hati

Dedah anak kehidupan aktif

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

KEPESATAN teknologi turut membawa perubahan besar terhadap tabiat kanak-kanak sekali gus memberi cabaran yang hebat untuk ibu bapa dalam membentuk gaya hidup sihat buat si anak supaya ia dapat diteruskan hingga dewasa.

Gajet elektronik, alat permainan video dan peranti mudah alih dilihat seolah-olah menggantikan aktiviti menyeronokkan kanak-kanak dan remaja seperti bermain di taman permainan, berekreasi bersama keluarga pada hujung minggu dan pelbagai aktiviti berfaedah lain.

Bagaimanapun, ibu bapa seharusnya memainkan peranan dengan mengehadkan penggunaan gajet dalam kehidupan anak dan berusaha menjadikan kehidupan aktif sebagai amalan sekeluarga.

Perkara itu diakui beberapa ibu bapa yang bimbang anak mereka kurang berminat terbabit dalam aktiviti cergas dan lebih rela ‘berhibernasi’ di dalam bilik melayan gajet mereka akan menjejaskan masa depan, malah lebih merisaukan apabila kualiti hidup dan kesihatan turut terjejas.

Oleh itu, ada antaranya sejak peringkat awal usia sudah mendedahkan anak mereka dengan aktiviti cergas dan menyihatkan seperti mendaki gunung, berlari, berbasikal dan memanah.

Amal Farhah Mohd Ali, 46, atau dikenali sebagai Coach Farah melihat sendiri kebaikan aktiviti sihat apabila menjadi jurulatih kecergasan dua tahun lalu dan sejak itu dia mengajak suami dan anak untuk turut serta agar mereka turut mendapat manfaat yang sama.

Katanya, seiring peningkatan usia dia sedar hanya dengan aktiviti kecergasan dapat memastikan dia dan suami, Abdul Karim Mohammad Ghulam, 47, menjadi contoh terbaik buat empat orang anaknya yang kini meniti usia remaja.

“Membesarkan anak remaja berusia 11 hingga 20 tahun memang mencabar apatah lagi dengan kehadiran pelbagai anasir luar yang jika tidak dibendung boleh menjerumuskan mereka ke dengan aktiviti tidak bermoral.

“Jadi, dengan membabitkan anak dalam aktiviti sihat bersama keluarga seperti mendaki bukit dan gunung selain menyertai larian ceria bersama, saya dapati mereka lebih cergas dan fikiran lebih jelas sekali gus tumpuan pada pelajaran juga meningkat.

“Secara tidak langsung hubungan keluarga juga bertambah erat. Saya benar-benar bersyukur selepas mengubah rutin mingguan dengan aktiviti berfaedah seperti ini, banyak perkara positif yang kami dapat manfaatkan bersama,” katanya.

Bantu anak tangani obesiti

Bagi Noorazlina Adzmi, 45, dia dan suami, Hassim Duman, 50, mula bergiat aktif dengan pelbagai aktiviti kecergasan bersama keluarga sejak 2008 antaranya berenang, berbasikal dan mendaki.

Katanya, selain mengekalkan tahap kesihatan yang baik buat mereka sekeluarga dengan aktiviti cergas, mereka mahu luangkan lebih banyak masa berkualiti bersama tiga anak mereka yang meningkat remaja.

“Banyak kebaikannya jika kita babitkan anak sekali dalam aktiviti ini, antaranya dapat mengawal mereka daripada terbabit aktiviti tidak sihat malah sebagai satu cara untuk mendidik mereka membina keyakinan diri dan nilai murni.

“Selain itu, kita dapat bantu anak membentuk hubungan komunikasi dengan komuniti yang memiliki minat sama,” katanya.

Noorazlina turut bersyukur kerana dapat membantu anak keduanya yang berdepan masalah obesiti untuk menurunkan berat badan dengan aktiviti kecergasan malah secara tidak langsung membina keyakinan dirinya untuk berdepan masyarakat.

Dia dan keluarganya kini turut terbabit dengan aktiviti basikal berkumpulan iaitu Penang Airport Cycling Team (PACT) yang menggalakkan aktiviti berkayuh bersama keluarga demi kesihatan baik dan mengeratkan hubungan keluarga.

Menurutnya, semua aktiviti yang dilakukan pada hujung minggu dan cuti sekolah bersama anaknya diakui turut membentuk sikap dan nilai murni dan mengakui mereka kini lebih peka dan bertanggungjawab dalam memelihara alam sekitar terutama ketika melakukan aktiviti berbasikal dan mendaki.

Aktiviti mendaki bukit yang menjadi rutin mingguan buat Sharifah Ivy Nor Adila Syed Azmi dan suaminya, Zaini Mohamed kini turut menjadi kegemaran dua cahaya mata mereka, Einsyirah Yasmine Hakeem, 15, dan Emre Farihin Hakeem, 11.

