hati

Mandian krim raja sehari

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

MENANTI detik sebagai raja sehari, serba-serbi perlu dilakukan daripada menempah persiapan dewan perkahwinan, busana pengantin hinggalah jemputan ke majlis penuh sejarah itu.

Dalam kesibukan membuat persiapan, jangan dilupa aspek penjagaan diri terutama bakal pengantin perempuan. Seelok-eloknya beberapa minggu sebelum majlis berlangsung, apa kata manjakan diri dengan perawatan spa bagi memastikan penampilan lebih berseri.

Bagi wanita berhijab pula, ramai antara mereka sering mengabaikan penjagaan rambut dan memandang ringan masalah yang dihadapi hinggalah detik diijabkabulkan.

Ada antara mereka menganggap kekurangan rambut boleh ditutup dengan hijab tapi terlupa apabila diijabkabulkan, mahkota wanita itulah menjadi tatapan sang suami.

Menurut Pengasas

Sazlees Bridal Gallery and Hair Beauty Saloon, Azie Zaini, bakal pengantin wanita seharusnya mempersiapkan diri dari hujung rambut hingga hujung kaki untuk tampil menawan dan anggun sebagai raja sehari.

Pusat sehenti pengantin yang berpusat di Changkat Jering, Perak itu menyediakan rawatan rambut khusus buat bakal pengantin antaranya mandian krim untuk rambut.

Menurut Azie, mandian krim adalah antara penyelesaian untuk menjaga kesihatan rambut. Banyak manfaat boleh didapati dengan melakukan mandian krim, antaranya mampu membuatkan rambut lebih sihat dan terhindar daripada kerosakan disebabkan kurangnya nutrisi serta perawatan.

Katanya, mandian krim rambut antara lain dapat memberi kesegaran dan keaslian rambut kerana dalam perawatan ini akan diberikan beberapa nutrisi yang diperlukan rambut.

“Rawatan ini juga dapat mengatasi rambut kering kerana fungsinya yang melembapkan. Urutan dilakukan ketika rawatan juga bermanfaat melancarkan peredaran darah.

“Selain itu dengan melakukan urutan, penyerapan nutrisi ke dalam kulit kepala lebih lancar dan membantu meningkatkan kesihatan kulit,” katanya.

Menurutnya, mandian krim rambut biasanya mengambil masa 70 minit dimulai dengan cucian rambut diikuti sapuan ramuan mandian krim. Rambut kemudian diwap diikuti urutan bahu, belakang dan lengan selama 45 minit. Seterusnya rambut dibilas dan dikeringkan dengan lembut.

Sebelum rawatan dimulakan, Azie akan meneliti masalah rambut yang dihadapi pelanggan. Dari situlah, dia memilih bahan campuran bersesuaian mengikut masalah masing-masing dan rawatan dibantu dengan khidmat pendandan yang bukan saja mahir, malah berpengalaman.

Katanya masalah yang kerap dihadapi wanita berhijab adalah keguguran rambut. Rambut gugur tanda ada sesuatu yang kurang dalam tubuh dan rawatan ini dapat memenuhi serta membekalkan kekurangan itu sehingga hasilnya dapat dirasai seawal sesi pertama.

Pelanggan akan melihat sendiri keguguran atau kehilangan rambut berkurangan. Rawatan ini sesuai untuk lelaki dan wanita termasuk selepas bersalin.

Untuk hasil terbaik katanya, pelanggan dinasihatkan datang untuk sesi mingguan sekurang-kurangnya enam kali. Sama seperti badan memerlukan makanan yang sihat setiap hari, ramuan ini memenuhi kekurangan yang diperlukan oleh mereka.

Selepas setiap enam sesi mingguan, lawatan seterusnya setiap dua minggu, selepas setiap tiga minggu dan sekali sebulan atau apabila perlu.

“Rawatan ini cukup terkenal di Indonesia dan mempunyai beberapa pilihan bauan yang mempunyai khasiat yang baik untuk rambut.

“Di Malaysia, tidak semua salun ada menyediakan perkhidmatan ini jadi, ia satu kelebihan kepada saya.

“Rawatan ini amat baik untuk wanita bertudung kerana ia menjadikan rambut lebih sihat selain kekal harum dengan bauan kira-kira dua minggu. Bahkan untuk bakal pengantin

pula, amat sesuai melakukan rawatan ini untuk kesegaran dan keharuman rambut saat berdepan suami,” ujarnya.

Langkah-langkah

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 9:16am
d