hati

'Melukis' wajah

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

SEBUT saja nama Syedewa, tentu ramai pengikut dunia solekan yang mengenali anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini. Tidak kira menerusi alam maya atau pernah berjumpa secara terus, majoriti yang pernah melihat hasil tangan jurumekap artis ini pasti kagum dengan bakat luar biasa yang ada padanya.

Agak mengejutkan apabila bercerita mengenai latar belakang diri Syed Mohamad Fahmi Syed Shabthar, 31. Ketika ramai prejudis terhadap kerjaya sebagai jurumekap artis, Syed Mohamad Fahmi bangga dengan perjalanan karier yang ditempuhi sejak lebih 10 tahun lalu.

Pernah bercita-cita menjadi doktor, dia nekad mempersiapkan diri mengikuti pengajian

Ijazah Sarjana Muda (Teknologi Kimia) di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tidak lama kemudian, Syed Mohamad Fahmi menukar cita-cita. Dia sukakan eksperimen dan mahu membina kerjaya sebagai penyelidik, pensyarah dan saintis. Berikutan itu, dia mempersiapkan diri dengan mengikuti pengajian sarjana dalam bidang genetik di universiti sama.

Namun perancangan Tuhan melebihi segalanya. Ketika berhempas pulas di universiti, Syed Mohamad Fahmi aktif mengambil bahagian dalam teater dan tarian. Di situlah, dia mula mengenali dunia solekan dan membina karier yang tidak pernah terlintas di fikiran.

Bercerita lanjut mengenai perjalanan kariernya dalam bidang solekan, Syed Mohamad Fahmi berkata, ketika kecil dia memang suka mewarna dan melukis namun tiada bakat istimewa dalam seni.

“Lukisan dan warna bukan kepakaran diri, sebaliknya saya hanya minat (kedua-duanya). Itu pun tidaklah pandai sangat. Solekan dan mewarna adalah berbeza. Jika pandai mewarna, belum tentu hebat menyolek wajah.

“Apa yang pasti, saya suka melihat wanita cantik dan bagaimana mereka mengenakan mekap. Jadi, apabila masuk universiti dan aktif dalam teater serta tarian, saya curi kesempatan untuk belajar menata wajah.

“Saya mula menyolek rakan dan mencedok pengalaman sedikit demi sedikit. Menariknya, saya bukan sekadar merias wajah untuk nampak cantik, tetapi perlu kreatif menghasilkan solekan kesan khas bagi menghidupkan watak orang tua dan kanak-kanak.

“Selepas itu barulah saya asah bakat dan kemahiran dalam mencantikkan wajah. Soal kelengkapan tidak jadi masalah kerana semuanya disediakan pihak universiti. Pokok pangkalnya hanya diri sendiri yang mahu mencuba atau tidak,” katanya.

TIDAK DIRANCANG

Berkali-kali juga Hati cuba mendapatkan kepastian Syed Mohamad Fahmi berhubung punca mengapa dia nekad mengubah cita-cita daripada seorang doktor, penyelidik, kemudian saintis, namun akhirnya berjaya sebagai jurumekap artis serta pengusaha produk kosmetik.

Bagaimanapun, setiap kali jugalah lelaki ini menjelaskan apa yang diraih hari ini berlaku tanpa dirancang. Ia sekadar peluang kecil yang datang dalam hidup, tetapi memberi kesan besar kepada perjalanan kariernya.

“Kalau diteliti balik, semua ini berlaku tanpa dirancang. Saya bermula pada umur 20 tahun. Saya menyolek kawan di universiti, terbabit dengan kerja kahwin dan banyak membantu kenalan melengkapkan pakej untuk butik pengantin mereka.

“Mana tahu, muncul peluang untuk tampil di majalah. Ketika itu barulah saya serius dalam industri ini. Saya dipanggil untuk mekap wajah selebriti, artis dan pelakon. Antara yang terawal bekerjasama adalah Kaka Azraf.

“Walaupun demikian, saya tidak pernah melupakan cita-cita menjadi doktor. Tamat pengajian dalam bidang Kimia, saya masih menyimpan cita-cita bergelar penyelidik dan saintis. Saya sangat sukakan subjek Kimia,” katanya.

