hati

Kemelut emosi ibu bapa, anak

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Ketika dilahirkan, majoriti daripada kita disambut dengan kasih sayang dan dibesarkan ibu bapa bagai menatang minyak yang penuh. Namun apabila meningkat dewasa, masing-masing menyusun haluan sendiri.

Ada yang berkahwin sebaik tamat belajar dan menjalani kehidupan bersama keluarga baru. Ada yang terus membujang namun memilih untuk tinggal jauh dengan alasan mahu berdikari, tidak kurang juga yang sibuk bekerja dan tenggelam dengan gaya hidup di kota.

Lantaran itu, orang tua ditinggalkan sendirian. Bertuah jika ibu bapa yang masih ditemani anak sehingga ke hujung usia. Pasti senyuman gembira terukir sentiasa di bibir andai ada anak berbakti di sisi.

Realitinya, nasib setiap individu berbeza. Ada ramai ibu bapa yang terpaksa berdepan dengan ragam dan kerenah anak-anak. Mereka terpaksa menelan hakikat diabaikan permata hati. Lebih dari itu, mereka mula berasakan hak untuk mendapat perhatian dan kasih-sayang seakan dinafikan.

Kata Pegawai Psikologi dan Kaunselor Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Rasidah Sulaiman, ibu atau bapa berkecil hati dengan anak yang sudah besar adalah reaksi lazim terutama dalam kalangan warga emas.

Ia berlaku berikutan wujud perasaan diketepikan, hilang kebergantungan kepada zuriat yang dilahirkan dan dibesarkan serta salah faham mengenai tanggungjawab selaku ibu bapa.

“Kalau kita lihat dari mula, tanggungjawab seorang anak sejak mereka kecil adalah belajar dan fokus dalam pelajaran. Mereka perlu membanggakan ibu bapa, cemerlang dalam pelajaran, mendapat kerja dan akhirnya membantu meringankan beban orang tua.

“Namun, sebagai ibu bapa, mereka harus faham bahawa setiap anak mempunyai kehidupan dan masa depan sendiri.

Mereka perlu diberi ruang dan peluang untuk meneroka hidup sebagaimana orang lain.

“Anak pula perlu sedar kewajipan mereka untuk membantu orang tua dari segi kewangan, perhatian dan kasih sayang. Sentiasa cuba memenuhi permintaan dan ada masa untuk mendengar luahan hati mereka. Semua ini menampakkan satu konflik yang ketara. Tidak kira anak atau ibu bapa, masing-masing ada kehendak, cita-cita dan keinginan.

“Jalan keluar dalam kemelut emosi ini adalah keserasian dan persefahaman. Berbincanglah sebaiknya untuk mencapai persefahaman antara ibu bapa dan anak. Kalau dulu ibu bapa menggalas tanggungjawab membesarkan zuriat yang mereka lahirkan, kini anak pula harus sedar tanggungjawab untuk membahagiakan orang tua,” katanya.

Anak tidak abai ibu bapa

Memetik hasil Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) yang dijalankan LPPKN pada 2014, kata Rasidah 95.3 peratus anak memberikan sekurang-kurangnya sejenis bantuan kepada ibu bapa yang sudah mencecah usia warga emas.

Kebanyakan mereka menerima bantuan dalam bentuk kewangan, menemani ke tempat diperlukan, makanan atau barang keperluan dan melakukan kerja rumah.

“Kita percaya, jika anak berkemampuan besar, mereka tentu menyalurkan pelbagai bantuan dan sokongan untuk kemudahan ibu bapa. Tetapi, bagi yang tidak mampu, mereka tidak lupa bahkan masih menyumbang khidmat menerusi bantuan selain wang ringgit.

“Jadi, bukan semua anak mengabaikan ibu bapa mereka. Kadang kala anak yang bergaji besar pun tidak mampu memberi banyak kepada orang tua kerana terikat dengan beban hutang. Sebab itulah kita selalu ingatkan ibu bapa supaya berlapang dada. Usah terlalu berharap kepada anak kerana mereka juga berdepan susah senang dalam hidup,” katanya.

Menimbang senario hari ini, jelas Rasidah, ramai ibu bapa yang sudah mencapai usia emas mula merasakan diri mereka tidak berguna dan diabaikan anak-anak atas beberapa faktor.

“Situasi begini kerap saya jumpa apabila kita turut bertemu komuniti warga emas. Ada yang mengadu anaknya langsung tidak mahu menjawab panggilan telefon kerana bimbang diminta duit. Ada juga yang merajuk dan berkecil hati kerana anak lama tidak pulang menjenguk.

“Sebenarnya ibu bapa tidak mengharapkan wang ringgit. Cuba perhatikan semula kitaran hidup manusia. Ketika kecil, kita mendambakan belaian dan perhatian ibu bapa. Kita mahu mereka mendengar, ada di sisi untuk membantu saat jatuh dan bangun, memeluk, melayan penuh kasih-sayang dan memberi sokongan sehingga mampu berdikari.

