hati

Pasangan kuat dakwah

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

“Saya memasang impian untuk melahirkan lebih ramai aktivis masyarakat dan menggalakkan masyarakat membabitkan diri secara aktif dalam kerja sukarela di samping memberi peluang kepada sesiapa yang berminat untuk menghulurkan apa juga bentuk bantuan- Prof Madya Dr Nadiyah

Lebih 23 tahun lalu, usaha dakwah dan kerja amal dilakukan figura ini bersama suami tercinta dimulakan dengan hanya bertumpu kepada dakwah santai di kawasan kejiranan mereka.

Bertitik tolak daripada usaha kecil itu, wanita berjiwa besar ini tidak menoleh ke belakang sebaliknya ‘ligat’ mencari peluang dan ruang untuk melakukan kerja amal.

Sememangnya usaha murni Prof Madya Dr Nadiyah Elias, 54, wajar diberi pujian. Mana tidaknya, jika orang lain selesa menghabiskan waktu terluang bersama keluarga di rumah, mereka mengerah keringat membantu golongan yang memerlukan atas dasar kemanusiaan.

Dr Nadiyah juga cukup bertuah kerana suami, Suhaidi Sujak yang juga seorang pendidik turut mencintai kerja amal dan kebajikan sekali gus menjadikan urusan Pensyarah Kanan di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu lebih mudah.

Ibu kepada enam cahaya mata itu berkata, dia memulakan usaha dakwah dan kerja amal sendiri bersama suami yang dinamakan Dakwah Bil Hikmah, iaitu lebih kepada usaha peribadi mereka sekeluarga.

“Suami guru sekolah rendah jadi jiwanya memang dekat dengan kanak-kanak. Jadi apa yang kami buat adalah dengan mengajak anak-anak jiran ke rumah dan kita lakukan aktiviti bermanfaat dan ilmiah.

“Ada juga kami adakan aktiviti berkhemah dan nasyid untuk mengisi masa lapang mereka. Ketika itu kami baru pindah ke Kedah selepas mendapat tawaran sebagai tutor di UUM,” katanya.

Kesukarelawan memang sebati dalam jiwa Pengarah Eksekutif Yayasan Nusrah itu, sejak mula bertugas di universiti itu lagi dia giat mengumpul dana untuk disalurkan ke rumah anak yatim dalam bentuk barangan keperluan dan pakaian.

Usahanya juga mendapat sambutan daripada ramai rakan pendidik yang turut sama membantunya melaksanakan program itu.

Katanya, walaupun ketika itu Internet tidak digunakan secara meluas seperti sekarang, jadi ruang penyampaian maklumat berkaitan kerja amal seumpama itu agak terhad. Namun katanya, usahanya itu tetap mendapat sambutan yang amat baik.

Kesibukan tugas sebagai pendidik tidak menghalangnya membahagikan masa terluang yang ada dengan perkara bermanfaat.

Usahanya itu turut mendapat perhatian abangnya, Ahmad Ziyad Elias yang juga tokoh korporat dan usahawan berjaya dengan menyalurkan sejumlah dana dan menubuhkan Yayasan Nusrah pada 2010 supaya ruang kerja kebajikan diusahakan Dr Nadiyah dapat disebar luas dan diuruskan dengan lebih cekap.

“Melalui yayasan itu, abang saya berhasrat untuk membantu lebih ramai orang susah terutamanya menambah baik taraf kehidupan dengan mula berniaga.

“Bukan itu saja, penubuhan yayasan itu juga dapat membantu meningkatkan usaha dakwah merangkumi pelbagai aspek kehidupan,” katanya.

Menurut Dr Nadiyah, matlamat utama Yayasan Nusrah adalah ke arah membantu sebahagian dari masyarakat Islam menjalani kehidupan di dunia secara berkesan di dalam rangka mencapai kejayaan di akhirat.

Ini dilakukan untuk meningkatkan keteguhan diri melalui program peningkatan dari aspek aqidah (kerohanian), identiti diri (psikologi dan motivasi diri), dan ekonomi.

“Yayasan Nusrah berusaha mencapai matlamat ini melalui program bantuan jangka pendek keperluan hidup, program pendidikan dan latihan yang merangkumi kerohanian, psikologi dan motivasi diri, serta latihan pekerjaan dan perniagaan.

“Saya memasang impian untuk melahirkan lebih ramai aktivis masyarakat dan menggalakkan masyarakat membabitkan diri secara aktif dalam kerja sukarela di samping memberi peluang kepada sesiapa yang berminat untuk menghulurkan apa juga bentuk bantuan,” katanya.

Dr Nadiyah bukan nama asing dalam kerja kebajikan, malah wanita berkelulusan psikologi dan kaunseling itu pernah menjadi kaunselor sukarela di Women’s Shelter anjuran Women Crisis Center, Pulau Pinang pada 2005.

Tahun sama, beliau menjadi kaunselor dan pekerja sukarela di pusat perpindahan mangsa tsunami Kota Kuala Muda, Kedah dan pernah tinggal bersama masyarakat orang asli Mahmeri selama tujuh bulan di Pulau Lumut (sekarang Pulau Indah).

Melalui Yayasan Nusrah, selain pelbagai program kebajikan bagi golongan memerlukan, aktiviti dakwah, ekonomi sara diri, faham Quran melalui kaedah hafal kata, Irsyad Diri, kempen menderma, klinik kaunseling, kelas Kafa, program korban di Kemboja dan pengajian al-Quran antara yang turut dilaksanakan.

Dr Nadiyah kini turut aktif mengadakan bengkel yang dinamakan Ceria ke Syurga bertujuan membimbing peserta untuk meningkatkan agama dan hubungan dengan Allah selain meningkatkan kualiti kehidupan dan tahap kebahagiaan.

Bengkel itu juga meningkatkan kemahiran peserta dan keyakinan diri membimbing orang lain orang lain. Peserta juga mendapat peluang mencari pendapatan tambahan selain latihan personal (personal coaching) berkumpulan selama sebulan.

Dr Nadiyah berkata, sepanjang perjalanan sebagai aktivis, banjir besar di Manik Urai, Gua Musang dan Kuala Krai, Kelantan empat tahun lalu memusnahkan sebahagian besar tempat tinggal penduduk di situ antara pengalaman yang tidak dapat dilupakannya.

Katanya, dia dibantu ramai pihak untuk memulakan projek Rumah Kecil Tiang Seribu iaitu pembinaan tempat tinggal untuk sebahagian mangsa banjir yang terjejas teruk.

Malah katanya, projek itu direalisasikan menerusi 83 binaan rumah kecil yang memberi penempatan sementara untuk mangsa. Ia memberi tempat perlindungan lebih selesa berbanding terpaksa tidur di dalam khemah.

“Kita tidak menamakan rumah kecil kita rumah sementara, kerana binaannya kukuh tahan lama. Kita namakannya rumah bantumula (starter house) kerana ia boleh ditambah atau disambungkan kelak ke rumah baru seandainya penghuni mendapat rezeki rumah baru,” katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2018 @ 3:53pm
d