hati

Berkorban capai impian

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

MUNGKIN pada zahirnya tampak indah namun hakikatnya tiada siapa yang tahu. Benar kata orang bukan mudah untuk sampai ke puncak, halangan dan cabarannya tidak terduga.

Mengenali anak jati kelahiran Negeri Di Bawah Bayu ini banyak mengajar penulis erti sebenar sebuah pengorbanan dalam mengejar impian hidup.

Ternyata ia bukanlah perkara mudah, tidak terkira air mata yang mengalir begitu juga masa dan wang ringgit dikorbankan semata-mata untuk mengecapi apa yang dihajati.

Membuka bicara, pemilik nama Christine Bilan, 36, tersenyum manis sambil menarik nafas dalam, terlalu banyak dugaan yang ditempuh dalam tempoh 15 tahun menjejakkan kaki dalam dunia perniagaan.

Menurut wanita manis yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains ini, bergelar usahawan adalah pilihannya sendiri tanpa ada paksaan atau dorongan daripada sesiapa.

“Saya mula berniaga sejak di bangku sekolah rendah, ternyata bidang ini seronok kerana ia membuahkan hasil lumayan sekiranya rajin berusaha. Bermula daripada itu saya tanam impian untuk bergelar usahawan berjaya yang bukan saja dikenali di Sabah dan Sarawak malah di seluruh Malaysia.

“Seiring peningkatan usia, saya menjalani kehidupan sama seperti insan lain, di samping mengusahakan pelbagai jenis perniagaan ketika belajar. Dalam sibuk berniaga, pelajaran tetap jadi keutamaan dan saya berjaya menghabiskan pengajian seterusnya berpeluang menjadi guru,” katanya.

Menurut Christine, dia sama sekali tidak dapat lari daripada dunia perniagaan kerana di samping bergelar pendidik, dia tetap menjalankan perniagaan berasaskan kecantikan dengan menjual pelbagai produk kecantikan secara dalam talian.

“Saya menjual pelbagai jenama kecantikan dari dalam dan luar negara ketika itu dan syukur sambutan yang diterima sangat menggalakkan memandangkan lebih menumpukan perniagaan di pasaran Sabah serta Sarawak.

“Hari demi hari, perniagaan semakin rancak. Apabila mendapat banyak tempahan, saya bertambah sibuk dan sukar untuk membahagikan masa antara kerjaya hakiki dengan perniagaan yang menyebabkan saya akhirnya akur meletakkan jawatan sebagai guru,” ujarnya.

Menurutnya, ternyata ia bukanlah satu keputusan mudah memandangkan dia sudah berkhidmat sebagai guru selama 11 tahun dan seakan-akan sudah sebati dengan dirinya.

“Bohonglah jika saya katakan tidak sayang kerjaya sebagai pendidik. Saya sangat sedih kerana terpaksa meninggalkannya namun percaya pada keberkatan dan mahu menumpukan sepenuh perhatian hanya pada satu bidang saja.

“Bayangkanlah, sebelum berhenti bekerja, saya banyak habiskan masa dengan perniagaan sedangkan tugas sebagai guru sangat menuntut saya memberikan sepenuh perhatian terutama dalam proses mendidik anak bangsa.

“Kesibukan harian menyebabkan saya kadangkala tiada masa untuk diri sendiri dan terpaksa mengorbankan waktu tidur. Bahkan waktu makan juga terabai. Sering kali saya terlepas waktu makan kerana sibuk. Saya sedar, jika diteruskan rutin hidup sedemikian, saya bimbang ia akan menjejaskan kesihatan diri sedangkan ia adalah harta yang paling bernilai dan tidak boleh dibeli dengan wang. Itulah yang menjadi sebab utama saya terpaksa berhenti kerana saya tidak mahu tamak selain ingin fokus,” katanya.

Kata Christine, ternyata keputusan yang diambil adalah yang terbaik kerana bermula daripada detik itu, dia dapat memberikan sepenuh komitmennya hanya pada satu bidang saja.

“Syukur, suami dan keluarga banyak beri bantuan dan sokongan tidak berbelah bagi kepada saya, ketika saya sedih, penat, buntu dan tertekan mereka sentiasa di sisi. Saya kemudian terus melangkah tanpa menoleh ke belakang, ketika itu apa yang saya mahukan adalah keuntungan dan kejayaan,” ujarnya.

DUGAAN BERI KESEDARAN

Langkahnya untuk mengecapi impian dihajati tidak semudah disangka, Christine akui dalam keterujaan mengejar kejayaan dia silap dalam menyusun strategi perniagaan.

Menurut Christine, kesilapan terbesarnya ketika itu adalah kurang ilmu perniagaan yang akhirnya menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian besar.

“Ramai orang kata pengalaman itu sangat penting namun untuk bergelar usahawan berjaya, pengalaman perlu diselarikan dengan ilmu supaya langkah dalam perniagaan tersusun rapi.

“Paling menyedihkan apabila saya terpaksa berdepan penalti denda yang sangat tinggi dikenakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akibat kelalaian menguruskan akaun dengan betul,” katanya.

Katanya, semua itu dijadikan pengajaran buat dirinya sebelum dia mula mengikuti beberapa kelas pemasaran dan pengurusan perniagaan.

“Walaupun sudah lama dalam bidang ini iaitu mencecah belasan tahun, saya tidak boleh malu untuk masuk semula ke kelas asas perniagaan dan duduk sebaris dengan anak muda yang mahu memulakan perniagaan bagi menimba ilmu. Saya bermula semula daripada bawah, berguru dengan guru pemasaran iaitu Sharifuddin Muda atau lebih dikenali sebagai Sifu Dino dan belajar selok belok pengurusan perniagaan yang betul.

“Syukur, semuanya berjalan dengan baik dan saya kembali yakin untuk menguruskan perniagaan ini dan akhirnya berjaya mengeluarkan jenama kecantikan sendiri iaitu Luvqis kira-kira dua tahun lalu,” ujarnya.

Christine yang memilih rumpai laut sebagai bahan utama dalam setiap produk kecantikannya berkata, dia juga tidak mahu terburu-buru dan lebih memfokuskan perniagaan di pasaran Sabah dan Sarawak buat waktu ini.

“Pengalaman lalu menjadi pemangkin semangat untuk saya lebih berhati-hati, saya susun semula strategi pemasaran produk dan syukur sambutan diterima menggalakkan. Secara perlahan-lahan saya akan mula memasuki pasaran semenanjung dalam tempoh terdekat.

“Dalam tempoh 15 tahun ini, pelbagai dugaan saya tempuhi dan semuanya menjadikan saya lebih matang. Bagi saya, untuk berjaya, tidak boleh tiada ilmu kerana ia diibaratkan seperti bodoh sombong, jangan sesekali malu untuk menimba ilmu walaupun anda sudah dianggap ‘orang lama’ dalam sesuatu bidang,” katanya mengakhiri bicara.

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 4:08pm
d