hati

Dapatkan tubuh mantap, sihat

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Bersenam di gimnasium kini umpama trend bagi segelintir wanita yang mahu mendapatkan bentuk tubuh menawan. Bagi yang baru mula hendak berjinak-jinak, mungkin senaman aerobik, yoga, kardio dan zumba menjadi pilihan.

Namun, fokus wanita hari ini dilihat mula terarah kepada peralatan di gimnasium. Masa terhad untuk ke taman rekreasi, sukar mencari tempat letak kereta, cuaca tidak menentu dan sibuk bekerja menjadi antara sebab ramai memilih ke sini.

Begitupun, satu hal yang mudah melemahkan semangat wanita untuk terus bersenam di gimnasium adalah kurangnya pengetahuan mengenai fungsi setiap peralatan yang di sediakan.

Menggunakan mesin larian saja setiap kali datang ke gimnasium sudah tentu membosankan. Lebih dari itu, ia membazir wang kerana manfaatnya tidak banyak berbeza dengan berjoging di sekitar kawasan rumah.

Jurulatih Peribadi Profesional, Atikah Zakaria berkata, ramai wanita takut untuk bersenam menggunakan peralatan di gimnasium kerana tidak tahu (tiada ilmu) dan terlalu banyak mendengar cerita serta percaya kepada mitos.

“Berbanding lelaki, wanita terlalu mudah memikirkan impak negatif sebelum mencuba ke gimnasium. Mereka percaya dengan dakwaan tidak berasas seperti risiko peranakan jatuh dan badan menjadi seperti lelaki berotot serta nampak maskulin.

“Sebenarnya melakukan senaman menggunakan peralatan gimnasium dengan pemantauan jurulatih adalah selamat. Dalam dunia serba pantas ini, penting untuk wanita melakukan senaman beban bagi membantu mereka meningkatkan dan menguatkan jisim tulang serta otot.

“Tambahan bagi wanita yang bekerja di pejabat, kerap menikmati hidangan lazat dan menjalani gaya hidup kurang aktif, kelompok ini disaran melakukan senaman beban untuk mendapatkan bentuk tubuh yang mantap serta sihat,” katanya.

Kettlebell

Alat menyerupai fungsi dumbel ini terdiri daripada bola besi dengan gagang yang tebal berbentuk cincin. Kettlebell mulai dikembangkan untuk berbagai variasi latihan yang menuntut kekuatan dan kelenturan tubuh.

Kalori yang dibakar dengan latihan ini cukup besar. Dalam 20 minit berlatih, tubuh akan mula berpeluh. Ulang latihan menggunakan alat ini sekurang-kurangnya dua kali seminggu untuk permulaan. Kemudian gandakan sehingga empat kali seminggu untuk mendapatkan hasil efektif.

Menariknya, latihan hayunan kettlebell bagus untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan dan dalam masa sama boleh meningkatkan jisim otot serta bentuk tubuh.

Pergerakan ‘kettlebell clean and press’ boleh digunakan untuk latihan menguatkan otot dan sendi bahu. Anda juga boleh mencipta pelbagai variasi pergerakan menggunakan peralatan ini.

Pilih sama ada mengimbang berat kettlebell dalam keadaan separa duduk (squat), menghayun ke depan atau belakang dan buat latihan beban untuk menguatkan otot belakang dan bahu.

Usah terlalu teruja memilih beban yang berat jika baru mencuba buat kali pertama. Mulakan dengan beban kecil sebelum menambah sedikit demi sedikit.

Langkah-langkah

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 2:48pm
d