hati

Produk organik untuk kekal cantik

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

MANIS senyuman wanita ini saat bergaya di depan lensa kamera. Gerak tubuhnya langsung tidak kekok, bahkan Nurul Hamiza Nawi, 24, tampak begitu profesional, persis peragawati berpengalaman.

Siapa tahu anak kelahiran Dungun, Terengganu ini sebenarnya bekerja sebagai penolong pegawai farmasi di Maran, Pahang. Aktif di media sosial, anak bongsu daripada enam adik beradik perempuan ini juga kerap tampil sebagai model produk.

Mengenalinya dengan lebih dekat, Nurul Hamiza sebenarnya seorang yang teliti dalam menjaga kesihatan, kecergasan dan kecantikan tubuh. Ketika ramai wanita seusianya mengetepikan amalan kecergasan diri dengan alasan sibuk, Nurul Hamiza gigih mencari peluang untuk jaminan kesihatan berpanjangan.

“Saya suka keluar berjoging atau mendaki bukit pada hari minggu. Kedua-dua aktiviti ini boleh membantu tubuh untuk sentiasa cergas dan peka terhadap perubahan sekeliling.

“Selain beriadah, saya juga mengamalkan diet sihat dengan menggandakan pengambilan buah-buahan dan sayur. Ini penting untuk menyokong kesihatan tubuh dan mengekalkan kecantikan kulit. Lagipun, saya memang tidak mengamalkan sebarang suplemen kecantikan kerana lebih fokus kepada bahan organik,” katanya.

Bercerita lanjut, kata Nurul Hamiza, dia sedar wanita hari ini dihidangkan dengan ribuan pilihan jenama produk penjagaan diri di pasaran. Ada yang datang dari luar negara, tidak kurang juga dihasilkan pengusaha tempatan sendiri. Namun untuk dirinya, dia lebih selesa memilih produk organik dan kekal mengamalkan petua alami.

“Lazimnya, saya akan mengadun pupur daripada kunyit yang dicampur yogurt atau telur putih untuk dijadikan masker wajah. Adunan ini saya gunakan dua kali seminggu untuk merawat wajah yang banyak terdedah kepada persekitaran dan alat solek.

“Saya sudah terbiasa dengan ajaran ibu sejak kecil. Kami semua selalu diingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan diri. Kata ibu, tubuh yang bersih penting untuk menyerlahkan lagi kecantikan seseorang.

“Malah ibu pernah beritahu bahawa berkulit putih itu tidak semestinya cantik, tetapi kebersihan luaran dan dalaman yang akan menonjolkan keistimewaan seseorang. Semua ini ibu ajar sejak usia kami di bangku sekolah rendah lagi,” katanya.

Jelas Nurul Hamiza, biarpun dia lebih suka menggunakan produk semula jadi, namun derianya tidak pernah terhalang untuk melihat dan mencuba pelbagai pilihan produk organik di pasaran moden kini.

“Apa yang penting adalah organik dan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Selalunya, untuk rutin penjagaan luaran, saya akan skrub badan menggunakan beras yang dikisar. Tetapi untuk penjagaan wajah setiap hari, saya gunakan penyegar, serum, pelembap, toner, serum dan krim pelindung matahari. Selebihnya, saya akan minum air kosong secukupnya dan kurangkan gula dalam hidangan.

“Ketika bersolek pula, saya suka memakai masker terlebih dulu untuk melembapkan kulit yang kering. Selepas itu barulah mula mekap dan bersiap.

“Di rumah, ibu memang mementingkan sarapan. Jadi, tak kira walau sesibuk mana, kami memang wajib makan sebelum memulakan rutin harian. Selain itu,

saya juga suka meletakkan kereta jauh sedikit dari tempat kerja setiap hari untuk mencuri kesempatan berjalan sambil menghirup udara segar waktu pagi,” katanya.

Satu daripada amalan rutinnya yang mungkin jarang didengar adalah bacaan zikir penaik seri. Kata Nurul Hamiza, dia akan menyebut ya Badiyah, ya Nur, ya Hadi, ya Allah dan meniup tapak tangan, diikuti sapuan ke wajah setiap kali selepas solat Isyak.

“Amalan zikir ini berupaya menyerlahkan seri dalaman dan luaran. Ia juga membuatkan pengamalnya tampak lebih awet muda dan bertenaga,” katanya.

TIP

1. Kurangkan penggunaan pencuci wajah pada waktu pagi.

2. Amalkan masker yogurt dan kunyit untuk mengelakkan pembiakan bakteria sekali gus mengawal tumbuhnya jerawat.

3. Masker telur putih boleh membantu membesihkan liang pori tersumbat dan menegangkan wajah.

4. Wap panas dilakukan untuk mengecilkan liang pori pada wajah.

5. Elakkan memicit jerawat.

6. Pakai krim pelindung matahari setiap hari.

7. Gunakan ais pada kulit untuk merangsang peredaran darah.

8. Lakukan senaman secara berkala.

Disiarkan pada: February 5, 2019 @ 12:33pm
d