hati

Tekad kuat demi keluarga

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

MELIHAT senyuman manis dan keramahannya, mungkin tiada siapa pun menyedari ibu berwajah lembut ini pernah menghadapi saat getir dalam hidupnya apabila berdepan penyakit yang paling menggerunkan wanita, kanser payudara.

Apatah lagi membayangkan usianya baru 37 tahun saat didiagnos kanser payudara tahap dua, hampir 11 tahun lalu.

Saat disahkan menghidap kanser, hatinya sayu mengenangkan anak bongsunya yang ketika itu baru saja menginjak usia dua tahun. Ketika itu, perkara pertama terlintas di fikirannya hanyalah mengenai maut yang bakal menjemput.

Namun, wanita ini cukup bertuah kerana mendapat sokongan suami yang tidak berbelah bagi. Malah kata-kata suami bahawa ajal boleh menjemput sesiapa saja walaupun dirinya yang sihat menguatkan semangatnya untuk melawan kesedihan ketika itu.

“Setiap hari suami menunjukkan keratan akhbar berkaitan kejadian tidak diingini misalnya kemalangan yang meragut nyawa. Jadi, dia menyedarkan saya kenapa perlu bersedih dan putus asa sedangkan ajal sudah ditetapkan Allah, cuma masanya saya yang kita tidak tahu. Ia boleh datang pada bila-bila masa.

“Sejak itu, saya tidak lagi menurut emosi, bahkan melihat lima anak yang masih kecil dan memerlukan kehadiran seorang ibu turut mendorong untuk cekal melawan penyakit ini,” kata Noraini Abdul Rahman.

Berkongsi pengalaman pahit itu bersama penulis, Noraini yang ditemani suami, Ramdan Sayuti, 55, berkata, segalanya bermula dengan benjolan pada payudara yang dialami selama beberapa tahun yang disedari suami.

Katanya disebabkan tidak berasa sakit, dia mengabaikan tanda yang ada hinggalah suami memintanya mendapatkan pemeriksaan di hospital sebelum dirujuk kepada pakar bedah kanser payudara.

Dia masih ingat, pada 2008 secara rasmi didiagnos kanser payudara tahap dua. Berita itu memang benar-benar merentap perasaannya dan ketika itu dalam fikiran hanya teringatkan anak, tidak tergambar bagaimana perasaan mereka apabila diberitahu berita buruk itu.

“Saya tekad mahu kuat demi keluarga, jadi apa juga rawatan akan diharungi meskipun sedar penderitaan yang bakal ditanggung.

“Pelan rawatan saya terdiri daripada kemoterapi dan pembedahan yang jumlahnya bergantung pada tempoh pemulihan. Sepanjang kemoterapi adalah paling mencabar.

“Saya kehilangan rambut, hilang daya ingatan dan tumpuan, pening, loya, mengalami sakit badan yang melampau serta keletihan.

“Saya teramat letih sehingga tidak mampu membuat kerja rumah dan menjaga anak, tapi bersyukur suami dan keluarga sanggup mengambil alih semua urusan rumah tangga serta sedaya upaya membuat saya gembira sepanjang tempoh sukar ini,” katanya.

Menurut wanita berusia 48 tahun ini, pengalaman itu diakui sungguh menggerunkan baginya, namun dia cuba menjadikan tempoh berkenaan diingati dengan perkara positif.

Katanya, selepas tempoh rawatan dia meneruskan rutin menjahit tudung yang diusahakan di rumah malah dengan cara itu dia kembali meningkatkan keyakinan diri dan semangat hidup.

Baginya, dia terharu dengan pengorbanan suaminya yang sanggup berhenti kerja untuk memberi tumpuan terhadap dirinya selepas rawatan kemoterapi kedua.

“Kesan kemoterapi pada saya memang agak teruk tapi saya sanggup laluinya kerana mahu sembuh. Pada masa sama saya berjanji pada diri sendiri untuk membantu memberi kesedaran kepada wanita senasib untuk melalui keadaan ini dengan positif.

“Bersama beberapa rakan yang juga pejuang kanser, kami tidak kisah turun padang menemui wanita yang didiagnos dengan kanser ini untuk memberi semangat dan galakan. Yang penting, jangan takut jumpa doktor dan jangan sesekali menolak rawatan hospital,” katanya.

Menurutnya, diuji dengan kanser sebelum ini turut membawa hikmah yang amat besar buat dirinya dan keluarga. Ini kerana daripada hanya menjual tudung secara kecil-kecilan di garaj rumah, dia kini mampu tersenyum lega apabila perniagaannya berkembang dengan pembukaan butik Simply Gorgeous miliknya di Bangi Gateway dan kilang jahit pukal di Kajang.

Ini secara tidak langsung membuktikan tiada alasan untuk berputus asa dan tak membuat apa-apa yang berfaedah untuk diri sendiri.

“Saya mahu orang tahu terutama pesakit kanser bahawa penyakit ini bukan penamat kehidupan. Malah saya akui, hidup selepas beberapa tahun berjuang melawan kanser lebih bermakna. Ketika inilah kita lebih dekat dengan orang tersayang, malah hubungan semakin akrab dan lebih menghargai antara satu sama lain.

“Bukan tiada langsung masalah bahkan turun naik dalam perniagaan perlu juga kita hadapi. Syarikat beberapa kali juga ditipu ribuan ringgit kerana tempahan jahit pukal tidak dibayar tapi saya pilih untuk laluinya dengan positif.

“Suami pula sering pesan, biarlah kita rugi harta dan duit, asalkan kasih sayang dalam keluarga tetap utuh walau dilanda badai,” katanya.

Menurutnya, perniagaan yang diusahakannya juga menjadi terapi untuk dirinya melawan perasaan sedih apatah lagi dia turut terbabit sebagai pereka busana jenamanya.

Katanya, sokongan dan dorongan orang yang paling dekat bagi penghidap kanser memang penting namun paling utama adalah kekuatan yang datang daripada diri sendiri dan pentingnya menyayangi diri terlebih dulu sebelum orang lain.

Katanya, bukan tiada kenalan yang menghidap kanser menangguhkan rawatan dengan alasan mahu menyelesaikan urusan berkaitan keluarga hingga akhirnya mengabaikan diri sendiri. Lebih malang, ada yang meninggal dunia kerana terlalu lewat mendapatkan rawatan.

Disiarkan pada: January 22, 2019 @ 5:23pm
d