hati

Cantik pada usia 50

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

USIA tidak menjadi penghalang untuk mana-mana wanita tampil cantik dan berkeyakinan. Mungkin ramai yang berasa rendah diri apabila usia sudah menghampiri angka 50 dan ke atas, mana tidaknya ada yang sudah bertukar status sebagai seorang nenek, wajah menunjukkan tanda-tanda penuaan, kulit mula kendur manakala badan mudah berasa sakit.

Walaupun semakin dimamah usia, tanyalah kepada mana-mana wanita, semua masih mahukan penampilan diri yang kemas dan sedap mata memandang.

Soal kecantikan itu mungkin sudah menjadi elemen kedua, apa yang lebih penting adalah kesihatan dan kekemasan supaya keyakinan diri sentiasa terserlah.

Menurut perunding kecantikan bertauliah Azie Sam, setiap wanita mentafsirkan makna cantik mengikut pandangan masing-masing, namun pada mereka yang sudah berusia 50 tahun mungkin ramai yang bersetuju kecantikan sebenar itu lebih pada kesihatan dan kekemasan diri.

“Ramai wanita amat menitikberatkan aspek kecantikan diri ketika usia muda namun ia semakin dilupakan seiring peningkatan usia.

“Hakikatnya, walaupun ramai yang beranggapan kecantikan bukanlah perkara utama yang perlu difikirkan lagi namun ia sedikit sebanyak mempengaruhi emosi anda sekali gus memberikan kesihatan diri yang lebih baik,” katanya.

Azie berkata, sesuaikan penampilan diri dengan usia dan jangan sesekali terjerat sebagai mangsa fesyen atau taasub dengan kecantikan.

“Cantik pada usia 50 ini tidak hanya menjurus kepada kecantikan luaran semata-mata kerana ia lebih kepada kecantikan dalaman. Kulit wajah yang halus mulus dan bentuk badan menawan hanyalah bonus kerana apa yang lebih utama adalah keperibadian yang terpuji.

“Kecantikan wanita itu lebih terserlah apabila mereka yakin dan selesa dengan diri sendiri, sentiasa berbuat baik sesama manusia dan jauhi sengketa. Kecantikan sebenar akan terpancar bermula daripada hati bersih dan fikiran yang tenang,” ujarnya.

Tambahnya, jangan sesekali malu dengan diri sendiri, walaupun usia sudah memasuki angka 50 tahun dan ke atas, kecantikan diri masih dapat diserlahkan.

“Serlahkan keyakinan, lengkapkan penampilan dan jaga kesihatan diri. Tiga elemen itu dapat merangkumi maksud cantik yang sebenar apabila usia semakin meningkat.

“Namun, tidak salah untuk kekal bergaya kerana kini banyak fesyen menarik yang sesuai digayakan untuk mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas,” katanya.

Sebagai perunding imej, Azie menyarankan supaya wanita memasuki usia 50 tahun untuk sentiasa berfikiran positif.

“Jaga penampilan diri dan sifat keperibadian kerana ia akan merangkumi maksud kecantikan sebenar. Pada masa yang sama, ia juga dapat membantu meningkatkan keyakinan diri sendiri.

“Ketahui cara membentuk imej positif di mana integriti dalaman dapat diserlahkan melalui penampilan. Kita yang menentukan mesej apa yang ingin disampaikan kepada orang lain melalui penampilan diri,” ujarnya.

TIP KEKAL CANTIK

Azie turut berkongsi tip untuk wanita kekal cantik walaupun selepas berusia 50 tahun:

Setiap wanita itu cantik dan mempunyai keunikan tersendiri

Tiada wanita yang dilahirkan tidak cantik, tidak kira apapun bentuk badan dan warna kulit anda. Sayangi, cintai, hargai diri dan fahami kekuatan atau kelebihan yang dimiliki.

Jangan membandingkan diri dengan orang lain atau meniru apa yang orang lain ada

Membandingkan dengan orang yang lebih baik dari kita sama ada kecantikan, kekayaan, status atau kejayaan anak-anak boleh membuatkan kita sedih. Sebenarnya di sebalik kelebihan seseorang itu, dia juga ada kekurangan dan masalah tersendiri. Boleh meniru orang lain, asalkan ia bersifat positif.

Berani menjadi diri sendiri

Bentuk imej positif dan bina personaliti anggun. Orang kata, kalau pada umur 40 tahun masih tidak berubah, bermakna dia tidak akan berubah selamanya. Namun ia tidak tepat. Perubahan boleh berlaku pada sebarang umur walaupun selepas melangkau angka 50. Lakukan perubahan ke arah yang lebih positif sesuai dengan usia anda. Gunakan pengalaman dan pengetahuan untuk menjadi insan yang lebih baik dan positif.

Mantapkan diri dengan ilmu

Individu berusia sering dipandang mempunyai banyak ilmu dan pengalaman. Memang benar. Namun kecantikan seseorang wanita itu akan lebih terserlah jika dia mempunyai ilmu. Jadi gunakan masa terluang dengan banyakkan membaca bahan bacaan bermanfaat dan berilmu, ikuti kelas agama atau kemahiran lain.

Sesuaikan penampilan diri dengan usia

Walaupun anda suka mencuba pelbagai gaya tetapi pada usia ini anda perlu menjadi lebih sensitif supaya tidak menjadi mangsa fesyen. Sesekali, buat pelaburan mengikut kemampuan dengan membeli pakaian yang boleh menampakkan anda segar dan bergaya. Jika ada duit, tidak salah membeli pakaian berjenama.

Jaga kesihatan

Ini aspek yang sangat penting. Kesihatan yang baik akan menampakkan seseorang tampak lebih muda dan menyerlah. Luangkan masa untuk mula bersenam. Mulakan dengan berjalan di lorong depan rumah, kemudian tambah jaraknya apabila stamina sudah terbina. Jika ada kawan, lebih baik kerana ia akan merangsang semangat anda untuk lebih kerap bersenam.

Bersederhana

Ini sangat penting. Sama ada dalam berpakaian atau dandanan. Kenali bentuk badan anda dan dengan cara itu anda boleh memilih pakaian bersesuaian yang boleh menutup kekurangan diri.

Hargai perubahan yang berlaku pada diri

Penuaan adalah proses semula jadi yang tidak boleh dielakkan walaupun jenama kecantikan di seluruh dunia berlumba-lumba menghasilkan produk untuk menunda dan menghilangkan tanda-tanda penuaan di wajah anda.

Terima perubahan ini dengan hati dan minda terbuka. Selalu bersyukur kita diberi peluang untuk menikmati hidup hingga ke umur begini. Rasa syukur dan reda akan membuatkan seseorang itu tampak lebih ceria dan positif.

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 9:03am
d