hati

Keyakinan beri keyakinan, pelengkap gaya

Oleh Siti Zarinah Sahib

Wanita bukan hanya memakai perhiasan untuk meningkatkan keyakinan diri tetapi bagi melengkapkan fesyen yang digayakan mereka. Dalam hal ini selain potongan, tidak banyak mampu disesuaikan memandangkan kebanyakan perhiasan di pasaran adalah daripada warna yang sama seperti emas, mutiara atau berlian.

Mengambil kira keinginan wanita terutama golongan muda untuk tampil lebih versatil, Les Georgettes by Altesse menemui peminatnya di Malaysia apabila dilancarkan awal bulan ini.

Ia menawarkan gelang dalam 18 reka bentuk, dengan enam saiz dan kemasan. Apa yang menjadikan jenama ini sangat istimewa apabila wanita boleh menukar warna band (alas diperbuat daripada kulit dengan warna pelbagai) bagi menyesuaikan dengan acara yang akan dihadiri.

Pengarah Urusan Habib Jewels Sdn Bhd Datuk Seri Meer Sadik Habib berkata Habib teruja dengan Les Georgettes by Altesse kerana ia adalah salah satu jenama yang paling pesat berkembang di dunia.

“Biarpun hanya satu gelang dan satu band kulit berwarna, wanita mampu menggayakan tiga penampilan berbeza. Ia cukup praktikal terutama kepada wanita berkerjaya yang sentiasa sibuk dengan tugasan seharian namun ingin tampil hebat dalam penggayaan mereka,” katanya yang ditemui pada acara pembukaan butik di pusat beli-belah Midvalley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Koleksi ini juga tampil dengan cincin yang terdiri daripada lapan reka bentuk dalam tiga saiz dan tiga kemasan. Buah rantainya juga sangat unik kerana boleh ditukar ganti warna band mengikut kesukaan anda.

Bagi wanita yang gemarkan rekaan berkilau, koleksi Les Precieuses hadir dengan gelang dan cincin yang disesuaikan untuk sebarang majlis. Lelaki juga boleh menggayakan koleksi ini menerusi Les Georgettes untuk lelaki manakala Miss Georgettes, khusus untuk remaja.

Les Georgettes mengeluarkan dua koleksi utama mengikut musim dan koleksi eksklusif untuk musim perayaan.

Pada acara yang sama barisan model turut menggayakan busana terbaru rekaan Syomirizwa Gupta, pereka muda berbakat besar yang sentiasa tampil berbeza dalam setiap rekaannya.

Menjelaskan lebih lanjut, menurut Syomirizwa, dia teruja apabila diminta menyediakan padanan untuk majlis pelancaran Les Georgettes baru-baru ini.

Menyediakan lima busana wanita dan satu lelaki berkonsepkan gaya percutian Afrika yang menggunakan palet rona ceria.

“Ia gandingan yang cukup menawan apabila setiap helaian ditampilkan pada rona ceria seperti kuning, merah, jingga dan hijau.

“Saya mengambil masa tiga bulan untuk menghasilkan koleksi percutian ini menggunakan rona segar dan terang sebagai gambaran keceriaan. Antara fabrik pilihan adalah moss crepe, jersi, sifon pada helaian gaun, skirt dan blaus,” katanya.

Menurut Syomirizwa semua padanan sesuai untuk remaja sehingga pertengahan usia dan boleh didapati menerusi portal beli-belah FashionValet.com sepanjang Disember lalu.

Disiarkan pada: January 1, 2019 @ 4:31am
d