hati

Berniaga minat sebenar Nur 'Atiqah

Oleh Siti Zarinah Sahib

Bertukar kerjaya daripada pegawai perubatan di Jabatan Psikiatri, Hospital Kuala Lumpur (HKL) kepada bidang perniagaan sebenarnya bukanlah mudah.

Ini kerana berniaga menuntut pengorbanan masa yang sangat tinggi selain disiplin dan tanggungjawab yang bukan sedikit. Berbanding bekerja makan gaji yang semuanya sudah ditentukan dari segi masa dan juga pendapatan.

Walaupun pegawai perubatan sangat terikat dengan masa dan jadual yang tidak menentu, bagi Pengarah Urusan Bondahaven Sdn Bhd, Dr Tengku Nur ‘Atiqah Tengku Mahmood, dia mempunyai jawapan sendiri mengapa mahu beralih arah daripada doktor kepada ahli perniagaan.

Baginya berhenti sebagai pegawai perubatan tidak bermakna dia keluar daripada bidang perubatan.

“Saya masih mempunyai lesen perubatan yang sah dan menjalankan tugas sebagai doktor di klinik swasta kerana ia kerjaya dan impian ibu bapa suatu ketika dulu,” ulasnya.

Berasal dari Wakaf Bharu, Kelantan, anak keempat daripada lapan beradik yang semuanya perempuan ini mendapat pendidikan di Kolej MARA Banting, Selangor seterusnya melanjutkan pengajian ke Universiti College Cork, Ireland dalam bidang perubatan.

Sekembalinya ke Malaysia, dia berkhidmat di hospital kerajaan terlebih dahulu sebelum menjalani penempatan terakhir di HKL sebagai pegawai perubatan di Jabatan Psikiatri.

Ujarnya, sinonim dengan anak jati Kelantan yang gemar berniaga dia juga tidak terkecuali. Walaupun dalam keluarga tiada yang berniaga, Nur’Atiqah mengakui dia ingin mencuba kerana berasakan mampu memberikan sesuatu kepada masyarakat.

“Saya tidak pernah menyesal memilih kerjaya doktor kerana sudah menunaikan impian dan harapan ibu bapa yang inginkan saya menceburi bidang perubatan. Saya sangat menjaga dan menghargai ilmu serta pengalaman yang diperoleh sepanjang menjawat jawatan ini.

“Cuma, saya berasakan tidak akan mencapai puncak kehidupan jika terus berada dalam roda kehidupan seorang doktor sehingga usia lanjut kerana minat saya yang sebenar adalah dalam bidang perniagaan,” katanya.

Keinginan bertukar bidang semakin kuat ketika dia menjadi doktor pelatih. Kesibukan kerja ketika itu menyebabkan dia tiada masa menjaga ayahnya yang sakit akibat kanser. Benar, dia berkhidmat untuk merawat pesakit tetapi peluang keemasan menjaga ayah sendiri terlucut di depan mata. Selepas melepaskan jawatan ibu pula diserang kanser payudara tetapi kali ini jadualnya lebih fleksibel jadi dia dapat selalu menemani ibu ke hospital.

“Ketika ayah sakit saya sangat sedih kerana tidak dapat berada di sampingnya untuk menjaganya. Apabila saya memasuki dunia perniagaan, masa lebih fleksibel dan ingin menebus semula kesilapan lalu dengan menjaga ibu sepenuhnya,” katanya sayu.

Ramai wanita percaya kepada ‘doktor Google’

Membuka spa penyusuan pada tahun lalu, menurut Nur A’tiqah, idea melancarkan Bondahaven disebabkan ingin memberi kesedaran kepada ibu muda mengenai masalah penyusuan dan juga kehamilan.

“Ia timbul disebabkan kurangnya ilmu, tetapi tidak tahu mana satu ilmu daripada Google yang relevan dengan diri mereka. Apabila bertanyakan kepada doktor, tidak semua tahu mengenai penyusuan. Ia juga berlaku kepada saya yang berdepan masalah penyusuan selepas melahirkan anak pertama, Maryam Mohd Hareez. Lalu saya mengambil keputusan mengikuti kursus untuk menjadi kaunselor laktasi disebabkan ingin membantu lebih ramai wanita yang mengalami masalah ini.

“Saya tahu kesukaran untuk memberikan susu badan akan memberi kesan terhadap emosi wanita. Mereka akan tertekan, bimbang, risau, sedih dan marah yang seterusnya mempengaruhi cara menjaga anak,” katanya.

Memulakan Bondahaven tidak mudah kerana ia adalah spa penyusuan pertama di Malaysia. Untuk itu dia perlu bercerita mengenai spa berkenaan dan menerangkan peranannya kepada masyarakat.

“Pada mulanya ramai yang keliru mengenai perkhidmatan yang disediakan di sini dan mengapa ia digelar spa penyusuan. Sekarang, kami sudah tahu apa yang pelanggan mahukan dan menyusun semula perkhidmatan berserta menu baru yang akan dilancarkan pada Februari ini,” katanya.

Dari segi lain, ia membantu ibu mengatasi masalah yang tidak dapat diselesaikan di kebanyakan klinik biasa. Begitu juga masalah ibu mengandung yang mengalami sakit belakang, bengkak kaki, kekejangan dan tidak boleh tidur.

“Menerusi kepakaran berdasarkan sumber sains moden dan amalan tradisional turun-temurun, saya bersama juruterapi berusaha menyelesaikan masalah wanita.

“Ibu juga boleh mendapatkan khidmat kaunseling penyusuan kerana saya sendiri menjalankan sesi kaunseling kepada mereka,” katanya yang juga kaunselor laktasi bertauliah.

Sangat teruja menjalankan perniagaan yang mampu memberi manfaat kepada orang ramai, Nur A’tiqah menjelaskan, dia bersyukur kerana mendapat sokongan sepenuhnya daripada suami.

“Suami banyak membantu saya apabila saya mengalami tekanan dan kepenatan. Terkejut juga pada awalnya, kerana menjadi seorang usahawan rupanya ialah satu pilihan kerjaya yang sangat dinamik dan mencabar serta memerlukan ketahanan mental yang tinggi.

“Nasib baik juga saya terbiasa dengan cabaran sepanjang di kolej perubatan dan menjalani kehidupan sebagai seorang doktor pelatih, jadi saya agak kental menghadapi semuanya.

“Ibu banyak memberi nasihat dan saya bersyukur mempunyai adik-beradik serta keluarga mentua yang memahami kerjaya saya,” katanya.

Pada masa akan datang wanita cantik ini berharap dapat membuka beberapa cawangan spa penyusuan dan yang terbaru bakal di buka di Lembah Klang.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 3:23pm
d