hati

Mitos hamil ganggu emosi

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

KETIKA mengandung, penjagaan diri dan kesihatan ibu amat penting kerana banyak perkara dilakukan dalam tempoh ini boleh memberi kesan kepada kandungan.

Anda mungkin pernah mendengar banyak pantang larang daripada orang sekeliling sebaik mengetahui seseorang itu hamil dan ada kalanya sehingga mempengaruhi emosi si ibu.

Bagaimanapun sejauh mana pantang larang atau kepercayaan diturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya mengenai kehamilan itu benar atau ia sekadar mitos yang tidak boleh dipercayai atau diikuti membuta tuli. Berikut beberapa mitos kehamilan yang paling kerap didengari dalam masyarakat di negara ini.

1. Anda boleh mengetahui jantina bayi dengan melihat bentuk perut ibu mengandung

Ada yang mengatakan bentuk perut yang memanjang berkemungkinan anak di dalam kandungan adalah lelaki manakala perut kelihatan melebar, mungkin anak perempuan.

Mitos kehamilan ini sering dianggap benar hanya disebabkan beberapa tekaan yang betul. Sebenarnya, posisi bayi dalam kandungan juga dipengaruhi oleh saiz badan dan binaan fizikal ibu mengandung. Secara logiknya, jantina bayi tidak boleh ditafsirkan hanya melalui pandangan mata kasar.

2. Ibu selesema boleh menjangkiti bayi dalam kandungan

Mitos ini juga sering berlegar dalam masyarakat sedangkan ia sama sekali tidak logik. Ini kerana plasenta di dalam rahim melindungi bayi daripada jangkitan selesema dihadapi ibu.

Bagaimanapun, ibu perlu berhati-hati dengan pengambilan ubat ketika mengandung kerana sesetengah ubat boleh memberi kesan kepada bayi. Ibu hamil harus sentiasa mendapatkan rawatan di klinik jika sakit.

3. Bayi besar lebih sihat

Sesetengah wanita berasa rendah diri dan risau jika perut mereka tidak membesar seperti sesetengah rakan lain. Anda sebenarnya tidak perlu risau asalkan kenaikan berat badan ketika mengandung terkawal.

Anda sebenarnya perlu risau jika saiz bayi anda besar, apatah lagi jika anda turut mengalami pertambahan berat badan yang melebihi saranan doktor. Bayi yang lebih besar itu mungkin berisiko dilahirkan secara normal dan boleh mengalami masalah kesihatan seperti diabetes apabila meningkat usianya.

4. Bersenam ketika hamil boleh menyebabkan tali pusat bayi terbelit

Jika difikirkan ada yang mempercayai dakwaan ini, terasa lucu pula. Bagaimana bersenam boleh menyebabkan tali pusat membelit bayi, sedangkan ibu hamil perlu berjalan setiap hari. sedangkan berjalan adalah salah satu bentuk senaman paling ringan dan mudah tetapi banyak manfaat.

Bersenam ketika hamil adalah aktiviti yang amat digalakkan, malah ia mampu meningkatkan kecergasan tapi ramai yang menganggap apabila disahkan hamil, semua aktiviti senaman harus dihentikan.

Realitinya, senaman ringan dan tidak membabitkan pergerakan intensif boleh dilakukan sehingga trimester ketiga dan tiada kaitan pun dengan mitos bayi terbelit. Malah anda boleh terus melakukan senaman ringan seperti berjalan hingga sampai hari anda bertemu dengan orang baru yang ditunggu-tunggu!

5. Hubungan intim membahayakan bayi dan menyebabkan keguguran

Hubungan intim adalah selamat kerana secara fizikalnya bayi dilindungi oleh air ketuban dan otot rahim yang kuat. Kadangkala, anda mungkin akan terasa kontraksi pada rahim, namun ia adalah normal dan bukan sesuatu yang membahayakan. Selain itu, bahagian serviks juga dilindungi oleh sejenis mukus yang boleh membantu menghindarkan jangkitan.

Bagaimanapun, anda tidak seharusnya melakukan hubungan intim sekiranya pasangan anda menghidap masalah jangkitan seksual (STD) seperti herpes, chlamydia atau HIV kerana penyakit ini boleh membahayakan kandungan dan bayi berisiko dijangkiti.

Pendarahan yang berlaku ketika melakukan hubungan intim juga perlu diberi perhatian dan dirujuk kepada doktor.

6. Minum soya menyebabkan anak lahir berkulit putih, pengambilan kicap menjadikan anak gelap

Mitos ini kedengaran biasa bagi sesetengah daripada kita dan ada yang mempercayainya. Realitinya, anggapan ini langsung tidak berasas kerana warna kulit bayi tidak ditentukan oleh makanan yang diambil ibu hamil. Sebaliknya, warna kulit bayi yang bakal lahir ditentukan oleh faktor genetik ibu dan bapa.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 2:26pm
d