hati

Tangani ragam anak remaja dengan bijak

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

PENING memikirkan keletah dan ragam anak remaja hari ini. Walaupun bukan semua ibu berdepan masalah sama, tidak bermakna mereka terlepas daripada dugaan mendidik anak pada usia persekolahan dan remaja.

Melihat situasi kebanyakan ibu bapa kini, ramai yang tersepit antara kewajipan untuk mendidik anak, melaksanakan tugas dan tanggungjawab selaku penjaga atau pekerja, memenuhi pelbagai tuntutan keluarga serta pelbagai komitmen lain.

Cara paling mudah adalah dengan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada anak untuk meneruskan rutin harian mereka. Di sinilah cabaran baru timbul. Walaupun didikan, ajaran dan pesanan sering ditekankan dalam kehidupan mereka seharian, tanpa pengawasan ibu bapa, anak mungkin hanyut dalam pergaulan bebas sesama rakan.

Tiada istilah untuk ibu bapa cepat berputus asa atau mengambil tindakan keras seperti mengurung anak di rumah. Walau sesukar mana sekalipun, mendidik anak perlu berpaksikan kebijaksanaan ibu bapa itu sendiri. Kita perlu pintar untuk menilai kesan dan reaksi anak terhadap nasihat, teguran, hukuman mahupun contoh yang dipamerkan.

Menurut Perunding Motivasi Keluarga Zaid Mohamad, anak perlu sentiasa diingatkan mengenai batas pergaulan mereka terutama membabitkan rakan berlainan jantina. Hal ini mungkin nampak remeh pada permulaan, namun ia menjadi semakin penting selepas anak menginjak ke alam remaja.

“Sesetengah ibu bapa mungkin cenderung berfikiran terbuka dan mahu anak mereka diberi kebebasan dalam segenap hal. Tetapi perlu diingatkan kebebasan perlu mempunyai batas tertentu.

“Contohnya, sentiasa berpesan kepada anak mengenai had sesama rakan yang bukan mahram. Katakan kepada mereka anak perempuan tidak boleh berpegangan tangan dengan lelaki, bergurau-senda berlebihan secara fizikal atau berpelukan.

“Pastikan anak sensitif dalam isu pergaulan bebas. Ajarkan mereka mengenai aurat, sentuhan yang tidak sesuai dan juga perbezaan antara mahram dan bukan mahram. Sentiasa beritahu mereka akibat buruk yang mungkin berlaku jika terlalu bebas dalam pergaulan,” katanya.

KENALI BAYANG ANAK

Setiap kali melewati kaki lima, ruang legar pusat beli-belah, panggung wayang, kafe bahkan perhentian bas di depan sekolah, pasti terlihat kelompok anak remaja berpeleseran, bergurau hingga mencetuskan gelak ketawa besar tanpa sedikit pun perasaan segan mahupun malu.

Pemandangan ini ada di mana-mana. Tidak kira di tengah ibu kota, ceruk bandar, pekan atau kampung. Buli dan cabul di dalam atau luar kawasan sekolah, bayang mesra di tempat tersembunyi, berpeluk erat di tempat awam, hinggalah muat naik video bermesraan yang cukup menjengkelkan hati sesiapa saja.

Semua ini perlakuan yang dianggap ‘biasa’ oleh anak remaja masa kini. Hal ini perlu disedari ibu bapa yang lupa pengaruh media sosial dan perkembangan teknologi tanpa batas hari ini sudah menjadi guru buat kebanyakan anak remaja.

“Sebab itu penting untuk ibu bapa selalu mengambil berat tingkah dan perilaku anak. Ingatkan anak bahawa dalam dunia mereka, pasti adanya rakan yang akan mengambil kesempatan dalam kebebasan bergaul.

“Lebih baik untuk mereka mencurigai kelakuan orang lain walaupun dalam kalangan rakan yang rapat ataupun saudara-mara sendiri. Sedarkan mereka mengenai realiti kehidupan kini. Bahaya boleh datang dalam pelbagai bentuk, termasuk gangguan seksual dan fizikal, malah boleh membawa kepada jenayah lebih berat seperti kes cabul dan rogol,” katanya.

Selain berpesan, Zaid juga menyarankan amalan ibu bapa dulu yang kerap menasihati anak supaya sentiasa memperkenalkan rakan mereka kepada keluarga, tidak kira lelaki atau perempuan.

“Ini amalan yang baik kerana ia mampu membantu mencegah niat jahat rakan terbabit. Jika kenalan anak mengenali kita dan juga sebaliknya, mereka akan berfikir jauh sebelum melakukan sesuatu yang tidak diingini.

“Jadi, ada baiknya jika ibu bapa hari ini menggalakkan anak memperkenalkan rakan mereka. Gunakan peluang ketika menganjurkan majlis hari jadi atau rumah terbuka untuk menjemput mereka datang bertandang. Paling tidak, adakan majlis jamuan ringkas untuk mereka, tanpa mengira masa atau keperluan khusus. Layan rakan anak dengan baik dan hormat supaya mereka berbalas santun kepada kita dan anak-anak,” katanya.

ILMU SEKSUAL

Menilai isu ruang pergaulan anak remaja dari sudut yang lebih luas, tentunya ia tidak lagi terikat dengan batas hubungan nyata saja. Dalam dunia serba pantas, platform maya kini menawarkan ruang pergaulan tanpa sempadan.

Kata Zaid, pengaruh media sosial, ruang sembang atas talian dan Internet adalah sebahagian daripada cabaran zaman teknologi tidak boleh pandang mudah. Oleh itu, semakin bergandalah tanggungjawab ibu bapa untuk terus berpesan kepada anak.

