hati

Fatin Aisya pikat Isetan KLCC

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

WAJAHNYA manis dipandang, penampilannya bersahaja namun sentiasa mengukir senyuman antara kelebihan dianugerahkan kepada anak kelahiran Kuantan, Pahang ini.

Mengenali wanita berkarisma tinggi ini membuatkan penulis yakin dia mempunyai cerita menarik untuk dikongsikan. Ternyata, pemilik nama Fatin Aisya Abdul Karim yang mesra dengan panggilan Asha ini tidak kedekut untuk mendedahkan rahsia dan amalan perniagaan yang meletakkannya ke tahap sekarang.

Siapa sangka, wanita ini adalah antara individu Melayu terawal yang diberi kepercayaan untuk memasarkan koleksi fesyennya di gedung Isetan KLCC.

Menurut Fatin Aisya, bukan mudah mendapat tempat di salah satu ruang di Isetan Suria KLCC kerana dia perlu meyakinkan gedung beli-belah itu menerima produk tudung anak tempatan. Ini cabaran pertama yang dihadapinya dalam melayakkannya berada sebaris dengan jenama terkenal lain di gedung berprestij itu.

“Bukan mudah untuk mereka menerima jenama atau pengusaha tempatan yang menjual tudung kerana di situ lebih terkenal dengan fesyen moden dan terkini.

“Kejayaan ini bermula penghujung 2012 apabila saya dipanggil pihak pengurusan untuk berbincang mengenai koleksi tudung. Ia sekali gus menjadi detik permulaan untuk mereka membuka ruang kepada saya,” ujarnya sambil tersenyum mengimbas kembali kenangan manis enam tahun lalu itu.

Fatin Aisya berkata, dia fikir pertemuan itu tidak membuahkan hasil kerana beberapa bulan berlalu tanpa sebarang berita. Namun dia teruja apabila pengurus besar Isetan mahu bertemunya untuk melihat sendiri koleksi tudungnya. Bagaikan bulan jatuh ke riba, serba-serbi diperkemaskan supaya produknya berjaya menarik perhatian.

“Syukur, dalam pertemuan kedua itu mereka bersetuju untuk memberi saya peluang menjual tudung di gedung beli-belah berkenaan. Gembiranya hanya Allah yang tahu. Itu adalah langkah pertama yang membanggakan. Bukan mudah untuk mendapat peluang berniaga di gedung tersohor itu.

“Jadi, saya perlu memanfaatkan peluang itu sebaik-baiknya. Saya katakan pada diri sendiri, saya perlu buktikan bahawa pihak pengurusan membuat pilihan yang betul. Saya juga mahu buktikan bahawa usahawan Melayu juga boleh berjaya dan setanding dengan peniaga lain,” katanya.

Lebih menggembirakan apabila jenamanya semakin berkembang maju tahun demi tahun dan kini bukan saja mendapat tempat di hati penggemar fesyen Muslimah tempatan malah dari negara jiran terutamanya Brunei.

“Bagi memastikan setiap koleksi sentiasa terkini dan menepati kehendak pelanggan, saya perlu mengemas kini dan mempelbagaikan rekaan tudung.

“Kini selepas lebih tujuh tahun bertapak dalam perniagaan, banyak yang saya pelajari terutama berkaitan pengurusan selok belok perniagaan dan kakitangan,” katanya.

Menurutnya, dua elemen itu amat penting bagi memastikan segalanya berjalan lancar kerana jatuh bangunnya sebuah jenama itu terletak kepada pengurusan yang cekap dibantu oleh kerjasama kakitangan.

Dalam pada itu, menurutnya soal disiplin diri memainkan peranan utama kerana banyak perkara dalam pengurusan perniagaan memerlukan disiplin diri yang baik.

“Saya amat menekankan soal masa dan cuba untuk menepati masa. Bagi saya, masa tidak akan menunggu kita. Oleh itu saya berusaha supaya tidak berada dalam saat kerugian.

“Kini, persaingan dalam perniagaan juga sangat sengit, semakin ramai usahawan baru berkecimpung dalam bidang ini namun ia tidak sedikit pun mematahkan semangat saya untuk terus berjaya,” ujarnya.

Tambahnya, atas faktor itu juga dia sentiasa menitikberatkan soal rekaan koleksinya supaya sentiasa mendapat tempat di hati pelanggan.

“Saya akui bukan mudah kekal bertapak namun saya perlu kuat, Syukur sehingga ke saat ini walaupun pernah berdepan dengan pelbagai dugaan termasuk kerugian, saya tetap kuat dan terus mengukuhkan empayar perniagaan ini.

“Saya juga berusaha pastikan setiap tudung dan selendang di bawah jenama saya bukan saja cantik digayakan malah memudahkan dan yang pastinya terkini,” katanya.

Menurutnya, dia juga menasihati usahawan lain terutama yang baru bertapak supaya tidak sesekali mudah berputus asa kerana kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha keras.

“Saya juga sentiasa mengingatkan diri sendiri supaya memastikan kejayaan ini berterusan dan dapat memuaskan hati pelanggan dengan menghasilkan koleksi fesyen yang menepati cita rasa mereka.

“Walaupun bukan mudah, bagi saya tiada yang mustahil asalkan sentiasa mengamalkan ketekunan dan disiplin tinggi dalam diri,” ujarnya mengakhiri bicara.

Disiarkan pada: November 30, 2018 @ 7:31am
d