hati

Adun sendiri skrub rawat tumit

Oleh Susunan Intan Mas Ayu Shahimi

SETIAP pagi dan malam, kita banyak menumpukan kepada penjagaan wajah. Masalah jerawat, kulit kusam, liang pori tersumbat, bintik kasar dan sebagainya. Semua ini menuntut kos penjagaan yang besar.

Untuk cantik, wanita sanggup berhabis wang ringgit mendapatkan produk penjagaan berjenama. Ada juga yang menghabiskan masa berjam-jam di spa dan pusat rawatan kecantikan.

Namun demikian, berapa ramai di antara kita yang membelek tapak kaki, khususnya tumit? Tambahan jika kerap mengenakan stiletto atau sepatu terbuka, penjagaan tumit harus diberi perhatian supaya tidak menjadi bahan kutukan orang yang berjalan di belakang.

Usah pandang remeh penjagaan tumit. Mana mungkin wanita hanya kelihatan cantik dan mulus pada wajah, sedangkan tumit kaki merekah, berkuping serta berdaki.

Berikut beberapa tip untuk skrub kaki. Bahan-bahan yang digunakan tidak mahal dan mudah didapati. Ada di antaranya mungkin tersedia di dapur. Cubalah adun dan rawat tumit sekurang-kurangnya dua kali sebulan.

1. Skrub strawberi dan gula

Sejak dulu strawberi memang dikenali dengan manfaat antipenuaan. Ia berupaya mencegah kedut pada kulit wajah dan merawat bahagian kaki yang dirasakan kasar.

Bahan-bahan:

• 1/2 cawan gula kasar

• 2 biji strawberi

• 1/4 cawan minyak zaitun

Cara-caranya:

a. Lumatkan buah strawberi dan campurkan dengan gula kasar.

b. Tambahkan minyak zaitun dan adun sekata.

c. Gosokkan skrub ini di kedua-dua kaki dan biarkan rehat selama 20 minit sebelum dibilas dengan air suam. Lap sehingga kering.

2. Skrub minyak kelapa dan garam

Kulit kaki kasar

dan tumit merekah sesuai mencuba skrub ini. Garam kasar boleh merawat bakteria. Teksturnya

sesuai untuk dijadikan penyental tubuh. Sementara minyak kelapa melembapkan kembali kulit.

Bahan-bahan:

• 1 cawan garam kasar

• 1/4 cawan minyak kelapa

• 3 titis minyak aroma terapi (ikut suka)

Cara-caranya:

a. Adun semua bahan. Simpan separuh dalam bekas.

b. Gunakan skrub untuk menyental kaki, celah jari dan tumit.

c. Rendam kaki seketika dalam air suam dan bilas.

3. Skrub rosmary dan pudina

Bagi pemilik kulit kering, skrub dengan rosmary dan pudina boleh membantu merawat dan melembapkan. Kesan penyejukan daripada daun pudina juga boleh mengurangkan rasa letih. Rosmary pula memang dikenali dengan manfaat meredakan sakit dan nyeri serta meremajakan kulit kaki. Jika digunakan secara teratur, tidak mustahil anda boleh mendapat kaki bersih dengan kulit sihat.

Bahan-bahan:

• 1 sudu rosmary (yang dikeringkan)

• 2 sudu minyak zaitun

• 1/4 cawan garam (garam Epsom atau garam bukit)

• 3 titis minyak aromaterapi pudina

• 1 camca minyak kelapa

• Sedikit daun pudina segar

Cara-caranya:

a. Tuang garam ke dalam mangkuk dan tambahkan minyak kelapa dan zaitun.

b. Campurkan minyak aroma terapi, daun pudina yang diracik dan rosmary.

c. Jika teksturnya masih terasa kering, tambahkan lagi minyak kelapa. Simpan dalam balang.

d. Gunakan untuk skrub kulit sekali seminggu dan rasai nikmat kesegarannya.

4. Skrub soda penaik

Soda penaik yang masih berbaki di rumah boleh digunakan untuk adunan ini. Ia berkesan membantu mengurangkan bau kaki dan daki serta menyental sel kulit mati. Sebaiknya, rendam dulu kaki sebelum menggunakan skrub ini.

Bahan-bahan:

• 3 sudu soda penaik

• 1 sudu air

Cara membuat:

1. Campurkan kedua-dua bahan membentuk adunan.

2. Sental bila perlu.

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 12:02pm
d