hati

Larian menyeronokkan sambil beramal

Oleh HM Digital

Ada banyak cara kreatif yang boleh dilakukan untuk membantu orang lain. Sesetengah orang lebih suka bergerak sendiri mengikut program yang dirasakan sesuai dengan jiwanya dan ada selesa menyertai program sedia ada, tetapi tetap memberikan komitmen sepenuhnya.

Aktiviti larian amal adalah antara bentuk program yang makin popular dalam kalangan masyarakat kita. Dalam menyumbang kepada golongan sasar, peserta juga mendapat manfaatnya melalui peningkatan tahap kesihatan diri dengan cara yang menyeronokkan apatah lagi jika ia dilakukan bersama ahli keluarga dan rakan.

Larian ceria keluarga, Columbia Asia Magical 5K Diabetes Awareness Run di Taman Botani Shah Alam anjuran Hospital Columbia Asia antara yang mendapat sambutan hangat.

Ia diadakan sempena Hari Diabetes Sedunia yang diraikan pada 18 November setiap tahun.

Dalam larian kali ini, seramai 1,800 pelari mengambil bahagian. Menariknya mereka datang bersama ahli keluarga dan anak kecil yang didedahkan dengan aktiviti sihat lagi menyeronokkan.

Semuanya teruja dan seronok. Mana tidaknya, di beberapa lokasi sepanjang trek sejauh lima kilometer itu dihias dengan tema magis yang terkenal. Setiap satu direka cantik dan menjadi tumpuan pelari untuk merakamkan gambar kenangan yang boleh dimuat naik di laman media sosial masing-masing.

Antaranya Hutan Cendawan yang diserikan dengan hiasan bersaiz besar, membuatkan peserta larian berasa seolah-olah memasuki dunia hutan cendawan. Ia diikuti tema Fro-Zone apabila semua objek di lokasi itu diliputi 'salji' dan 'hujan embun' yang menyejukkan pandangan.

Tidak cukup dengan itu, kehadiran watak menarik yang mengenakan kostum butiran salji dan puteri ais turut menghiburkan peserta larian menyebabkan ramai mengambil kesempatan merakamkan gambar kenangan.

Di hentian seterusnya, peserta dihidangkan dengan dunia Bawah Laut dengan terowong diliputi rumpai laut dan sudut karangan laut. Dua watak istimewa di sini iaitu si obor-obor dan ikan duyung paling memikat perhatian kanak-kanak.

Keseronokan yang ditawarkan dalam larian ini menyebabkan ada yang tidak sedar mereka sebenarnya sedang menyumbang kepada tabung pesakit diabetes kanak-kanak di bawah naungan persatuan Diabetes Malaysia.

Program tanggungjawab sosial korporat Columbia Asia ini bertujuan meringankan beban pesakit diabetes khususnya kanak-kanak supaya mereka boleh menikmati kehidupan yang lebih baik.

Diabetes adalah penyakit kronik sepanjang hayat yang memberi beban besar kepada pesakit dan keluarga. Oleh kerana penawar diabetes belum ditemui, pengurusan penyakit yang baik adalah penting.

Walaupun pesakit diabetes kanak-kanak ini menerima bekalan insulin dari hospital kerajaan secara percuma tetapi mereka masih perlu membeli peralatan pemantauan sendiri yang merangkumi glukometer, strip, jarum dan lanset.

Semua alatan ini diperlukan setiap hari untuk memeriksa paras gula dalam darah dan bagi keluarga yang kurang berkemampuan, kos untuk mendapatkan semua peralatan ini akan membebankan.

Dalam larian kali keenam ini, RM20,000 berjaya dikumpulkan dan sumbangan diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Columbia Asia - Asia Tenggara Kevin Tan kepada Naib Setiausaha Agung Diabetes Malaysia K.S Maniam.

Hadir sama, Pengurus Besar Serantau Coumbia Asia (Rantau II) Tom Lim dan Pengurus Besar Serantau (Rantau I) Engku Marina Engku Hatim.

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 12:36pm
d