hati

Badan idamanku

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

MENUKAR penampilan diri bukanlah semudah menukar baju di bilik persalinan. Banyak pengorbanan, komitmen, usaha, disiplin dan kesungguhan diperlukan untuk mendapatkan hasil sebenar.

Hal sama dilakukan Zainur Arsyiqin Zainal Abidin, 34, sejak hampir enam tahun lalu. Wanita ini nekad meninggalkan kerjaya sebagai pereka fesyen dan berkecimpung dalam dunia kecergasan.

Ibarat menggenggam bara api, pemegang Diploma Seni Reka dari Universiti Teknologi MARA ini membuktikan usaha kerasnya untuk mendapatkan berat badan ideal berbaloi.

Biarpun terpaksa melupakan cintanya kepada dunia fesyen, dia tidak pernah menyesal. Baginya, kesihatan dan kecergasan tubuh lebih utama. Dia mahu melangkah yakin setiap kali berada di khalayak ramai.

Biarlah mereka yang pernah mengata saiz tubuhnya yang besar dulu menjadi saksi. Semangatnya berkobar-kobar untuk membantu lebih ramai wanita yang pernah terperangkap dalam tubuh besar seperti dirinya dulu.

“Kalau diberi kesempatan, saya mahu berada dalam bidang kecergasan lebih awal. Enam tahun sebagai pereka fesyen meninggalkan banyak kenangan manis. Namun apabila berat badan mencecah sehingga 115 kilogram, saya jadi takut. Hilang keyakinan untuk berdepan pelanggan.

“Ada masanya terngiang cakap-cakap orang mengenai saiz tubuh. Saya malu, rasa tidak cantik dan sentiasa meragui pujian atau layanan ikhlas orang di sekeliling. Sehingga sampai suatu tahap, saya melepaskan banyak peluang dalam hidup.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tidak terus hanyut. Saya temui kekuatan untuk mencari diri sebenar. Saya nekad untuk kurus dan menyertai pelbagai program kecergasan diri.

“Alhamdulillah, hari ini saya sudah memiliki sijil tauliah sebagai jurulatih kecergasan, mempunyai sijil kepakaran menguruskan berat badan dan aktif mengajar sukan muay thai. Paling penting, saya mampu kekal kurus dan sihat!” katanya teruja.

Bukan cita-cita

Tidak pernah terlintas di fikiran wanita ini untuk menjadi jurulatih kecergasan. Tambahan sejak kecil dia memang cukup meminati bidang seni lukis dan seni reka.

“Bagi saya, kerjaya sekarang adalah satu takdir. Saya bersyukur apa yang diperoleh hari ini lebih bermakna. Saya sentiasa mengejar matlamat untuk membantu orang lain.

“Mungkin kerana pengalaman diri yang banyak berdepan situasi sukar dan pahit untuk ditelan. Apabila diri kita sendiri berjaya mendapatkan berat badan ideal dan berupaya mengubah cara hidup ke arah yang lebih sihat, perasaan itu sukar untuk diterjemah.

“Saya seronok dapat berkongsi dengan masyarakat dan memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Kecergasan diri dan amalan pemakanan sihat bukan perkara enteng.

“Demi rasa tanggungjawab untuk menyebarkan ilmu dan memberi kesedaran kepada masyarakat, saya tidak menyesal mengubah profesion dan memulakan kembali langkah dalam kerjaya dari bawah,” katanya.

Jelas Zainur Arsyiqin, apabila sudah berada dalam dunia kecergasan, dia semakin peka terhadap statistik dan angka yang menunjukkan perubahan gaya hidup masyarakat setempat. Malah, dia risau apabia mengetahui negara mempunyai kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara iaitu sebanyak 44.5 peratus.

“Saya mahu terus memperkasa wanita supaya menjalani kehidupan sihat dan cergas. Saya berkongsi pengalaman dan mengadakan pelbagai program kecergasan.

“Ketika ini, saya juga menggalas tanggungjawab sebagai seorang daripada ketua pasukan program Slim and Fit Malaysia. Ia program menurunkan berat badan khusus untuk wanita.

“Selain itu, saya juga banyak mengadakan program sendiri seperti seminar pemakanan sihat untuk turunkan berat badan, kelas muay thai dan latihan angkat berat untuk wanita. Bidang fesyen memang terpaksa saya tinggalkan sepenuhnya demi fokus kepada dunia kecergasan,” katanya.

Kepuasan dalam kerja

Ditanya mengapa memilih muay thai, mudah jawapan diberi Zainur Arsyiqin. Katanya, setiap orang mempunyai minat yang berbeza. Tidak terkecuali juga dirinya.

“Bidang ini kena dengan jiwa. Penting untuk seseorang mencari jenis latihan atau sukan diminati supaya boleh kekal cergas melakukan aktiviti berkenaan secara berpanjangan. Kalau tidak sukakan muay thai, ada banyak lagi yang boleh dicuba seperti berenang, mendaki, berbasikal dan menari.

“Selain aktiviti kecergasan, saya juga suka berkongsi rutin setiap hari. Bangun awal dan memulakan latihan pagi selepas solat Subuh. Lazimnya saya buat latihan regangan dan senaman kardio.

“Bab pemakanan, saya suka mengajak ramai wanita supaya mengurangkan pengambilan makanan ringan dan diproses. Kurangkan makanan berminyak dan tinggi lemak, kurangkan minuman dan makanan manis. Pilih makanan segar. Pastikan setiap hari ada buah-buahan dan sayur-sayuran dalam menu,” katanya.

Menurut Zainur Arsyiqin, dia puas dapat membantu ramai orang untuk mencapai matlamat masing-masing dan pada masa sama memberi kesedaran kepada lebih ramai individu mengenai pentingnya menjaga kesihatan diri serta keluarga.

“Saya bertuah kerana mak dan ayah banyak memberi sokongan terutama ketika saya mula membina kerjaya. Kawan juga banyak membantu.

“Dalam hidup ini, saya selalu menganggap orang berjaya adalah orang yang dapat membantu orang lain untuk berjaya. Kalau boleh, saya mahu melahirkan lebih ramai wanita inspirasi masyarakat,” katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 12:21pm
d