hati

Motivasi kejayaan

Oleh Zaitie Satibi

KESUNGGUHAN dalam melakukan sesuatu pekerjaan bukan satu-satunya faktor yang mendorong kejayaan seseorang, sebaliknya suntikan kata-kata pembakar semangat dan sokongan moral juga mampu menjadi inspirasi menggalakkan langkahnya.

Ini kerana semua orang memerlukan sokongan dan motivasi dalam menjalani kehidupan yang penuh liku dan cabaran. Begitulah juga bagi seseorang yang ingin menceburi bidang perniagaan apabila motivasi amat diperlukan untuk memberikan semangat dan memupuk keyakinan dalam diri seseorang.

Demikian dilakukan usahawan, Nasyrah Zainudin, 26, apabila beliau membantu ramai wanita terutama suri rumah yang melalui saat sukar akibat kesempitan wang bangkit daripada kesusahan hidup dengan memberi mereka galakan mencuba nasib dalam perniagaan.

"Ramai yang terlepas pandang satu daripada resipi kejayaan ini dan menganggap minat mendalam untuk berniaga selain modal yang besar sudah cukup lengkap menjadi ramuan untuk berjaya.

"Sebenarnya ia adalah tulang belakang untuk peniaga terutama mereka yang baru berjinak-jinak dalam keusahawanan. Bagi orang yang bermula kosong atau ingin mengubah hidupnya, mereka perlu diberi sokongan dan motivasi.

"Jika tidak mendapat sokongan yang sewajarnya, mereka akan rasa seperti tak yakin selain boleh berputus asa dan tidak lagi ingin lagi melangkah maju dalam perniagaan," katanya.

ngembangkan rangkaian wakil jualan perniagaan makanan berasaskan coklat tempatan jenama The Grand Chocodaps yang diusahakan ahli keluarganya daripada 400 kepada lebih 2,000 orang dalam tempoh enam bulan dengan masing-masing kini memperoleh pendapatan yang membolehkan mereka hidup selesa.

Kekuatan wanita gigih ini membentuk pasukan wakil jualan yang besar dalam tempoh singkat terletak kepada sistem sokongan, kerja berkumpulan dan kepatuhan mengikut panduan diberikan, di samping sikapnya yang komited membangunkan potensi setiap ejennya.

“Sebelum menceburkan diri dalam perniagaan coklat ini, kebanyakan ejen ini datang menemui saya dan mengadu keperitan hidup yang dialami.

“Ada yang mendakwa dihina kerana miskin, ada juga yang dibuang keluarga kerana sering gagal dalam pekerjaan. Namun, rata-ratanya adalah suri rumah yang ingin membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarga berikutan pendapatan suami yang rendah.

“Oleh itu, saya bantu kumpulan ini membuktikan kemampuan diri dan tunjukkan kepada masyarakat mereka juga boleh menjadi individu berjaya. Malah, suri rumah juga mampu memiliki pendapatan sendiri dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan menerusi jualan coklat ini,” katanya yang terbabit dalam dunia perniagaan sejak berusia 18 tahun.

Mengimbas semula pembabitan Nasyrah dalam perniagaan, beliau yang mempunyai latar pendidikan undang-undang daripada Management & Science University (MSU) bermula sebagai penjual produk perniagaan pelbagai tingkat ketika bergelar pelajar sebelum membuka butik pakaian sendiri.

“Selepas habis belajar, saya terbabit dalam industri fesyen dengan menjual pakaian berkonsep Muslimah. Perniagaan ini diusahakan hanya bertahan setahun setengah apabila terpaksa menutupnya selepas saya berkahwin kerana ingin menumpukan perhatian kepada keluarga.

“Namun, saya tidak betah hidup hanya sebagai suri rumah, mungkin disebabkan sudah biasa bekerja. Oleh itu, saya mula membantu suami, Muhammad Alif Fikri Mashadi, 27, dalam perniagaan katering yang diusahakannya.

“Selain membantu menguruskan tempahan makanan, kami turut membekalkan sambal kering yang siap dibungkus. Saya juga menjadi wakil jualan produk lain seperti pewangi dan suplemen untuk kanak-kanak.

