi khas. Ini bagi memastikan mereka boleh memantau aktiviti haiwan kesayangan pada bila-bila masa.

PEMINAT KUCING

Bercerita mengenai hotel kucing itu, jelas Syahir, idea penubuhannya bermula apabila dia sendiri peminat haiwan comel itu sejak kecil. Sifat ini terbawa-bawa sehinggalah dewasa apabila dia mula memelihara empat kucing British Shorthair yang dibeli dari luar negara pada harga RM4,000 seekor. Lama-kelamaan kucing ini bertambah menjadi lapan.

“Ketika itu saya bekerja sebagai jurutera dan kerana sibuk di pejabat saya terpaksa mengupah seseorang untuk menjaga kucing sepenuh masa. Malangnya kos penyelenggaraannya sangat mahal sehingga mencecah RM2,000 sebulan.

“Saya terfikir mungkin ramai lagi berhadapan masalah mencari tempat penempatan kucing sementara. Apa salahnya dalam masa menjaga kucing sendiri saya turut membantu mereka yang memerlukan perkhidmatan penjagaan dan layanan yang sama,” katanya yang menceritakan detik permulaan pembukaan Catzonia di Damansara, Kuala Lumpur dengan konsep hipster.

Menurutnya, kebanyakan rumah penginapan kucing menyediakan sangkar rendah, kecil dan bertingkat sekali gus memberikan rasa kurang selesa kepada haiwan yang mungkin ditinggalkan dalam tempoh lama.

Keadaan di sini jauh berbeza kerana setiap bilik dibuat mengikut klasifikasi rekaan dan kebersihan yang terjamin.

“Ia memberi peluang kepada pelanggan menempatkan kucing sehingga berbulan lamanya terutama mereka yang kerap bekerja di luar kawasan. Pelanggan pula rata-ratanya adalah warga Malaysia dan 30 peratus warga asing,” jelasnya.

Menjelaskan lebih lanjut mengapa dia sanggup melepaskan jawatan sebagai jurutera, lulusan ijazah sarjana muda elektrik dari Amerika Syarikat ini hanya sempat bekerja dalam bidang kejuruteraan selama tiga tahun.

Dihambat kesibukan tugasan yang tidak menentu dan terbabit dalam beberapa projek rel mega di Malaysia membuatkan dia sering pulang lewat malam. Kekerapan terpaksa bekerja di luar kawasan menyebabkan dia mengambil keputusan melepaskan jawatan walaupun ketika itu gaji diterima sudah lima angka.

Usahanya mendapat sokongan keluarga terutama isteri, Ilham Amalina Ahmad, yang juga peminat kucing.

“Pada mulanya memang sukar melepaskan jawatan tetapi saya mendapat sokongan penuh keluarga. Ia menguatkan lagi semangat untuk mengembangkan perniagaan ini,” katanya.

Mengenai cabaran pula ketika mula membuka perniagaan ini dia sukar mendapat pelanggan. Mungkin disebabkan konsep mewah yang cuba diperkenalkan membuatkan pelanggan berasakan ia mahal.

“Saya cuba mencari strategi pemasaran menggunakan laman sosial, Facebook dan ia menampakkan hasil positif,” katanya.

Mengenakan bayaran antara RM20 hingga RM30 sehari, Syahir akan memastikan kucing yang dihantar pelanggan dijaga sempurna mengikut keperluan haiwan berkenaan selain permintaan pemiliknya.

“Inilah cabarannya apabila pencinta kucing mempunyai harapan besar iaitu ingin melihat kucing ditinggalkan dalam keadaan sihat dan sempurna. Kalau boleh mereka mahu kucing mereka bertambah gemuk.

“Namun saya mengingatkan hotel penginapan kucing bukan tempat orang ramai membuang atau meninggalkan haiwan peliharaan mereka. Ia sebagai tempat peninggalan sementara saja,” katanya.

Walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang penjagaan kucing, dia sentiasa berusaha mendapatkan maklumat, membaca dan menerima tunjuk ajar daripada mereka yang berpengalaman mengenai cara penjagaan haiwan berkenaan.

“Oleh itu setiap hari, saya akan ke hotel ini bagi melakukan kerja pembersihan, memandikan kucing, memberi makan sehingga malam,” jelasnya.

LIPUTAN LUAR NEGARA

Mengenai persaingan pula, dia yakin dengan pertambahan lebih banyak hotel kucing dapat membangunkan ekosistem yang lebih sihat dan sempurna. Matlamatnya ingin membina jenama Malaysia menjadi yang terunggul di dunia menerusi idea paling inovatif dan kreatif dari segi penjagaan kucing.

“Misi saya ingin melakukan kelainan sehingga menjadi nombor satu dalam bidang penjagaan kucing. Justeru, hotel ini adalah platform yang diyakini boleh ditunjukkan kepada dunia mengenai pusat penjagaan kucing mewah yang tidak ditawarkan di negara lain” katanya.

Dia mengakui konsep diterapkan itu menarik minat pelabur antarabangsa membeli perniagaannya pada harga jutaan ringgit namun dia lebih rela kehilangan nilai yang tinggi kerana sedar ia bisnes yang berkembang pada masa akan datang.

Teruja dan berbangga dengan pencapaiannya kini, jelas Syahir, hotel berkenaan pernah mendapat liputan di dalam akhbar luar negara seperti Telegraph, Metro dan The Sun di United Kingdom (UK) serta beberapa premis media utama di Indonesia.

Mereka menyatakan kekaguman mengenai konsep premium yang diketengahkan yang tidak terdapat di negara masing-masing.

Untuk itu pusat penjagaan haiwan yang kini sudah mempunyai empat cawangan, iaitu di Damansara Perdana, Shah Alam, Wangsa Maju dan Bangi bakal dikembangkan dalam tempoh terdekat ini dengan sasaran dibuka di seluruh Malaysia dan negara lain.

“Saya merancang membuka cawangan di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan pada tahun depan. Malah, kami juga sudah menemui rakan perniagaan yang amat berminat membuka cawangan di luar negara, termasuk Timur Tengah,” katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2018 @ 5:31am
d