hati

Kenali makanan berkhasiat menerusi permainan

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

MAKANAN berkhasiat begitu penting untuk kanak-kanak yang membesar dan warga emas. Namun, kanak-kanak dan warga emas di bawah jagaan pertubuhan kebajikan mungkin tidak mempunyai akses ke atas sebahagian hidangan. Antaranya Omega-3 dan makanan yang kaya dengan protein seperti tuna serta sardin yang penting untuk kesihatan fizikal dan mental mereka.

Prihatin dengan keperluan golongan sasar ini, Ayam Brand menawarkan makanan ini dalam bentuk bebas bahan pengawet dan tiada monosodium glutamat (MSG) tambahan.

Menerusi Festival Makanan Kanak-kanak Sihat Ayam Brand, syarikat itu memperkasakan kanak-kanak supaya memilih makanan menerusi aktiviti yang interaktif.

Ia juga membantu mereka mengenal pasti kumpulan makanan, memahami saiz makanan serta membuat keputusan tepat kerana makanan boleh membentuk tubuh secara positif.

Selepas Malaysia dinamakan sebagai negara yang mempunyai kadar obesiti paling tinggi dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa di ASEAN dengan 23.7 peratus daripada mereka mengalami masalah obes, program peka komuniti ini diadakan tepat pada masanya.

Obesiti boleh dikaitkan dengan cara pemakanan sejak kecil dan bagi kanak-kanak obes, mereka selalunya akan membesar menjadi dewasa yang obes. Faktor budaya juga memainkan peranan dalam permasalahan ini.

Pengerusi Ayam Brand Datuk Tunku Mu’tamir Tunku Mohamed berkata, kanak-kanak dapat belajar dengan baik menerusi permainan.

Oleh itu, katanya, penganjuran festival dengan pelbagai bentuk permainan yang direka khas buat kanak-kanak agar mereka seronok ketika belajar memilih makanan yang betul.

“Antara sesi bengkel yang dijalankan ialah ‘Yay or Nay’ apabila kanak-kanak belajar mengenal pasti serta membezakan antara pilihan makanan sihat dan tidak sihat, selain teka silang kata manfaat Omega 3 serta DHA di bengkel ‘Silang kata’.

“Di bengkel Pinggan Sihat pula, kanak-kanak menentukan kuantiti kumpulan makanan berbeza untuk menghasilkan satu diet yang seimbang, manakala di bengkel ‘DIY’, kanak-kanak akan menghidang nasi lemak tuna berdasarkan apa yang dipelajari,” katanya.

Jenama itu juga turut menyumbang produk keluarannya kepada rumah kebajikan yang mengambil bahagian sebagai sebahagian daripada acara tahunan ini.

Antara rumah kebajikan terbabit adalah Yayasan Sunbeams Home, Pusat Jagaan Kanak-kanak Harapan, Rumah Impian PJ, Rumah Ozanam, Rumah Sayangan, Home of Peace, Rumah Bakti Nur Syaheera dan Rumah Kasih Harmoni dari Kuala Lumpur dan Selangor.

Rumah ini menerima bekalan makanan harian produk Ayam Brand selama dua bulan merangkumi ikan sardin, makerel, tuna dan santan kelapa untuk semua kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

Menurut Pengasas Rumah Bakti Nur Syaheera, Suzana Jafar, program itu bukan saja dapat memberi pendedahan mengenai makanan berkhasiat untuk anak jagaan pusat itu malah sebagai memberi inspirasi untuk penjaga mempelbagaikan resipi dengan produk jenama itu.

“Nasi lemak misalnya, mereka diajar memasak cara yang mudah dan sihat dengan menggunakan produk jenama itu, dan mungkin boleh bekerjasama membuatnya sendiri di rumah nanti,” katanya.

Menurut wakil Yayasan Sunbeams Home, Pastor Victor, sumbangan produk yang tidak mempunyai bahan pengawet atau MSG tambahan itu sangat dihargai kerana makanan itu sihat, pantas dan mudah disertakan ke dalam diet harian mereka.

“Sumbangan produk yang mudah, berkhasiat dan enak itu amat kami hargai. Kanak-kanak sangat seronok dan mereka belajar pelbagai tip nutrisi daripada bengkel aktiviti.

“Kami akan menjalankan beberapa bengkel sama di Yayasan Sunbeams Home tidak lama lagi. Ini kerana daripada apa yang dapat kami lihat, ia dapat membantu kanak-kanak mengamalkan tabiat makanan sihat sepanjang hidup mereka,” katanya.

Terdahulu, syarikat itu turut melancarkan laman web bagi memudahkan sesiapa saja menyumbang kepada badan kebajikan, Ayam Brand e-Charity.

Ia bertujuan membolehkan lebih ramai orang membantu komuniti yang memerlukan menerusi kemudahan membuat pesanan secara dalam talian. Antara tawaran disediakan iaitu potongan harga runcit sebanyak 15 peratus ke atas produknya dan menyediakan penghantaran percuma untuk menggalakkan orang ramai membantu lapan NGO terpilih di Kuala Lumpur dan Selangor.

Jenama itu merancang mengembangkan program berkenaan dengan membabitkan NGO di lebih banyak negeri.

Mereka yang mahu menderma boleh memilih sebanyak mana produk Ayam Brand yang ingin disumbangkan kepada organisasi berkenaan dengan sumbangan minimum ialah satu karton.

Disiarkan pada: November 27, 2018 @ 7:01am
d