hati

Anak lambat berjalan

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Berjalan adalah salah satu fasa yang menunjukkan anak anda sedang membesar dengan baik dan kebiasaannya, bayi mula bertatih sekitar usia sembilan bulan sehingga 18 bulan.

Belajar berjalan dianggap langkah terbesar ke arah berdikari dan ia antara perkembangan paling penting dalam hidup setiap bayi menuju ke alam kanak-kanak.

Menyentuh soal perkembangan ini, tentu saja ibu bapa mula berasa bimbang tatkala si kecil yang sudah mencecah usia lebih setahun masih tidak boleh berjalan.

Walaupun ia bukanlah perkara asing dalam kalangan masyarakat tempatan namun masalah lambat berjalan ini menghantui hampir setiap ibu bapa yang mempunyai anak kecil kerana ia membabitkan fasa terbesar dan terpenting pada setiap manusia.

Lebih membimbangkan apabila si kecil itu langsung tidak menunjukkan tanda mahu berjalan walaupun usia sudah mencecah 16 bulan yang membuatkan si ibu mahupun si bapa sering membuat andaian sendiri akibat kerisauan melampau.

Menurut pegawai perubatan Dr Azhad Sulaiman, detik si kecil berjaya berjalan sendiri antara saat paling bermakna dalam kehidupan setiap ibu bapa.

“Apabila dia beralih daripada berdiri sambil berpegang pada objek sebelum berjalan terhuyung-hayang menuju ke tangan anda, hinggalah berlari dan melompat dengan penuh keyakinan, bermakna dia sudah meninggalkan zaman bayinya.

“Pada tahun pertamanya, koordinasi dan kekuatan otot badan bayi akan beransur-ansur menjadi lebih baik. Dia belajar duduk, meniarap dan merangkak sebelum boleh menarik dirinya naik dan berdiri pada sekitar usia lapan bulan,” katanya.

Menurutnya, kebiasaannya proses itu akan berlangsung hinggalah ke usia bayi memasuki 18 bulan.

“Kebanyakan bayi membuat langkah pertama mereka pada usia sembilan hingga 12 bulan dan boleh berjalan sepenuhnya apabila mereka berusia 14 atau 15 bulan.

“Jangan risau jika anak anda mengambil masa lebih lama kerana ramai bayi yang normal juga tidak berjalan sehingga mereka berusia 16 atau 17 bulan namun sekiranya terdapat tanda-tanda membimbangkan terutama apabila si kecil langsung tidak menunjukkan tanda mahu berjalan atau otot kakinya masih tidak kuat untuk berdiri walaupun sudah melepasi usia 17 bulan perlulah dibawa bertemu doktor untuk pemeriksaan lanjut,” ujarnya.

Dr Azhad menjelaskan, terdapat beberapa punca si kecil anda lambat berjalan antaranya motor ototnya lambat matang.

“Ini salah satu terma yang digunakan untuk menerangkan keadaan anak yang lambat berjalan. Skil motor normal namun lambat. Selain itu, anak yang lambat belajar juga menyumbang kepada pertumbuhan motor kasar yang lambat.

“Faktor kedua adalah kekuatan otot yang tidak normal. Tiga contoh keadaan otot yang tidak normal ialah ton otot yang terlampau tinggi menyebabkan otot kaku untuk menyeimbangkan badan, distrofi otot iaitu satu penyakit yang diwarisi dan akan menjadi semakin teruk serta ton otot terlalu lemah menyebabkan mereka tidak seimbang untuk melawan graviti dan berjalan,” katanya.

Tambahnya, selain faktor yang dinyatakan itu, kekurangan zat makanan dan jangkitan juga boleh menjadi punca mengapa seorang bayi itu lambat berjalan.

“Penggunaan alat bantuan berjalan seperti ‘bouncer’ dan ‘walker’ menyebabkan otot bayi kurang bersenam yang kemudian menjadikan otot lemah dan memerlukan lebih masa untuk menguatkan otot untuk berjalan. Namun tidak semua bayi mengalaminya kerana ia juga dipengaruhi daripada kekuatan otot bayi itu sendiri.

“Sesetengah anak kecil memang mengambil masa lebih lama berbanding rakan sebaya untuk berjalan berkemungkinan disebabkan mereka lebih selesa merangkak. Anak anda akan mula berjalan apabila dia sudah bersedia,” ujarnya.

Menurutnya, langkah terbaik adalah dengan mendapatkan nasihat dan pemeriksaan pakar perubatan bagi memastikan si kecil tidak mengalami sebarang masalah serius.

“Dalam konteks ini, amat penting setiap bayi dibawa bagi menjalani pemeriksaan kesihatan bulanan yang sudah ditetapkan bagi mengesan sebarang masalah pada peringkat awal lagi.

“Paling utama jangan terlalu panik dan jangan mula terlalu bertenang. Ibu bapa bertindak dengan tepat terutama apabila si anak sudah memasuki usia 18 bulan namun masih tidak boleh berjalan,” katanya.

Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 2:16pm
d