hati

Segar tapi hangat

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Merias wajah sudah menjadi suatu keperluan bagi setiap wanita untuk meningkatkan penampilan dan gaya apatah lagi jika semakin meningkat usia.

Mengenakan solekan tidak semestinya untuk acara tertentu saja, sebaliknya solekan tipis untuk ke pejabat juga penting supaya wanita sentiasa tampil berkeyakinan berdepan ramai orang.

Rata-rata wanita muda sering mengambil berat penampilan mereka namun apabila meniti usia lewat 30-an, ramai yang mengabaikan aspek kecantikan dan penampilan diri.

Pemilihan solekan tidak tidak hanya berdasarkan pada warna kulit, namun ia juga bergantung pada umur.

Contohnya, trend solekan ‘dewy’ yang dipopularkan selebriti Korea iaitu kulit wajah seakan-akan tiada cela dan bersinar dengan pipi yang kemerah-merahan menjadi idaman wanita.

Namun, hakikatnya gaya solekan seperti itu tidak begitu sesuai apabila usia anda mendekati 40 tahun. Pada umur itu, kesan yang ingin ditonjolkan ialah segar tapi hangat.

Disebabkan faktor usia, kulit pasti memiliki garis halus, kedutan dan kadang-kadang warna kulit yang pucat dan tidak sekata. Oleh itu, solekan memerlukan teknik yang betul supaya wanita berusia tampil menarik dan lebih muda daripada usia sebenar.

Jurusolek Butik Ratu Ayu, Azauyah Mohd Ridzuan atau lebih mesra dipanggil Azza berkata, antara tip untuk solekan ringkas bagi wanita berusia adalah menggunakan bedak asas yang mengandungi serum supaya kulit lebih lembap, kenyal dan tegang.

Katanya, bedak asas juga digunakan untuk sapuan di bawah mata bagi menutup geleber bawah mata dan pori kulit manakala pilihan warna perlu mengikut ton kulit dan ratakan secara tipis saja.

Teknik pembayang juga penting untuk menyerlahkan bentuk muka. Bagaimanapun, untuk solekan ke pejabat kebiasaannya tidak memerlukan teknik pembayang yang berat, cukup sekadar di bahagian hidung bagi menonjolkan tulang di bahagian itu.

Selain itu, ia dapat menjimatkan masa memandangkan anda pasti mahu bersiap pantas sebelum terperangkap dalam kesesakan trafik menuju pejabat.

Tambahnya, pembayang mata berwarna gelap boleh digunakan di bawah mata bagi menggantikan celak. Ini kerana, teknik itu membuatkan tekstur lebih licin dan tahan lebih lama berbanding celak.

Untuk memberikan efek mata besar, pembayang mata berwarna gelap disapu di bawah mata manakala kelopak mata disapu pembayang rona coklat atau merah jambu gelap.

Untuk membentuk kening pula, pensil kening warna coklat gelap digunakan pada siang berbanding hitam untuk mengelakkan wajah kelihatan garang selain mengenakan maskara supaya mata tampak hidup dan segar.

Langkah solekan

Disiarkan pada: December 13, 2018 @ 12:38pm
d