hati

Lahirkan lebih 3,000 juruterapi spa

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Dilahirkan di Ipoh, Perak dan dibesarkan dalam keluarga sederhana, anak keempat daripada enam adik-beradik ini memiliki personaliti cukup menyenangkan. Setiap kali bercerita, ada saja diselitkan kata nasihat dan tunjuk ajar.

Pertemuan pertama dengan Nurhaniza Abdullah Amri, ketika menjengah spa miliknya di Shah Alam. Dia yang kini menjadi mentor kepada ramai usahawan spa sibuk dengan tugas mengajar kursus kemahiran.

Tidak cukup dengan itu, ibu kepada seorang cahaya mata ini juga kerap dipelawa institusi pendidikan dan universiti untuk menjadi tenaga pengajar serta panel dalam pelbagai program kemahiran spa.

Kata Nurhaniza, sehingga ke hari ini, dia sudah melahirkan lebih 3,000 juruterapi spa wanita yang rata-ratanya berjaya meraih pendapatan antara RM3,000 hingga RM10,000 sebulan.

“Saya percaya bidang ini memiliki potensi besar untuk diteroka. Jadi, saya nekad untuk terus melahirkan wanita berkemahiran kerana bidang ini sentiasa menjanjikan pendapatan dan peluang kerjaya.

“Tambahan saya memang minat berniaga. Kerjaya ibu sebagai tukang jahit juga banyak mempengaruhi minat saya untuk memiliki perniagaan sendiri. Ketika usia sembilan tahun, saya pernah membantu ibu menjual kuih di asrama. Ayah pula adalah guru kemahiran,” katanya.

Benar kata orang. Dalam dunia ini, kehidupan ibu dan ayah banyak mencorakkan anak mereka. Selepas tamat sekolah, Nurhaniza memulakan perniagaan dengan apa saja modal yang ada ketika itu.

“Saya pernah menjual nasi lemak, berniaga di pasar malam, menjual kain pasang, membuka salun rambut, kosmetik dan pelbagai cabang perniagaan lain. Namun usaha perniagaan sebelum ini sering kali menemui kegagalan kerana kurangnya keyakinan, ilmu, tiada mentor dan tiada arah matlamat yang jelas.

“Pernah suatu ketika saya berputus asa kerana penat mencuba, namun gagal mendatangkan sebarang hasil tetapi semangat datang semula. Saya mahu kehidupan yang lebih baik dan dipandang keluarga serta orang di sekeliling.

“Jadi, saya cuba nasib dalam bidang spa. Mana tahu, bidang kemahiran jugalah yang membawa saya sehingga ke peringkat profesional. Pengalaman yang saya lalui sebelum ini, jatuh bangun berniaga, semuanya menjadikan saya seorang yang lebih matang.

“Saya jadi seorang yang lebih positif dan sentiasa melihat peluang sebagai bonus untuk berjaya, asalkan dilakukan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Bercerita lanjut, Nurhaniza berkata, dia bermula dalam bidang rawatan spa selepas bertemu seorang peniaga herba di pasar malam dan tertarik dengan kemahirannya dalam pembuatan minyak, akar kayu serta ramuan kecantikan.

“Mungkin sudah rezeki, pak cik itulah yang mengajar saya segala ilmu berkaitan herba. Menerusinya, saya mengenal daun dan fungsi herba. Kemudian barulah membuat pelbagai ubatan tradisional termasuk minyak urut dan mula mengikuti mendalami ilmu berkaitan secara serius sehingga mendapat kelayakan menjadi Tenaga Pengajar Bertauliah daripada Jabatan Pembangunan kemahiran,” katanya.

Jelas Nurhaniza, dia tidak pernah menyangka bidang spa menjadikan dirinya seorang usahawan berjaya hari ini. Apatah lagi minat dan kemahiran yang diasuh bermula kerana desakan hidup.

Ternyata sikap optimis dalam dirinya yang mendorong wanita ini untuk terus mara tanpa menoleh ke belakang. Kekurangan yang ada dalam diri, dijadikan kekuatan untuk terus melangkah. Apa yang penting baginya adalah membuktikan kepada keluarga dia mampu membina profil yang baik.

“Saya selalu melihat bahawa setiap usaha pasti ada cabaran dan prosesnya. Untuk mendapatkan profil diri yang baik hari ini, saya berusaha melahirkan ramai wanita berkerjaya dalam bidang spa.

“Selain mencurah ilmu kemahiran, saya juga mencuri ruang dan peluang untuk turut bergelar pengasas produk. Saya bina jenama Srisari Herbs Sdn Bhd dengan tujuan membekal produk dan bahan mentah herba untuk usahawan di Malaysia,” katanya.

Melihat kejayaan anak didiknya yang kini berjaya membuka perniagaan spa dari rumah ke rumah dan memiliki butik kecantikan sendiri, Nurhaniza tersenyum bangga.

“Inilah yang menyuntik semangat saya untuk membantu lebih ramai wanita memiliki perniagaan sendiri. Kalau bukan spa, mereka juga boleh menempa nama sebagai pakar dalam bidang perawatan masing-masing.

“Saya sudah buktikan bahawa peluang dalam bidang perawatan, kecantikan dan spa ini luas asalkan ada kemahiran. Wang bukanlah modal utama untuk sesiapa saja memulakan perniagaan.

“Sehingga kini, saya

masih belajar dan mengenal fungsi serta manfaat pokok herba. Namun, orang muda kini tidak ramai berminat untuk belajar mengenai selok-belok perawatan tradisional dan herba. Mungkin permulaan kecil ini dapat membantu mata mereka untuk turut serta meneroka bidang ini di masa depan.

“Saya bertuah kerana suami, anak dan keluarga sentiasa menyokong dari belakang. Malah, saya cukup puas melihat anak didik saya dapat menampung pembelajaran anak mereka, membeli kenderaan baru dan melunaskan hutang, hasil daripada perniagaan spa.

“Saya harap perniagaan saya akan terus berdaya saing untuk membantu usahawan spa sebagai sebuah pusat sehenti yang menawarkan latihan kemahiran, pengurusan perniagaan dan menjadi rujukan usahawan spa di Malaysia di masa depan,” katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2018 @ 12:31pm
d