hati

Obses dengan kecantikan kulit

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Si cantik manis kali ini berasal dari Kedah. Biarpun memiliki Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa, Noorul Suffila Aida Sofian, 24, selesa mengumpul pengalaman sebagai model pakaian Muslimah.

Sesuai dengan kerjaya yang menuntut dirinya sentiasa nampak anggun menawan, anak sulung daripada tiga beradik ini menjaga pemakanan dan memberi tumpuan serius terhadap penjagaan dalaman mahupun luaran tubuh.

“Saya seorang yang obses dengan kecantikan kulit. Selalunya, saya akan pastikan tubuh mendapat tidur yang cukup.

“Saya percaya, wajah perlu bersih sempurna setiap kali sebelum tidur. Saya juga kerap melakukan rawatan wajah berikutan mengenakan solekan tebal setiap kali penggambaran. Rutin yang baik wajib diamalkan untuk mengelakkan kulit muka rosak,” katanya.

Ditanya bentuk pilihan penjagaan diri terbaik untuknya, kata Noorul Suffila, dia sukakan produk berasaskan bahan organik.

“Saya mula memberikan perhatian kepada penjagaan diri dan kulit wajah ketika berusia sekitar 16 tahun. Pada masa itu jerawat kecil mula naik di sekitar wajah dan muka nampak kusam.

“Memandangkan saya jenis yang mementingkan keadaan kulit, cela wajah mudah membuatkan fikiran jadi runsing. Macam-macam kaedah saya cuba untuk menghilangkan masalah kulit. Kebetulan saya memang tiada amalan petua khusus.

“Apa yang boleh saya buat hanyalah berusaha mengekalkan disiplin penjagaan wajah. Paling kerap, saya amalkan adalah memakai pupur muka. Apabila kita mengenakan pupur setiap kali sebelum atau selepas bangun tidur, kulit akan terasa lebih sihat dan segar.

“Selebihnya, amalkan tidur yang cukup, banyakkan minum air kosong dan nikmati hidangan ringkas dan berkhasiat,” katanya tersenyum.

Katanya, kalau bercerita mengenai perbezaan ton dan kesan cela pada wajah, dia yakin setiap individu mempunyai kaedah penyelesaian tersendiri, bersesuaian dengan kemampuan, komitmen kerjaya, masa mengurus diri dan paling utama, keadaan kulit.

“Usah ditanya petua unik (ketawa). Saya memang tidak ada. Bagaimanapun, saya pasti mereka yang mementingkan penjagaan kulit muka akan melakukan perkara sama. Kita akan elak makanan berminyak kerana ia tidak elok untuk kulit wajah,” katanya.

Pilih organik

Melihat lambakan produk di pasaran kini, kata Noorul Suffila, dia lebih suka memilih produk organik kerana dipercayai kurang penggunaan bahan kimia.

“Di rumah, saya banyak mengamalkan petua ibu termasuk menggunakan daun pokok lidah buaya untuk merawat kulit wajah yang lesu.

“Saya tidak ada masalah untuk mencuba petua alami. Namun, produk penjagaan diri di pasaran kini banyak yang mudah dan selamat digunakan. Hanya pastikan setiap pilihan produk mempunyai kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sebagai pengguna, kita harus sentiasa bijak memilih produk bersesuaian kulit.

“Sebelum bersolek, saya juga akan pastikan kulit wajah bersih sempurna dan berus mekap kerap dibersihkan (dicuci). Sesekali, saya akan dapatkan rawatan wajah di spa atau lakukan perkara asas di rumah,” katanya.

Menurutnya, rawatan wajah secara berselang-seli menggunakan gabungan tumbuhan dan produk organik juga membantu kulit untuk kekal segar.

“Pernah dulu saya mengalami masalah jerawat yang teruk, jadi saya cuba gunakan daun pokok lidah buaya dan pupur buah-buahan untuk mengurangkan cela pada wajah.

“Untuk menghasilkan pupur buah, rujuk saja carian di Internet dan cuba padankan fungsi buah dengan keperluan kulit ketika itu,” katanya.

Tip cantik Noorul Suffila

1. Dapatkan tidur yang cukup.

2. Banyakkan minum air kosong.

3. Kurangkan makanan berminyak.

4. Guna produk bersesuaian kulit.

5. Buat rawatan wajah sekurang-kurangnya sebulan sekali.

7. Bersukan.

8. Bersihkan wajah dengan sempurna sebelum tidur.

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 10:38am
d