hati

Solekan sempurna untuk pengantin

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Wajah mungil, dagu yang runcing, mata besar dan hidung mancung sering menjadi dambaan wanita. Namun tidak semua wanita bertuah dilahirkan dengan pakej lengkap seumpama itu.

Bagaimanapun, wanita tidak perlu gusar kerana dengan solekan wajah yang tepat, kekurangan pada wajah dapat dilindungi sehingga anda mampu tampil cantik terutama saat bergelar raja sehari.

Bagaimanapun, perkara asas perlu dilakukan untuk membolehkan mekap diadun sempurna pada wajah adalah memastikan proses membersih, menyegar dan melembap dilakukan sebaik mungkin sebelum memulakan solekan.

Bagi jurusolek profesional, Azie Zaini, solekan dan andaman yang menarik sentiasa menjadi tunjang kepada sesebuah majlis perkahwinan.

Katanya, menyolek wajah dengan teknik yang betul dan pemilihan warna sesuai boleh membantu membangkitkan seri wajah. Namun yang paling utama ia dapat menutup kekurangan wajah pada hari bersejarah buat pengantin.

Azie yang juga pengasas Sazlees Bridal Gallery & Hair Beauty Saloon di Changkat Jering, Perak berkata, selepas membersihkan wajah, solekan dimulakan dengan menyapu alas bedak pada seluruh wajah.

Katanya, alas bedak berfungsi untuk menutup cela atau parut kecil pada wajah, tetapi jika terlalu tebal akan membuatkan solekan kelihatan seperti topeng.

Cara terbaik memakai alas bedak dan penyamar noda bersama dan sebatikan. Tip memakai alas bedak adalah dengan teknik pedap berbanding sapuan bagi memastikan bedak disebatikan pada kulit dengan baik.

Selepas itu, teknik pembayang boleh dimulakan pada bahagian yang mahu disembunyi atau ditonjolkan seperti dagu, tulang pipi, hidung dan bentuk muka.

Menerusi pembayang bersesuaian dengan bentuk wajah, kekurangan pada wajah dapat disamarkan dan solekan wajah akan tampak cantik, sempurna dan pasti menyerlah pada hari bahagia.

Gunakan pensil mata atau berus kening dan bentukkan kening mengikut kesesuaian bentuk wajah. Untuk kelihatan muda dan lebih lembut, pastikan warna pensil mata tidak terlalu gelap. Warna coklat gelap atau kelabu gelap pilihan terbaik.

Sapukan pembayang mata pada bahagian kelopak mata. Pilihan warna untuk tampak muda dan segar ialah warna cerah. Elakkan warna gelap kerana ia akan menampakkan wajah lebih garang atau tua daripada usia.

Kemaskan bulu mata menggunakan maskara. Gunakan celak mata di bahagian dalam dan luar alis kelopak mata.

Pada bahagian bibir pula, digalakkan melakar bentuk bibir dengan pensil bibir sebelum mengoles gincu. Ini bagi mengelak kesilapan selain memastikan bibir tampak sempurna.

Langkah solekan:

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 4:31am
d