hati

Busana klasik moden

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Bertemakan mewah, kelas tersendiri dan menarik, butik C’La Exclusive tampil berani dengan sentuhan kasual merangkumi elemen fesyen antarabangsa serta dikombinasikan mengikut kesesuaian masyarakat Malaysia.

Menariknya, keunikan pada rekaan terbaru itu juga terlihat pada konsep suai padan dalam beberapa koleksi butik itu.

Menurut pengasasnya, Siti Norhasilah Ahmad Saufian Nasauri, konsep suai padan lebih menjimatkan dan tidak perlu membeli banyak kerana setiap baju, skirt atau seluar boleh dipadankan dengan pakaian lain.

Konsep ini menjadi keistimewaan jenama terbabit yang menyediakan pakaian boleh disuai padan malah sebahagian rekaan turut mengekalkan konsep klasik moden.

“Kami menghasilkan rekaan klasik contohnya baju kurung Kedah, batik dan baju kurung tradisional yang diterapkan elemen mewah.

“Malah kami bukan saja menghasilkan rekaan biasa tapi turut menekankan gaya eksklusif supaya si pemakainya suka selain yakin dengan keterampilan mereka,” katanya.

Menurutnya, sasaran jualan produk butik itu untuk golongan yang berusia antara 25 hingga 45 tahun.

Ini kerana katanya, rekaan butik itu lebih menumpukan kematangan bukan berkonsep funky atau terlampau moden, malah julat harga ditawarkan sememangnya untuk mereka yang berkerjaya atau pendapatan sederhana hingga tinggi.

Dari segi rekaan dan pemilihan bahan, katanya, dia mementingkan ciri premium dan eksklusif.

Penggunaan warna terang, asas, lembut selain corak moden, klasik dan minimalis menjadi pilihan untuk menghasilkan pakaian kasual butik ini yang turut menjadi ciri uniknya.

Memandangkan dirinya juga tergolong dalam usia berkenaan, rekaan yang menepati dan memenuhi cita rasa wanita berada dalam julat usia itu turut dihasilkan.

Katanya, pemilihan fabrik pula bukan dibuat semberono, sebaliknya dia terlebih dulu menguji kualiti fabrik dan memakainya sendiri sebelum dipasarkan.

“Saya amat mementingkan pemilihan fabrik. Oleh itu, penting bagi saya memilih fabrik terbaik untuk dijadikan pakaian. Selain itu, saya juga mementingkan rekaan dan setiap rekaan yang dihasilkan akan disemak sebelum dijual kepada pelanggan. Kualiti menjadi keutamaan C’La Exclusive.

“Kita seboleh-bolehnya mahu menghasilkan rekaan yang ringkas dan minimalis tapi mampu membuat si pemakai tampil anggun dan memukau. Sebelum menghasilkan koleksi ini, kami sudah mengenal pasti rekaan mana yang digemari pelanggan selain mengambil kira fabrik digunakan,” katanya.

Menurutnya, butik yang diasaskannya sejak 2016 itu terus mendapat sambutan di luar jangkaan dan memiliki pelanggan tetap yang sentiasa menantikan koleksi terbaru jenama itu.

Dalam pada itu, katanya, perancangannya pada masa akan datang mahu menghasilkan lebih banyak rekaan kasual dan sesuai untuk kegunaan harian.

“Fokus utama kami pada 2019 ialah untuk menghasilkan produk yang boleh digunakan ke pejabat atau untuk kegunaan harian,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2018 @ 2:41pm
d