“Begitu jugalah orang tua. Apabila mencapai usia emas, mereka kembali kepada zaman kanak-kanak dulu. Mereka mahukan layanan serupa, perhatian dan kasih sayang. Ada waktunya, kalau anak sekadar membantu memotong kuku pun mereka gembira.

“Cuma kita agak sedih apabila ada ibu yang mengadu anaknya tidak mahu jawab panggilan telefon. Mereka fikir, apabila mak ayah telefon, tandanya hendak minta duit. Sedangkan orang tua hanya mahukan perhatian dan teman untuk berceloteh,” katanya.

Menurut Rasidah, selain bantuan anak kepada ibu bapa warga emas, kajian itu turut mengutip data mengenai hal sebaliknya. Begitupun, bantuan ibu bapa warga emas kepada anak lebih terarah pada sokongan emosi, berkongsi masalah peribadi dan kebimbangan diri, makanan, barang keperluan serta kerja penjagaan.

Tolak tepi soal bantuan, kata Rasidah, konflik dalam kalangan ibu bapa dan anak mungkin boleh dielak sekiranya masing-masing tahu dan sedar peranan serta tanggungjawab mereka.

“Setiap manusia akan melalui fasa kecil, dewasa, pertengahan usia dan akhir hayat. Sepanjang transisi ini pasti ada banyak cabaran yang perlu didepani, perubahan dari segi fizikal, emosi dan tahap kematangan diri.

“Kitaran hidup mengajar bahawa anak dan ibu bapa adalah pelengkap antara satu dengan yang lain. Apabila sampai usia dewasa, ibu bapa harus melepaskan anak untuk menjalani kehidupan mereka sendiri. Fasa ini perlu difikirkan dari awal lagi. Sebagai orang yang pernah melalui fasa sama, ibu bapa seharusnya lebih bersedia.

“Saya kerap berpesan kepada ramai warga emas, usah meletak harapan tinggi terhadap anak. Jangan kerana mereka sudah melahirkan dan membesarkan, anak-anak dipaksa membalas jasa serta budi dengan melakukan apa saja yang disuruh. Terimalah ia sebagai tanggungjawab terhadap amanah yang diberi Allah SWT. Hanya dengan cara itu, mereka akan mudah reda dan bahagia,” katanya.

Hargai ibu bapa

Sebak apabila membayangkan betapa ramai anak yang gagal memahami bahasa tubuh ibu bapa warga emas. Umpama jarum jam yang tidak mengenal beza siang dan malam, anak-anak seakan tidak dapat melihat perubahan dalam diri ibu bapa melainkan penuaan fizikal yang ketara.

Kata Rasidah, warga emas adalah golongan istimewa yang perlu dibelai dan diberi layanan istimewa. Dalam usia lebih 60 tahun, ibu bapa wajar dihargai kerana mampu bertahan dengan pelbagai rencam sepanjang membesarkan anak-anak, mengemudi keluarga dan mencorak kerjaya.

“Mereka berhak mendapat kasih sayang dan perhatian daripada anak-anak. Walaupun saya kerap berpesan kepada mereka (warga emas) supaya tidak terlalu meletak harapan tinggi kepada anak dan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada, namun jauh di sudut hati, kita tidak mahu mereka kecewa.

“Biarlah mereka rasional memikirkan bahawa anak adalah tanggungjawab untuk dibesarkan dan dididik sempurna sebelum dibebaskan meneroka dunia nyata. Kita mahu memperkasa warga emas supaya mereka rasa ada harga diri, berguna dan dihargai sebagai aset masyarakat.

“Anak pula harus bersatu hati membina sefahaman dalam kalangan adik-beradik. Wujudkan tabung khusus untuk kebajikan ibu bapa. Jumlah pemberian biarlah sepadan dengan kemampuan supaya tidak timbul pertelingkahan dan iri hati.

“Sentiasa bahagikan masa dengan orang tua, bertanya khabar, meminta nasihat, bermanja, memeluk, memegang tangan mereka, menghormati pandangan, berkongsi perasaan dan adakan panggilan manis buat ibu bapa.

“Berbincang secara diplomasi tidak sedikitpun merugikan mana-mana pihak. Binalah kesefahaman yang baik antara ibu bapa dan anak-anak. Setiap keluarga perlu ada ciri sakinah, mawaddah dan rahmah untuk kekal bahagia dan mengelak perselisihan,” katanya.

Tip keluarga bahagia

1. Perlu ada didikan agama.

2. Komunikasi berkesan.

3. Hormat-menghormati antara satu sama lain.

4. Mengadakan aktiviti bersama.

5. Mesti melafazkan sayang.

6. Beri rangsangan yang baik pada keluarga.

7. Menyeimbangkan keluarga dan kerjaya.

8. Mampu menyeimbangkan emosi.

9. Sentiasa mengamalkan terapi kemaafan.

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 1:05pm
d