hati

Buang angin, darah kotor

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Siapa tidak mahu cantik dan sihat? Mungkin pada era kini semakin sukar untuk bertemu wanita yang tidak mengendahkan penampilan diri terutama berkaitan kesihatan.

Semuanya mengimpikan memiliki wajah berseri, tubuh sihat dan segar selain bebas daripada pelbagai masalah kesihatan yang tentu saja mengganggu urusan harian.

Selain menjaga kecantikan luaran melalui pelbagai kaedah dan rawatan, mungkin ada yang tidak mengetahui pengambilan makanan secara tidak teratur bukan saja menaikkan berat badan, tetapi pada masa sama menyebabkan tubuh menjadi lesu akibat masalah angin yang memasuki badan.

Gaya hidup yang tidak teratur ini akan menyebabkan kulit wajah dan badan kelihatan kusam dan tidak berseri. Apabila muncul saja masalah ini, kebanyakan wanita mula runsing, jika boleh semuanya mahu mendapatkan jalan penyelesaian pantas dan mudah bagi mendapatkan kesihatan tubuh sekali gus memancarkan kecantikan secara semula jadi.

Rawatan berbekam dan urutan badan mengeluarkan angin antara kaedah perubatan terdahulu bagi ‘membuang’ darah kotor dan angin daripada badan.

Kaedah rawatan itu masih diamalkan di seluruh dunia termasuk di negara ini hingga kini dan semakin hari, ramai yang menyedari kesan positif yang dirasai selepas melakukan rawatan.

Menurut pengasas Spa Muslimah Beauty Centre yang bertapak di Taiping, Perak, Siti Nur Aqidah Jasmi berkata, berbekam dan urutan badan mengeluarkan angin antara dua rawatan istimewa yang disediakannya sejak 2010 hingga kini.

Menurutnya, dua rawatan itu mempunyai kelebihan daripada aspek kesihatan terutama bagi mengeluarkan angin di dalam badan yang menyebabkan tubuh sering lesu dan sakit.

“Semuanya berpunca daripada pemakanan dan disebabkan itu, semua wanita disaran menjaga rutin makanan harian bagi mengelak badan dimasuki angin.

“Berbekam bukan saja amalan Rasulullah SAW malah kajian saintifik menunjukkan ia mampu mengawal pelbagai penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, gout, migrain, resdung juga lemah sendi manakala untuk wanita, ia antara alternatif dalam mengatasi masalah haid tidak teratur, senggugut serta kesuburan,” katanya.

Siti Nur Aqidah berkata, bukan saja untuk kesihatan, malah dalam konteks kecantikan, rawatan alternatif itu semakin menjadi pilihan dalam merawat wajah bermasalah atau mengekalkan keanggunan.

“Kebiasaannya, kami akan menilai terlebih dulu masalah dialami pelanggan sebelum memberi cadangan jenis rawatan sesuai sama ada berbekam atau yang lain.

“Selain berbekam, kami juga menawarkan urutan badan kepada individu yang tidak mahu berbekam dalam membantu wanita yang sering mengalami masalah kelesuan dan angin,” ujarnya.

Menurutnya, soal harga tidak menjadi masalah kerana juruterapi akan berbincang bersama pelanggan bagi menentukan jenis rawatan yang ingin dilakukan disamping harga berpatutan.

“Walaupun turut mempunyai pelbagai jenis rawatan lain bermula daripada hujung rambut hingga ke hujung kaki seperti di spa lain, saya amat menitikberatkan aspek penjagaan kesihatan melalui kaedah rawatan berbekam atau urutan.

“Lebih menarik, spa yang berkonsepkan Bali moden dan kontemporari ini disediakan sepenuhnya untuk wanita bagi memastikan tidak ada timbul isu aurat dan masalah lain,” katanya.

Katanya, dia bersama enam juruterapi bertauliah sentiasa berusaha memberikan rawatan terbaik kepada setiap pelanggan.

“Walaupun rawatan berbekam ini sudah lama, masih ramai yang tidak pernah melakukannya dan takut untuk mencuba atas sebab takut serta tiada pendedahan.

“Disebabkan itu, saya dan kakitangan akan memberi penerangan jelas mengenai kebaikan berbekam kepada setiap pelanggan yang datang kerana sekurang-kurangnya mereka ada pengetahuan mengenai rawatan alternatif ini,” ujarnya.

Disiarkan pada: November 24, 2018 @ 9:57pm
d