“Sama seperti pergaulan yang boleh dilihat ibu bapa saban hari, jelaskan juga kepada anak terhadap bahaya hubungan maya. Jika di luar mereka berdepan risiko bertemu rakan yang suka mengambil kesempatan, apatah lagi di ruang siber.

“Ajar anak supaya tahu membezakan mana betul dan salah. Pastikan mereka faham mengenai konsep tipu daya seksual yang kerap dilakukan segelintir kelompok di alam maya.

“Dedahkan kepada mereka kejadian yang pernah berlaku kepada kanak-kanak dan remaja sebaya. Mereka harus tahu ancaman alam maya adalah realiti yang tidak boleh dipandang mudah lagi di zaman ini,” katanya.

Satu perkara yang mungkin ramai ibu bapa terlepas pandang atau teragak-agak untuk melakukannya adalah memperkenalkan anak terhadap pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif.

Jelas Zaid, anak sepatutnya didedahkan dengan ilmu ini seawal usia tiga tahun. Didik mereka mengenali bahagian tubuh sendiri dan tanamkan perasaan malu untuk mendedahkan bahagian sulit di khalayak ramai.

“Ibu bapa tidak perlu segan atau rimas untuk mengajar asas kefahaman aurat lelaki dan wanita. Dari situ, ia mungkin lebih mudah untuk meminta mereka menjaga had pergaulan sesama rakan terutamanya yang berlainan jantina.

“Bagi kanak-kanak peringkat sekolah rendah, ajar mereka kenali perbezaan jantina. Bataskan pergaulan mereka di rumah. Contohnya, adik-beradik perlu tidur berasingan jika berlainan jantina. Ajar anak meminta izin sebelum memasuki bilik ibu bapa pada waktu tertentu seperti pagi, tengah hari dan malam.

“Larang mereka mandi bersama selepas usia tertentu dan jangan lupa untuk mengajar cara membersihkan organ reproduksi mereka juga. Untuk anak remaja, aurat dan pergaulan bebas perlu lebih ditekankan.

“Konsep mahram, akil baligh dan tandanya juga perlu sentiasa dibincang bersama. Tekankan hukum haram menonton bahan lucah yang akan mendorong mereka ke arah perasaan ingin tahu yang tidak sihat,” katanya.

Katanya, perbezaan zaman perlu diambil kira untuk menilai sama ada perkara itu masih tabu dalam masyarakat atau tidak. Jika 10 tahun dulu ibu bapa masih boleh mengelak membicarakan soal ilmu kesihatan seksual, namun zaman teknologi kini menghidangkan segalanya dengan hanya satu klik.

“Kalau kita masih mengelak dan berdalih, anak akan tahu juga. Malah lebih bahaya jika mereka mempelajari topik kesihatan seksual ini melalui saluran yang tidak betul seperti Internet, rakan dan individu yang tidak bertanggungjawab.

“Sebagai permulaan, ibu bapa sendiri perlu tahu bahagian mana yang perlu dijelaskan kepada anak. Jika anak bertanya, jawab soalan berkaitan seksual ini dengan jujur. Berikan maklumat yang betul, bukannya berkias dan berdalih. Lebih baik jika kita sendiri yang memulakan perbualan mengenai kesihatan reproduksi, walaupun ia mungkin tidak selesa,” katanya.

HORMATI ANAK

Apapun kata Zaid, pergaulan selamat hanya berlaku jika semua orang rasa selesa dan bebas daripada sebarang bentuk ancaman seksual. Ini termasuk ancaman secara fizikal dan verbal (pertuturan).

“Tiada usikan, gurauan dan jenaka berbentuk seksual. Ia perlu dikawal kerana anak bersikap ingin tahu. Sikap ini boleh mendatangkan risiko gangguan seksual dari mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Dalam sesetengah keadaan, ibu bapa mungkin tertanya-tanya, apa tindakan paling sesuai untuk mencegah pergaulan bebas, sekali gus memastikan anak tidak terdorong untuk memberontak.

“Saya andaikan, cara paling bijaksana adalah dengan memastikan kesedaran itu datang daripada mereka sendiri. Kita tidak akan mampu mengawal anak 24 jam sehari. Jika mereka ‘takut’ kepada kita, mereka hanya akan berhati-hati jika kita ada bersama.

“Namun jika ia datang daripada kesedaran, mereka sendiri akan mencegah diri daripada terjebak dengan anasir yang boleh membawa risiko gangguan seksual. Mereka juga akan lebih kental dalam menghadapi pujuk rayu dan tipu daya pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kekuatan dalaman ini ialah hasil kerjasama dan didikan positif ibu bapa dan keluarga. Pengajaran dibuat dalam bentuk penuh hormat dan berhemah. Jika anak melakukan kesilapan, ibu bapa jangan mudah melenting dan menghukum. Sebaliknya, cuba memahami dan menasihati terlebih dulu,” katanya.

Zaid berkata, walau apa pun reaksi anak, sekiranya ibu bapa mengambil pendekatan berterus terang mengenai risiko dan ancaman seksual di luar, mereka pasti memahami hasrat yang cuba disampaikan orang tua.

“Berilah mereka sedikit ruang untuk membuat keputusan sendiri tanpa terlalu mengongkong. Kenali rakan anak dan hormati mereka. Fokuskan pengajaran ini kepada diri mereka, bukannya untuk kepentingan ibu bapa.

“Paling penting, berikan sedikit kuasa kepada anak menentukan aktiviti bersama rakan, asalkan mereka sentiasa berterus terang dengan kita,” katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2018 @ 6:46am
d