hati

'Seronok jadi doktor'

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

“Ini baby (bayi) saya. Nama dia Adam. Tadi saya sudah periksa jantung dan badan Adam. Kemudian kami buat X-ray dan nampak tangan Adam patah. Jadi, saya kena balut dan beri dia ubat,” petah jawapan Muhammad Adib Haziq Mahadi.

Kanak-kanak berusia lima tahun itu begitu seronok mencuba memeriksa dan merawat patung beruang yang dinamakan Adam. Sesekali doktor pelatih yang duduk berdekatan Muhammad Adib menutup mulut menahan senyum dengan gelagat si cilik itu.

“Sebenarnya, cita-cita saya hendak menjadi juruterbang. Saya nak pakai baju (seragam) dan pandu kapal terbang. Tapi, kali pertama berada di sini dan menjadi doktor pun seronok juga,” katanya sambil ketawa riang.

Pengalaman sama turut dikongsi Putri Damia Adriana Omar, 10. Dia yang menamakan patung beruangnya sebagai Pooh juga seronok bergelar doktor di Teddy Bear Hospital bersama rakan.

“Biasanya saya bermain doktor olok-olok di rumah saja. Tapi di sini, ada doktor betul yang ajar. Tentunya pengalaman di sini lebih seronok. Saya juga dapat banyak ilmu baru mengenai kesihatan, pemakanan dan penyakit,” katanya.

Ketika Hati berkunjung ke Teddy Bear Hospital sempena Pesta Kanak-Kanak Islamic Malaysia (MICF) di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur baru-baru ini, kelihatan ramai anak kecil merebut peluang menjadi doktor sambil ditemani ibu masing-masing.

Kata Setiausaha IMACATS (IMAM Children and Teens Super Team) Dr Zaahirah Mohammad, Teddy Bear Hospital adalah program khusus untuk mendekati kanak-kanak dan ibu bapa.

“Program ini sudah lama bertapak di negara maju seperti United Kingdom dan Eropah lain. Konsepnya diguna pakai secara meluas untuk mendekati kanak-kanak menggunakan pendekatan bermain dan permainan watak.

“Di Malaysia, program Teddy Bear Hospital mula diperkenalkan pada 2013. Kemudian ia dibawa dalam MICF 2015 sebelum terus mengorak langkah lebih luas ke seluruh negara. Menariknya, penggerak aktiviti ini terdiri daripada doktor yang juga ahli Persatuan Perubatan Islam (IMAM) dan IMACATS sendiri, dengan tujuan mendidik kanak-kanak ke arah ilmu kesihatan secara interaktif serta menarik,” katanya.

KURANGKAN FOBIA

Menurut Dr Zaahirah, lazimnya pada umur kanak-kanak, mereka mudah takut dan fobia bertemu doktor. Mereka membayangkan pelbagai situasi termasuk disuntik, makan ubat dan banyak lagi prosedur yang menyakitkan.

“Di sini, mereka boleh bawa patung kesayangan atau mainan kesukaan yang ‘sakit’ untuk mendapatkan rawatan di Teddy Bear Hospital. Jika tidak ada sekalipun, kami akan suruh mereka pilih patung yang ada di sini dan namakan mereka.

“Sebagai pengenalan, mereka akan bercerita latar belakang patung kesayangan dan memulakan interaksi seperti doktor dan pesakit dengan bimbingan sukarelawan yang ada,” katanya.

Jelas Dr Zaahirah, nama Teddy Bear dipilih kerana ia adalah mainan yang sangat sinonim dengan kanak-kanak. Malah katanya, setiap kanak-kanak pasti mempunyai mainan kesukaan mereka. Mereka tidur bersama dan melakukan banyak berkongsi aktiviti.

“Bagaimanapun, kami mengamalkan sikap terbuka. Kanak-kanak boleh menyertai program ini dengan membawa apa saja mainan kesukaan termasuk robot. Setakat ini, ramai juga kanak-kanak yang datang ke Teddy Bear Hospital dengan ular, monyet dan pelbagai jenis patung haiwan kesayangan mereka.

“Semua itu tidak penting. Apa yang utama, kami mahu membantu mengurangkan ketakutan dan fobia kanak-kanak terhadap hospital, doktor, jururawat, prosedur rawatan dan ubat. Selain itu, program ini juga membuka ruang untuk kanak-kanak berfikir secara kreatif, meningkatkan keyakinan diri ketika bercakap dengan orang lain dan menambah pengetahuan am.

“Kami mahu mewujudkan persekitaran yang kondusif, interaktif dan menarik untuk kanak-kanak. Saya percaya, peluang sebegini turut berharga untuk pasukan perubatan membantu mendidik kanak-kanak dan ibu bapa mengenai pemakanan sihat, penjagaan gigi, kebersihan dan banyak perkara berkaitan,” katanya.

ANTARA AKTIVITI

Memperincikan pengisian program, kata Dr Zaahirah, Teddy Bear yang sakit biasanya perlu melalui beberapa bahagian. Sebagai permulaan, kanak-kanak akan ditanyakan sejarah pesakit.

“Mereka digalakkan untuk menceritakan apa yang terjadi kepada patung kesayangan untuk kami lebih memahami. Selepas itu, barulah pemeriksaan suhu badan, ukuran tinggi, ukur lilit kepala, pemeriksaan paru-paru dan jantung dijalankan.

“Patung itu kemudian akan melalui beberapa siri pemeriksaan dan prosedur khusus untuk memastikan kecederaan dialami, seperti imbasan sinar-X. Sesudah itu, kanak-kanak perlu membawa patung mereka mendapatkan preskripsi mengikut jenis penyakit sama ada suntikan, ubat minum, balutan dan sebagainya.

“Sebagai melengkapkan lawatan ke hospital, mereka juga akan diajar mengenai pemakanan sihat dan cara untuk membezakannya. Sepanjang proses ini berlangsung, mereka digalakkan untuk bertanya dan memberi cadangan,” katanya.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 5:30am
d