hati

Solekan impak lembut

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Saban hari gaya solekan kian pantas berubah mengikut pengaruh trend solekan semasa. Sekalipun masing-masing mempunyai stail dan pendapat berbeza, kaedah bersolek terkini tetap menjadi rujukan untuk tampil jelita di majlis keraian, pejabat ataupun bersantai.

Tidak kira sama ada menggunakan produk antarabangsa mahupun tempatan, kualiti solekan sebenarnya banyak bergantung kepada teknik dan kebolehan merias wajah.

Menurut jurusolek profesional Hana Hamdan, antara jenis solekan selamat yang boleh menyerlahkan kejelitaan wanita adalah solekan impak lembut terutama menggunakan teknik yang betul.

“Mulakan solekan dengan semburan pelembap wajah atau krim pelembap biasa dan biarkan ia benar-benar meresap jauh ke dalam kulit.

“Selepas menggunakan bedak asas diikuti bedak padat dengan sekata, sapukan pemerah pipi terlebih dulu bagi mendapatkan kesan yang lebih menyerlah. Ia dinamakan teknik ‘tanam pemerah pipi’.

“Untuk solekan lembut, gunakan celak mata rona putih kerana ia lebih semula jadi dan memberikan impak segar. Kebiasaannya, ramai menggunakan celak mata rona coklat atau hitam namun sedikit berbeza dengan jenis solekan ini,” katanya.

Hana berkata, diingatkan pemilihan rona gincu juga memainkan peranan besar dalam hasil keseluruhan solekan. Gincu berwarna lembut lebih sesuai untuk menghasilkan jenis solekan ini.

“Paling utama adalah pemilihan rona kerana ia memberikan kesan yang berbeza. Penggunaan rona terang dan menyerlah akan memberikan hasil yang lebih ‘wow’ berbanding penggunaan rona lembut.

“Solekan ini sesuai digayakan untuk banyak acara juga malah ia adalah pilihan tepat bagi gaya harian kerana ia tidak keterlaluan dan sedap mata memandang,” ujarnya.

Kata Hana, paling utama, kenali terlebih dulu rona wajah dan jenis karakter diri sebelum cuba mengenakan apa juga jenis solekan kerana sekiranya tersalah pilih penampilan keseluruhan kemungkinan kelihatan janggal.

Hana berkongsi langkah demi langkah melakukan solekan berimpak lembut.

Disiarkan pada: December 6, 2018 @ 3:49pm
d