Sehebat mana pun dirinya merangka perjalanan, Syed Mohamad Fahmi tidak dapat menolak keinginan untuk memiliki impian tersendiri. Cintanya kepada dunia penyelidikan dan kerja eksperimen membuahkan lebih banyak idea.

“Saya mula terfikir untuk menghasilkan wangian, mekap dan produk kosmetik. Memandangkan ramai yang kata bersolek itu susah, jadi saya mahu buktikan kepada semua, ia sebenarnya mudah.

“Ternyata bidang solekan ini menyeronokkan. Banyak yang boleh diteroka. Sejak dulu bidang solekan dipandang remeh. Ada masanya, ia langsung tidak dipandang orang.

“Hakikatnya dunia solekan cukup menarik. Sedar atau tidak, bidang ini sebenarnya luas. Kalau betul caranya, tidak sukar untuk sesiapa pun mencipta haluan dan kejayaan,” katanya.

Kini Syed Mohamad Fahmi berjaya membuktikan jalan yang dipilih tidak sia-sia. Kerjaya jurusolek membawa lelaki ini jauh ke depan. Dia bukan lagi sekadar jurusolek tetapi berjaya mengeluarkan jenama produk sendiri.

“Tidak ada jalan mudah untuk berjaya. Saya menjadi jurusolek artis, personaliti media sosial, pengusaha produk dan aktif melakukan kerja promosi di sana sini untuk terus bersaing dalam industri.

“Cabaran masa dan kewangan tetap ada di mana-mana. Pada masa sama, saya juga terpaksa berdepan persepsi orang. Ramai yang tidak senang apabila kita berusaha melakukan pelbagai kerja dalam satu masa.

“Selebihnya adalah pengurusan kewangan itu sendiri. Saya perlu bijak berbelanja, berjimat dan menyimpan untuk mengembangkan perniagaan pada masa depan,” katanya.

KERJA BERPASUKAN

Kata Syed Mohamad Fahmi, tidak lengkap peta kerjayanya tanpa sokongan orang di sekeliling. Dalam keadaan masa terhad dan komitmen yang menggunung, dia perlu akur waktu bukan ukuran terbaik untuk membandingkan kemampuannya dengan orang lain.

“Saya percaya setiap orang mempunyai kemampuan, kebolehan dan kapasiti tersendiri. Perbezaan sebegini tidak boleh dijadikan pengukur untuk menentukan kejayaan masa depan.

“Umpamanya, tidak semua orang boleh bekerja 12 atau 18 jam sehari. Semuanya perlu mengikut kemampuan masing-masing. Walaupun pembahagian masa penting, ia tidak dapat mengatasi pentingnya perancangan dan kerja berpasukan.

“Saya bersyukur kerana dikelilingi orang yang mampu menjadi tulang belakang. Mereka banyak memberi dorongan dan semangat. Tanpa mereka, tidak mungkin saya dapat melaksanakan kerja dengan cepat, tangkas dan cekap.

“Hendak membahagikan masa bukan lagi satu masalah kalau kita ada pasukan yang bagus. Setiap pengusaha syarikat perlu ada perancangan yang baik dan pelaksana yang boleh membantu menggalas tanggungjawab dengan berkesan. Alhamdulillah, semuanya lancar setakat ini,” katanya.

Biarpun demikian, kata Syed Mohamad Fahmi, dia masih belum puas kerana banyak lagi impian, cita-cita, misi dan visi yang belum dicapai. Dia mahu membuka butik kosmetik sendiri, mengeksport kosmetik ke luar negara, membantu anak muda mengembangkan bakat dalam bidang solekan atau perniagaan serta berkongsi banyak perkara dengan masyarakat umum.

“Saya sukakan bidang solekan dan mahu terus berada dalam industri ini untuk suatu jangka masa yang lama. Jika tidak menyolek orang sekalipun, saya mahu membimbing dan mengajar orang untuk bersolek.

“Saya mahu kembangkan perniagaan dan mendidik pengguna mengenai cara solekan yang betul. Buat masa ini, kepuasan baru 50 peratus. Banyak yang perlu diperbaiki. Selagi saya belum cukup menyumbang kepada masyarakat, keluarga dan kawan, selagi itulah kepuasan itu belum tercapai,” katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2019 @ 12:05pm
d