hati

Beralih angin demi keluarga

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

MANIS dipandang dan bijak menyusun kata-kata. Siapa yang memandang tentu tidak menyangka wanita ini semakin menghampiri usia 50 tahun.

Mana tidaknya, penampilan diri tidak ubah seperti anak dara berusia 20-an, malah dia juga aktif dan sentiasa bertenaga.

Lebih menarik apabila ibu kepada lima cahaya mata ini bukan saja memiliki kecantikan dan kesihatan diri malah juga berjaya dalam dunia perniagaan diceburi.

Personaliti dirinya bukan saja dicemburui ramai malah turut membuatkan penulis kagum sekali gus ingin mencontohi pemilik wajah cantik ini.

Di sebalik senyuman manis yang sentiasa terukir di bibir, Zalina Mohd Ali, 49, tidak lokek berkongsi kisah suka dukanya bergelar seorang usahawan kecantikan.

Menurut Zalina yang mempunyai kelulusan diploma perniagaan, dia sudah sebati dengan dunia perbankan apabila berkhidmat di sebuah bank komersial dalam tempoh yang lama.

“Lumrah bekerja sebagai pegawai pemasaran di institusi perbankan memerlukan saya berada di bank sebelum keluar bertemu pelanggan di luar. Rutin itu berulang hampir setiap hari hingga puluhan tahun.

“Ketika usia masih muda tentu saja saya rasakan semuanya dalam kawalan namun seiring peningkatan usia, saya mula mengalami pelbagai tekanan termasuk masalah kulit wajah,” katanya.

Zalina berkata, lebih menyedihkan, dia juga tidak mempunyai cukup masa untuk diluangkan bersama anak termasuk pada hujung minggu.

“Bayangkan bukan saja saya sibuk dari Isnin hingga Jumaat malah pada Sabtu dan Ahad juga perlu menjaga gerai untuk aktiviti mempromosi bank serta pelbagai program lain.

“Rutin padat itu membuatkan saya semakin tertekan terutama apabila memikirkan kekangan masa untuk keluarga yang menyebabkan suami minta berhenti bekerja,” ujarnya.

Menurutnya, dia akur dengan permintaan itu dan melepaskan kerjayanya untuk memberi tumpuan penuh kepada keluarga.

“Disebabkan tidak biasa duduk diam, saya mula berfikir bidang perniagaan yang boleh diceburi memandangkan pernah berniaga ketika berusia 19 tahun.

“Pada masa sama, saya juga mengalami masalah kulit wajah kusam, kering, berkedut dan berjeragat akibat faktor cuaca tidak menentu ketika bekerja sebelum diperkenalkan produk Richglow yang akhirnya berjaya menyelesaikan masalah kulit wajah dialami,” katanya.

SUAMI BERI MODAL

ZALINA berkata, dia sangat bersyukur dan bertuah kerana suami bukan saja memahami malah turut membantu memberikan modal kepadanya untuk memulakan perniagaan.

“Tiada kata yang dapat menggambarkan kegembiraan saya ketika itu. Mana tidaknya, saya dapat memulakan perniagaan yang dirancang hasil bantuan suami.

"Walaupun bersemangat untuk berniaga, saya tidak mahu terburu-buru kerana sedar bidang perniagaan ini banyak risikonya,” katanya.

Zalina kemudian memulakan perniagaan dalam bidang kecantikan sebagai stokis Richglow.

“Sebaik menjejakkan kaki dalam bidang ini, semuanya berubah, ada baik dan buruknya, paling menyeronokkan apabila saya mempunyai banyak masa untuk bersama suami, anak dan keluarga selain boleh kembali aktif melukis serta membaca buku.

“Dugaannya apabila saya perlu mahir dengan media sosial kerana kini kebanyakan perniagaan dijalankan melalui Facebook, Instagram dan aplikasi WhatsApp. Saya juga perlu banyak belajar dan bertanya anak bagi memastikan dapat menggunakan media sosial dengan betul,” ujarnya.

Menurut Zalina yang menggunakan Facebooknya, Lina Ali sebagai medium perniagaan, hendak atau tidak dia perlu menguasai ilmu dalam media sosial kerana kini setiap individu mempunyai telefon bimbit dan akaun media sosial masing-masing.

“Syukur, dari hari ke hari, saya semakin dapat mengendalikannya dan kini semuanya menjadi semakin mudah.

“Kelima-lima anak juga sudah meningkat dewasa dan yang sulung berusia 26 tahun dan bongsu berusia 16 tahun menjadikan saya semakin mempunyai masa untuk menguruskan perniagaan," katanya.

Katanya, selain berjaya menguruskan masa dengan baik, dia juga dapat menjana pendapatan dirinya dan menerima pelbagai ganjaran hasil daripada perniagaan dijalankan.

“Apa juga bidang diceburi, kita perlu positif dan jangan sesekali malu untuk belajar. Tidak kiralah daripada mana kita belajar kerana apa yang penting ialah menghargai dan menggunakan ilmu itu sebaik mungkin.

“Saya juga amat menggalakkan lebih ramai golongan muda menceburi bidang perniagaan. Beranikan diri untuk mencari kelebihan dan kekuatan diri serta rebut peluang yang ada dalam bidang ini. Sentiasa ingat sembilan daripada 10 punca rezeki adalah daripada perniagaan,” ujarnya.

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 7:15am
d