hati

Slime uji kreativiti anak

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Bermain slime adalah trend paling popular dalam kalangan kanak-kanak hari ini. Berbanding menguli tanah liat atau doh tepung, bermain slime jauh lebih menarik.

Teksturnya lembut, seakan berbuih dan lembap. Ia mudah cair di tapak tangan, namun kenyal apabila diuli. Tarikan slime juga unik. Warnanya ada yang seperti doh tanah liat, jernih atau memiliki tekstur serta butiran halus seakan berlian.

Sebelum ini, slime hanya dibeli di kedai runcit, pasar raya dan toko buku. Namun kini, fenomena permainan ini berkembang pantas di laman YouTube. Ramai ibu mula bising kerana sabun mencuci pinggan dan buih mandian lesap tanpa dapat dikesan. Si bapa pula bingung apabila tin buih pencukur yang baru dibeli ringan mendadak.

Nah, jawapannya mungkin ada di sini. Slime DIY (buatan sendiri) sememangnya memerlukan barang di atas untuk dibentuk. Ketika ibu bapa sibuk dengan kerjaya, anak-anak mencuri kesempatan menguji kreativiti diri.

Ada juga anak yang bijak berniaga. Mereka mengadun slime di rumah dan menjualnya kepada rakan. Apapun, usah cepat marah andai pembuatan slime yang menjadi punca hilangnya sabun dan buih pencukur.

Ketahui setiap anak memiliki bakat dan kreativiti untuk ditumpahkan dalam pelbagai bentuk. Sertai aktiviti mereka dan ibu bapa mungkin boleh mempelajari sesuatu sepanjang tempoh melihat anak bermain.

Sebagai tanda sokongan, bantulah anak dengan menyediakan bahan untuk menghasilkan slime seperti gam dan borax, (sebatian kimia dalam bentuk serbuk putih yang digunakan sebagai agen pembersih), buih pencukur dan sebagainya.

Bantu mereka untuk rakam momen indah ini supaya anak sedar ibu bapa sentiasa ada di saat mereka memerlukannya apabila dewasa kelak. Berikut langkah demi langkah ditunjukkan Cesta16 Production ketika berlangsungnya Pesta Kanak-kanak Islam Malaysia baru-baru ini.

Bahan-bahan

•3 sudu gam

•Sedikit krim pencukur

•Buih pencuci tangan

•Pewarna

•Borax

•1 sudu air

Cara-caranya

1. LETAKKAN gam dalam besen kecil.

2. MASUKKAN krim pencukur dan adun rata.

3. PICIT sedikit buih pencuci tangan.

4. LETAK sedikit warna pilihan dan kacau sehingga sekata.

5. TAMBAH sesudu air dan adun dengan tambahan borax sedikit demi sedikit.

6. SHASHA Ariffin menunjukkan slime yang dibancuh.

7. BAHAN-bahan

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 10:02am
d