hati

Senaman bersama si comel

Oleh Siti Zarinah Sahib

Selepas melahirkan cahaya, ramai wanita mengakui sukar mendapatkan berat badan ideal seperti sebelum hamil walaupun sudah melalui proses berpantang secara konsisten.

Kebiasaannya bahagian paling sukar ‘dibentuk’ adalah perut dan paha kerana di sinilah letaknya simpanan lemak terkumpul yang sukar dihilangkan dan memerlukan penjagaan makanan dan senaman yang betul.

Bagi Nur Afifah Addenan yang mengikuti senaman di Bangi Fitness dia turut berhadapan masalah yang sama selepas melahirkan Ayli Althea empat bulan lalu. Belum berpuas hati dengan bentuk badan sekarang, Nur Afifah ingin mengurangkan berat tanpa perlu melalui diet yang ketat.

“Saya bukanlah mahu kurus seperti model tetapi cukuplah sekiranya mendapat bentuk badan seperti sebelum mengandung. Maklumlah sebagai suri rumah dan bekerja secara sambilan saya memerlukan tenaga untuk kekal aktif. Apatah lagi menguruskan si kecil Althea dan anak yang lain sememangnya memerlukan tenaga,” katanya.

Walaupun mengetahui teknik senaman untuk mengecilkan bahagian tertentu, ada kala dia tidak dapat bersenam secara konsisten disebabkan anak menangis dan perlu menguruskan si comel.

Mahu berkunjung ke gimnasium agak sukar kerana tiada sesiapa mampu menguruskan anaknya. Oleh kerana tidak mahu meninggalkan senaman yang menjadi rutin hariannya Nur Afifah merangka pergerakan bersama bayi agar kedua-duanya mendapat manfaat.

“Saya ibaratkan bayi sebagai bebanan seperti ketika memegang dumbel. Ibu perlu memastikan keselamatan bayi ketika bersenam. Elakkan mengangkat terlalu tinggi, menggoncang atau menghempas kerana ia boleh menyebabkan kecederaan kekal,” katanya.

Ibu perlu memahami tujuan bersenam bersama bayi iaitu ingin menggantikan bebanan dengan bayi sendiri. Oleh itu, langkah keselamatan mesti diutamakan. Sebaik-baiknya lakukan senaman selepas bayi kenyang atau selepas bangun tidur.

Ketika ini mereka tidak meragam sehingga boleh mengganggu senaman. Mainkan muzik lembut bagi mengalihkan tumpuan kepada si kecil. Untuk pembaca Hati Harian Metro Nur Afifah menunjukkan langkah demi langkah senaman bersama si comel.

1. Lunges sambil memegang bayi

Peluk bayi anda rapat ke badan dengan muka bayi menghadap ke hadapan (seperti dalam gambar). Mula berdiri dengan kaki sedikit terbuka lebar daripada jarak bahu. Satu kaki dibengkok dengan lutut mencapai sudut 90 darjah manakala sebelah kaki diluruskan. Tekankan punggung ke belakang. Kembali ke tengah kemudian tukar posisi. Lakukan 10 kali.

2. Ciuman bayi tekan tubi

Letakkan bayi di atas tikar senaman, berada dalam posisi seperti melakukan tekan tubi dengan kedua tangan di sisi bayi. Angkat badan dan kaki seperti melakukan plank atau melutut.

Turunkan dada anda ke atas bayi dengan memberikan satu ciuman kepadanya. Tekan badan anda kembali ke plank dan ulang. Cuba lapan hingga 10 kali.

3. Bayi di atas paha

Baring di lantai dengan membengkokkan lutut, letakkan bayi di atas bahagian pelvis anda. Ketatkan bahagian perut dan rapatkan pelvis anda supaya pinggul rata ke lantai. Ketatkan bahagian bawah badan dan angkat pinggul anda dari lantai.

Keras dan ketatkan pinggul anda ketika di atas dan kemudian perlahan-lahan turun ke lantai. Lakukan 10 kali untuk kesan optimum. Senaman ini baik untuk perut dan paha.

4. Squats bersama bayi

Sambil memegang bayi, bukakan kaki anda dengan luas. Perlahan-lahan bengkokkan lutut dan tolak punggung ke belakang seolah-olah seperti sedang duduk. Ketatkan pinggul, tekan menggunakan kaki, dan kembali ke posisi permulaan. Lakukan 15 hingga 20 kali. Bayi boleh dipeluk rapat ke badan atau dipegang dengan meluruskan tangan bergantung kepada keselesaan bayi.

5. Berdiri dengan kaki kiri seimbangkan

Rapatkan kedua kaki, kemudian gerakkan satu kaki lurus ke belakang. Pastikan bayi dipegang erat di dada. Pandang hadapan dan imbangi badan. Lakukan senaman selama satu minit, kemudian tukar kaki. Senaman ini memberikan ketegangan pada bahagian betis anda.

6. Angkat kaki

Berbaring dengan dua-dua diangkat lurus. Letakkan bayi di atas badan dengan kepala bersandar pada paha anda. Pastikan kaki anda kekal lurus dan angkat setinggi boleh dalam keadaan lurus. Perlahan-lahan turunkan kaki sehingga mencecah lantai. Pastikan bayi berada dalam keadaan selesa. Kemudian naikkan kaki semula. Ulang sebanyak 20 kali untuk kesan maksimum.

Disiarkan pada: December 10, 2018 @ 6:30am
d