“Bagaimanapun, saya mahu menambah produk jualan lain mungkin kerana ketagih berniaga dan akhirnya terfikir untuk membantu abang yang mengusahakan perniagaan coklat kecil-kecilan,” katanya.

MAHU TUKAR BIASA-BIASA KEPADA TERNAMA

Nasyrah berhasrat menukar jenama coklat biasa-biasa ini supaya setanding produk ternama di pasaran, di samping mengubah tanggapan orang ramai bahawa dengan menjual coklat tempatan juga mampu menghasilkan pendapatan lumayan bukan saja kepada suri rumah, malah individu yang mencari pendapatan sampingan termasuk pelajar.

“Saya tidak mengharapkan kekuatan coklat ini sebagai makanan ringan yang paling digemari saja, sebaliknya turut mengatur strategi untuk membolehkan perniagaan ini berkembang dengan cepat dan kukuh.

“Oleh itu, saya tingkatkan peranan wakil jualan dan melengkapkan mereka dengan pelbagai ilmu perniagaan. Selain itu mengadakan kelas latihan keusahawanan setiap bulan termasuk mengajar teknik pemasaran dalam talian, saya turut membimbing secara peribadi wakil jualan yang berjaya mencapai sasaran supaya usaha konsisten.

“Pada peringkat inilah saya banyak memberikan motivasi dalam pelbagai aspek kerana ia amat penting untuk menjadi usahawan yang berjaya dengan baik. Semua orang tanpa mengira umur dan bangsa memerlukan motivasi diri yang mantap sebagai pedoman dan sumber kekuatan untuk menjalani kehidupan ini dengan baik dan sempurna.

“Seseorang yang hidup tanpa motivasi diri akan berasa hidupnya tidak bermakna dan menjalani kehidupannya dengan tidak berdaya tanpa tujuan dan matlamat hidup yang tetap. Pada usahawan, motivasi bertindak sebagai pembakar semangat untuk berjaya dengan cemerlang,” katanya.

Nasyrah sendiri suka bergaul bersama rakan yang berada dalam lingkungan yang positif kerana sifat positif itu akan ‘berjangkit’ dan membuatkan semangatnya berkobar-kobar, merangsang daya juang yang tinggi dan berani bermimpi besar.

“Bergaul dengan orang yang selalu bersikap positif juga akan menambah wawasan dan memperbaiki peribadi kita menjadi lebih positif, selain mampu membangkitkan potensi dalam diri dan selalu mendapat sokongan walaupun tanpa diminta.

“Bagaimanapun, saya tidak lupa meminta restu suami dan ibu bapa supaya setiap pekerjaan dilakukan mendapat keberkatan. Lazimnya, bagi mengelakkan mendapat tekanan saya akan memanjakan diri dengan bercuti dan berehat sepuas-puasnya di hotel eksklusif di ibu negara,” katanya.

Menguruskan perniagaan dan pada masa sama menjadi ibu kepada dua anak masih kecil, Muhammad Khalif Ilyas, 5, dan Muhammad Haris, tujuh bulan, Nasyrah mengakui tidak mampu melakukan pekerjaan itu bersendirian.

“Saya agak beruntung kerana suami memahami dan dia rajin membantu menjaga anak ketika saya sibuk. Walaupun mengupah pembantu rumah, kami lebih selesa menjaga anak sendiri dan mengambil giliran menjaga kedua-duanya ketika mempunyai urusan masing-masing.

“Sebab itu juga saya beroperasi dari rumah supaya sentiasa dekat dengan anak. Saya ingin memberi inspirasi kepada suri rumah terutama ibu muda bahawa kita boleh bekerja sambil menjaga anak.

“Impian saya kini ingin membantu wakil jualan supaya menjadi usahawan yang mampu mengeluarkan produk sendiri. Saya

juga ingin memiliki kilang coklat sendiri dengan segmen pengeluaran lebih meluas.

“Saya mencabar diri untuk melunaskan impian ini sebelum berusia

30 tahun. Saya ada tempoh kurang empat tahun tetapi yakin suatu yang kita impikan akan mudah diperoleh jika kita berusaha dan sentiasa berfikiran positif. Ibarat pepatah ‘genggam bara api biar sampai jadi arang.’ Kata-kata inilah juga yang menjadi prinsip saya dalam perniagaan,” katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2018 @ 7:31am
d