Katanya, aktiviti itu adalah antara aktiviti yang bukan saja untuk kecergasan, tetapi juga dapat menerapkan rasa cinta terhadap alam.

“Anak ini ibarat kain putih, kita sebagai ibu bapalah yang mencorakkan kehidupan mereka. Zaman ini membesarkan anak remaja bukan seperti zaman kita dahulu, jadi dengan cara babitkan mereka dengan aktiviti ini secara tak langsung kita terapkan nilai murni untuk melahirkan generasi yang berguna pada masa hadapan,” katanya.

Menurut Sharifah Ivy, dia sekeluarga memang gemar aktiviti beriadah sejak anak mereka masih kecil dengan aktiviti berenang di kolam renang awam namun bermula 2017, mereka mula mendaki bukit secara mingguan atau sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Baginya, aktiviti sihat bersama anak dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan selain sama-sama wujudkan kesedaran untuk kekal sihat. Dia sering mengingatkan kedua-dua anaknya bahawa otak yang cerdas lahir daripada badan yang cergas.

Selami hati anak melalui sukan

Bagi Zulfahanim Rashid, pengalamannya sebagai atlet memanah ketika menuntut di universiti pada 1994 hingga 1998 digunakan sepenuhnya kini untuk melatih anaknya, Sofea Anis Shahrilnizam sejak awal tahun lalu.

Katanya, sudah dua tahun anaknya itu menyertai sukan memanah di sekolah tapi belum nampak arah tujuannya dan remaja berusia 13 tahun itu berlatih hanya semasa aktiviti kokurikulum.

Jadi katanya, sejak awal tahun lalu dia mengambil keputusan untuk membuat ‘kemunculan semula’. Dia melabur sedikit modal membeli sendiri peralatan memanah untuk Sofea dan menambah peralatan yang kurang untuk dirinya sendiri.

Zulfahanim dan anaknya yang berdaftar di bawah Kelab Memanah Kuala Lumpur (KLAC) berkata, setiap minggu mereka akan turun padang untuk berlatih pagi dan petang di Kompleks Sukan MSN Keramat dengan jurulatih memanah. Dia sendiri turut menurunkan ilmu yang ada.

“Memandangkan anak saya menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) September lalu, jadi saya banyak menghabiskan masa dengannya semasa latihan. Sambil berbincang mengenai sukan memanah, saya juga banyak menyelami hati dan perasaannya dalam pelajaran.

“Dari situ sedikit sebanyak membantunya meningkatkan prestasi dalam pelajaran. Alhamdulillah berkat latihan yang konsisten, beberapa siri kejohanan yang disertai Sofea Anis hinggalah ke peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Wilayah Persekutuan KL,” katanya.

Menurutnya, memanah banyak mengajar anaknya erti kecekalan hati, sabar, istiqamah, serta fokus dalam apa jua bidang. Sofea Anis kini menuntut di tingkatan satu di Kolej Yayasan Saad, Melaka dan besar harapannya untuk meneruskan pembabitan dalam sukan ini ke peringkat negeri suatu hari nanti.

“Saya pula, selepas 20 tahun bersara dalam sukan memanah dan membuat kemunculan semula berjaya memperoleh tempat ketiga dalam Kejohanan Asia Pacific Masters Games di Pulau Pinang tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Nordini Hasnor Wan Ismail, 38, pula mengakui dua anaknya Ajwad Khaw Huang Kai, 11, dan Amzar Khaw Huang En, 8, sudah didedahkan dengan aktiviti mendaki sejak usia mereka masih kecil.

Katanya, dia mula mendaki bukit bersama semasa anak keduanya baru berumur tiga tahun dan didedahkan dengan pendakian di gunung ketika berusia enam tahun.

“Sebelum itu, selalunya saya mendaki sendirian di bukit saja. Memandangkan saya ada misi menjejak 40 gunung sebelum berumur 40, jadi anak pun perlu ikut saya kerana selalunya tiada orang yang menjaga mereka.

“Lama-kelamaan mereka juga turut berminat dengan aktiviti ini. Sebenarnya, pembabitan mereka secara tidak langsung dapat melatih dan memupuk erti ‘kesusahan’. Saya tidak mahu anak terlalu ‘manja’ lebih-lebih lagi banyak cabaran dan dugaan dunia luar yang mereka akan hadapi,” katanya.

Menurutnya, selain mendaki, kedua-dua anak lelakinya itu juga terbabit dengan aktiviti berenang, berbasikal dan bermain badminton bersama bapa mereka, Khaw Lek Ming.

Wan Nordini yang kini sudah pun menawan 27 gunung turut berpendapat bahawa tenaga anak lelaki yang banyak mesti disalurkan kepada aktiviti fizikal.

Jika tidak katanya, mereka akan cepat berasa bosan di rumah. Apabila melakukan aktiviti fizikal seperti mendaki, mereka bukan hanya boleh mengenal hutan dan alam malah minda juga tidak tersekat pada dunia moden semata-mata.

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 2:58pm
d