hati

Bawa saingan Malaysia di Singapura

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Muda, kreatif dan berbakat. Tidak banyak pentas yang mengiktiraf bakat pereka hiasan dalaman mahupun seni bina. Populariti mereka juga jauh ketinggalan berbanding individu yang terjun ke bidang fesyen, solekan, grafik mahupun multimedia.

Bagamanapun, minggu lalu Anugerah Pereka Muda Asia (AYDA) 2018 mengangkat dua nama baru dalam industri berkenaan. Pemegang Sarjana Seni Bina dari Universiti Malaya (UM), Loo Yi, 25, dan lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Dalaman dari Taylor’s University, Zachary Khaw Lit Siang, 24, masing-masing diumumkan sebagai penerima anugerah berprestij itu.

Kemenangan itu secara automatik membawa Loo Yi dan Zachary Khaw mewakili Malaysia di Sidang Kemuncak Pereka Asia Muda di Singapura untuk bersaing dengan barisan pemenang dari 14 rantau Asia bagi meraih gelaran Pereka Muda Asia 2018/19, Mac depan.

Ia selari dengan tema AYDA yang mahu pereka muda di seluruh Malaysia menyahut cabaran, melangkaui sempadan dalam reka bentuk, pemikiran dan inovasi, melepasi norma reka bentuk semasa sambil melihat ke masa hadapan, sekali gus meramal rekaan mampan demi manfaat komuniti serta kemanusiaan secara keseluruhan.

Bercerita mengenai latar belakang diri dan projek yang dipertandingkan dalam AYDA 2018, Loo Yi berkata, dia memang optimis dengan hasil tesis yang disiapkan untuk pengajian sarjananya di UM.

Anak muda ini dianugerahkan hadiah utama untuk rekaannya, Mangrove Charcoal Living Museum, yang mempamerkan konsep muzium bukan konvensional, menggabungkan mentaliti pemikiran ke hadapan dalam integrasi struktur antara sifat fizikal serta alam sekitar.

Turut memberi fokus kepada reka bentuk ruang dan pameran di dalam, rekaannya menggabungkan kilang arang tradisional sedia ada dengan alam semula jadi serta mengubah tapak asal menjadi lokasi tarikan pelancong.

Hasil usaha Loo Yi berjaya mencuri perhatian juri berikutan menonjolkan rekaan unik, mesra alam dan bercirikan pembangunan mampan dengan hutan bakau di sekelilingnya.

“Sebenarnya, ini adalah projek tesis saya. Idea untuk meneroka potensi di Kuala Sepetang, Taiping, muncul selepas saya membelek gambar lama. Saya pernah ke sana dan melihat sendiri keindahan hutan bakau dan kehidupan nelayan sekitar.

“Bagi saya, Kuala Sepetang ada keunikan tersendiri. Saya lihat potensi luas untuk dikembangkan. Paling penting, saya mahu menghasilkan tesis yang unik, memiliki kekuatan tersendiri dan tidak sama seperti pelajar lain,” katanya.

Jelas Loo Yi, selepas menyempurnakan tesisnya, dia nekad menghantar penyertaan untuk bersaing dalam AYDA 2018. Malah, semangatnya kian membara selepas melihat kejayaan pelajar terdahulu yang pernah meraih anugerah sama pada tahun sebelumnya.

“Ketika mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dulu, ada pelajar senior yang berjaya membawa pulang hadiah emas. Begitu juga di UM. Jadi, saya katakan pada diri, jika mereka boleh, mengapa saya tidak?

“Saya percaya usaha berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kuala Sepetang, berjumpa pengusaha kilang dan tauke arang, modal wang, masa dan perjalanan yang sudah dilaburkan tidak pernah sia-sia. Sepanjang setahun, saya juga mempelajari banyak benda. Apa sebenarnya industri pembuatan arang bakau, bagaimana sistem mereka, apa potensi yang boleh dimajukan serta jauh mana arang boleh dipasarkan.

“Jadi, apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Emas AYDA Kategori Seni Bina tahun ini, saya anggap ia sebagai satu penghormatan besar untuk susah payah yang dilalui sebelum ini. Saya menghargai kepercayaan juri. Apabila saya mendapat inspirasi projek ini, saya mahu ia bukan menjadi sekadar galeri untuk memaparkan koleksi sisa fizikal di Kuala Sepetang, tetapi juga tapak yang menggabungkan amalan kebudayaan bukan fizikal serta warisan hutan semula jadi,” katanya.

Sementara itu, Zachary Khaw yang memenangi Anugerah Emas AYDA Kategori Reka Bentuk Dalaman berkata, dia mendapat inspirasi untuk menghasilkan projek The Weave daripada kelompangan industri fesyen tempatan.

“The Weave adalah inkubator fesyen untuk pereka tempatan mengitar semula tekstil lama ke pakaian baru. Itu adalah salah satu asas konsepnya. Idea ini juga mempamerkan bagaimana sebuah bangunan dapat diubah konsep masa depan bagi memenuhi keperluan fesyen yang wujud dalam masyarakat dengan cara yang lestari.

“Saya mahukan kelainan. Seseorang pernah memberitahu supaya, lakukan apa yang saya mahu jadi pada masa depan. Walaupun saya meminati bidang fesyen, namun saya percaya bukan semua boleh mengukir nama sebagai pereka terkenal.

“Saya anggap projek ini sebagai karya peribadi. Saya meminati semua cabang reka bentuk dan memahami kesukaran pereka fesyen baru untuk bertapak. Menerusi The Weave, saya menyimpan impian untuk memberikan suatu kemudahan unik kepada semua pelajar reka bentuk fesyen. Saya mahu membantu mereka berjaya melalui setiap kemudahan yang disertakan dalam reka bentuk projek ini.

“Bagaimanapun, ini adalah kali pertama saya menyertai anugerah seperti ini dan AYDA sememangnya satu pengalaman yang mengubah hidup. Ia menjadi platform terbaik untuk saya menyinar dalam industri ini,” katanya.

Semua hadiah disampaikan Pengurus Besar Kumpulan Nippon Paint Malaysia Gladys Goh, diiringi Pengarah Urusan IJM Land Berhad Edward Chong Sin Kiat serta barisan juri.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 5:00am
d