hati

Kepuasan perunding takaful

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

MUNGKIN 10 tahun dulu, ramai yang menganggap jawatan perunding kewangan, takaful atau insurans bukanlah kerjaya yang dibanggakan berbanding menjadi pegawai di institusi kerajaan.

Bagaimanapun, kerjaya itu kini menjadi profesion yang semakin digemari kerana menjanjikan potensi pendapatan yang tinggi sekiranya mereka berusaha dengan tekun dan tanpa jemu.

Mungkin ramai yang tidak memahami tugas sebenar seorang ejen atau perunding takaful. Mungkin ada yang menganggap mereka hanya perlu membuat jualan produk insurans dan takaful serta tidak kurang yang menganggap perniagaan takaful ini hanya dibuat di rumah secara sambilan.

Sebaliknya, setiap orang seharusnya menyedari kepentingan memiliki kad perubatan perlindungan takaful kerana tiada siapa pun yang tahu bila musibah akan menimpa dan perlu bersedia menghadapinya.

Bagi Megat Muhamad Nazar Ab Bahar, 35, menjadi perunding takaful memberi pengalaman berbeza apatah lagi sebelum ini bidang yang dipelajarinya ketika mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi dulu jauh berbeza ibarat langit dan bumi.

Namun, perbezaan itu diletakkan ke tepi kerana menyedari peluangnya untuk menimba ilmu dan selok-belok bidang yang semakin mendapat tempat di mata masyarakat.

Komited dengan kerjaya yang menjadi sumber pendapatannya, dia tidak mahu menoleh ke belakang dan sentiasa memberikan yang terbaik untuk memastikan kepuasan diri mahupun pelanggan.

“Saya berkecimpung dalam bidang ini hampir lima tahun dan hanya bermula secara sambilan sementara bekerja sebagai pegawai kerajaan. Tidak dinafikan mulanya ibu memang menentang keputusan menceburi bidang ini.

“Ibu dan bapa saya agak skeptikal awalnya kerana mereka berpendapat kerja makan gaji lebih menjamin masa depan, tapi dalam tempoh setahun saya buktikan bidang ini juga boleh memberi pendapatan lumayan.

“Selepas melihat begitu banyak perubahan hasil daripada pencapaian dalam bidang ini, ibu saya pula yang giat membantu mempromosikan perkhidmatan takaful kepada saudara-mara dan rakan selain memberi galakan kepada mereka untuk mengikut jejak langkah saya.

“Bagi saya, ibulah pendorong utama untuk melangkah lebih jauh dalam bidang ini. Saya yakin selain usaha, berkat doanya juga pencetus pencapaian saya hingga bergelar pengurus agensi di agensi saya sendiri, Agensi Megat Muhamad Nazar di Cyberjaya, Selangor. Sehingga kini sudah melatih lebih 50 ejen takaful dan menyasarkan untuk melatih 100 ejen yang bernaung di bawah agensi saya,” katanya.

Menariknya, perjalanan karier itu bergantung sepenuhnya pada usahanya untuk memperoleh pendapatan yang tidak mungkin dikecapi melalui kerjaya makan gaji malah kini mampu membeli tiga rumah sebagai aset.

Jadi siapa kata kerjaya ini tidak menjanjikan masa depan cerah? Malah menurut anak jati Kluang, Johor ini, melihat ibunya tersenyum di atas kejayaannya adalah momen paling indah yang tidak pernah difikirkannya selama ini.

Katanya, jika dulu berapa sangat wang belanja yang boleh diberikan ibu bapanya di kampung, kini dia bersyukur kerana mampu membawa ibu bapanya mengerjakan umrah, selain menyumbang sebahagian kos pengubahsuaian rumah di kampungnya.

“Paling tidak dapat dilupakan melihat kebahagiaan dan kegembiraan ibu dan bapa saya selepas menghadiahkan mereka kereta. Niat saya berusaha keras selama ini semata-mata kerana mahu membalas jasa mereka yang bersusah payah membesarkan saya.

“Saya juga menerima beberapa anugerah tertinggi dalam syarikat Great Eastern Takaful iaitu Great Leo Award dan Star Award selain menerima insentif percutian di luar negara.

“Saya tidak pernah mengimpikan melancong ke luar negara dengan kerap kerana kekangan kewangan, tapi sejak berkecimpung dalam bidang ini, 14 negara sudah dilawati yang semuanya adalah percuma,” katanya sambil tersenyum.

Megat yang memegang Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris Komunikasi Profesional itu berasakan pekerjaan itu sesuai dengannya kerana ia dapat menguji keupayaan jualan selain dapat membantu orang ramai.

“Pada mulanya ia agak mencabar memandangkan saya terpaksa mendekati orang tidak dikenali dan mengalami penolakan yang tidak terkira banyaknya.

“Saya suka berkawan. Melalui perniagaan ini, kita boleh membina rangkaian dan persahabatan. Kami bantu mereka mencapai kebebasan kewangan dan sebagai pulangannya kewangan kami semakin berkembang,” katanya.

Jadi harapannya agar lebih ramai mendapat pemahaman jelas mengenai takaful, insurans dan perniagaan ini. Dia juga mahu melatih seramai mungkin belia untuk menceburi bidang ini kerana peluang cerah yang menunggu mereka terutama graduan yang menganggur.

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 9:47am
d