hati

Memenuhi jihad bisnes

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

DARI jauh wanita ini tekun memberi penerangan kepada pekerja mengendalikan kios makanan stimbot Jepun atau dikenali sebagai oden. Tidak lama selepas itu, dia ke rak menempatkan pelbagai produk usahawan tempatan, mengemas susun atur produk dipasarkan di pasar raya itu.

Sekali pandang premis di Bandar Baru Bangi itu seakan-akan pasar raya biasa yang menempatkan aneka produk makanan dan minuman serta barangan kepenggunaan lain.

Bagaimanapun, rak yang menempatkan barangan di situ lebih separuh daripadanya diisi produk keluaran usahawan Bumiputera yang mungkin antaranya jarang kita dengar atau lihat sebelum ini.

Memasarkan produk yang ada antaranya belum dikenali di pasar raya, mungkin boleh dikatakan tindakan berisiko tinggi, namun bagi pemiliknya, itu sebahagian jihad bisnes yang tujuannya semata-mata untuk membantu usahawan Islam mengetengahkan produk halal.

Kesempatan menemui pasangan suami isteri, Datuk Khairul Shahril Hamzah dan Datin Hasreen Halil di HQC Halal Mart, baru-baru ini menyingkap persepsi baru penulis bahawa masih ada insan prihatin yang mahu usahawan Islam sama-sama berkembang dan meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Bersandarkan profil dan status yang dimiliki pasangan ini, boleh saja mereka wujudkan premis komersial bertujuan keuntungan semata-mata. Namun, kerendahan hati serta niat membantu usahawan kecil lebih menebal lantas pasar raya itu diwujudkan sebagai platform untuk mereka tanpa sebarang caj.

“Pasar raya ini kami wujudkan untuk memudahkan usahawan tempatan memasarkan produk mereka kerana kami lihat ramai antara mereka tiada platform untuk pasarkan produk, akhirnya ada produk yang bagus dan berdaya saing tidak dapat bertahan lama.

“Selain itu, kami juga ada pasukan jualan untuk membantu dari segi pemasaran yang secara tidak langsung dapat mengurangkan beban pemasaran pengusaha produk ini yang rata-rata kurang mahir dalam soal ini,” katanya.

Menurut Khairul Shahril, pasar raya itu juga ditubuhkan rentetan permintaan produk dengan pensijilan halal yang semakin memberangsangkan dan pada masa sama membantu meningkatkan taraf ekonomi usahawan.

Katanya, rata-rata produk ditempatkan di situ juga adalah usahawan yang mendapatkan khidmat konsultasi halal miliknya, HQC Commerce Sdn Bhd yang turut diterajui dua rakan Muhamad Khairi Kamarudin selaku Ketua Pegawai Operasi dan Dr Ahmad Firdaus Zainal Abedin sebagai Ketua Pegawai Teknikal syarikat itu.

Menurutnya, syarikat konsultasi yang ditubuhkan pada 2012 itu awalnya menumpukan pada perunding pensijilan halal Malaysia dan sudah membantu lebih 600 pengusaha produk, restoran, kilang dan kios dalam memberi latihan berkenaan pengendalian makanan halal dan membantu mereka mendapat pengiktirafan halal daripada badan berwajib.

Daripada situ, katanya, syarikat mula mengembangkan khidmat ke pasar raya, e-dagang, pejabat maya, pendaftaran produk import, platform pameran dan kemasukan ke pasar raya besar sekali gus mewujudkan ekosistem halal dari awal hingga akhir.

“Kami juga dapat mewujudkan ekosistem saling membantu, sebagai contoh, usahawan yang kami latih dibantu pula dengan menempatkan produk mereka di premis perniagaan disediakan.

“Kami juga menyediakan kemudahan buat semua pihak yang berdepan kekangan masa untuk menginfakkan wang mereka kepada golongan yang memerlukan menerusi pemberian barangan kemudahan asas melalui pasar raya ini.

“Kami akan bungkuskan barangan mengikut nilai yang hendak didermakan ke rumah asnaf atau rumah kebajikan yang dipilih oleh penderma. Melalui cara ini, kami dapat membuka lebih banyak ruang dan laluan kepada orang ramai yang mahu menderma tapi tiada masa berbuat demikian,” katanya.

Dalam pada itu katanya, syarikat itu juga bertindak sebagai badan yang bertanggungjawab memberi bimbingan dalam persijilan halal antarabangsa dan turut bantu menubuhkan badan halal di negara asing seperti di Kunming (China), Hong Kong dan Jepun.

Menariknya, HQC turut terbabit secara langsung dalam Pertubuhan Halal Islamik Jepun (HAJI) yang diwujudkan bukan saja bagi tujuan perundingan persijilan halal semata-mata malah sebagai badan dakwah dengan penduduk setempat di negara matahari terbit itu.

Bapa kepada tiga anak itu juga berpengalaman sebagai auditor badan persijilan halal Jepun pada 2017 dan terbabit dengan pelbagai badan lain.

Dalam pada itu beliau berkata, isterinya turut terbabit dalam pemasaran dan jualan malah baginya, wanita itu tulang belakang sejak awal pembabitannya dalam industri itu.

“Bidang tugas Hasreen lebih bertumpu kepada pemasaran. Saya bersyukur sentiasa mendapat sokongan isteri yang tidak berbelah bahagi malah kagum dengan semangat dan kekuatannya kerana di samping menguruskan keperluan tiga anak kami yang sedang membesar, dia juga orang penting dalam syarikat.

“Benarlah kata orang, tangan yang menghayun buaian itu juga mampu menggoncang dunia,” katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2019 @ 2:37pm
d