hati

Ujian ketika di puncak

Oleh Siti Zarinah Sahib

KECEKALAN dan ketabahan wanita ini wajar dijadikan inspirasi kaum hawa. Berjaya dalam perniagaan kemudian jatuh dan bangun semula adalah ujian yang perlu ditempuhinya. Pemilik nama Datin Ros Ramlan, 40, ini sememangnya seorang yang kuat semangat.

Baginya walau apa juga rintangan dia tidak sesekali menyerah kalah sebaliknya meneruskan perjalanan dalam memastikan kesinambungan legasi perniagaan yang diwarisi daripada ibu bapanya dapat diteruskan.

Dia yang datang ke studio Balai Berita NSTP, Kuala Lumpur, ditemani anak sulungnya, Syahira Abdullah, 21, mengakui membuka perniagaan memanglah mudah. Ada modal sudah pasti jenama diinginkan dapat dikeluarkan. Namun untuk memastikan kelangsungan dalam perniagaan itulah cabaran utama apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar.

Dalam rancak bercerita wanita ini turut memberitahu ‘dianugerahkan’ diuji Allah ketika perniagaan berada di puncak apabila suami yang selama ini sentiasa bergandingan dalam susah dan senang kini terlantar disebabkan diabetes, masalah jantung dan buah pinggang.

Ketika itu dia dan suami baru mengeluarkan produk pertama pada 2013, dalam mencari rentak untuk pemasaran dan promosi. Pada 2015, suami, Datuk Mohamad Zawawi Salleh diserang diabetes.

“Oleh kerana lambat menerima rawatan dan pengambilan ubat secara konsisten menyebabkan berlaku kerosakan buah pinggang dan masalah jantung. Saya rasakan dunia gelap seketika, tambahan pula anak masih bersekolah dan perlu diberikan tumpuan sepenuhnya. Suami pula hanya mengharapkan saya menemani dan menjaga makan minumnya.

“Disebabkan tahap kesihatan semakin merosot menyebabkan dia terpaksa ditahan di wad untuk pemantauan selanjutnya. Dalam tempoh dua bulan perniagaan semakin merosot. Ini kerana saya tiada sesiapa yang boleh diharapkan. Keadaan ini menyebabkan perniagaan saya terpaksa ditutup,” katanya sayu.

Lama-kelamaan dia tiada punca pendapatan, kewangan pula semakin merosot disebabkan rawatan suami memerlukan belanja yang besar terutama untuk dialisis dan ubat-ubatan. Ini memaksa Ros pulang ke kampung di Johor Bahru.

“Ketika itu tujuan asal saya hanya untuk mengurangkan perbelanjaan termasuk rawatan. Tetapi disebabkan seorang yang kuat bekerja, saya tidak boleh duduk diam dan mula memikirkan apakah yang boleh dilakukan bagi menjana pendapatan pada masa sama menjaga suami yang terlantar,” katanya.

Mujur Ros berasal dari keluarga berniaga dan ibu bapanya mempunyai restoran di Johor. Jadi tidak hairanlah dia juga pandai memasak terutama menyediakan hidangan Melayu Johor. Malah pasangan suami isteri ini juga pernah memiliki restoran sendiri yang dibuka di Puncak Jalil tetapi tidak bertahan lama.

“Ketika di Johor saya tidak boleh duduk diam. Banyak rancangan bermain di fikiran namun semuanya tidak dapat dilaksana berikutan kekangan modal. Saya juga tidak boleh meninggalkan suami keseorangan kerana perlu menguruskan dirinya.

“Lama-kelamaan saya mendapat idea untuk membuat karipap segera dan menjual nasi lemak. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana apa juga perniagaan yang saya usahakan mendapat permintaan pelanggan. Wang keuntungan inilah saya gunakan bagi menyara kami dan empat anak yang masih bersekolah,” katanya.

Namun perniagaan nasi lemak juga tidak bertahan apabila terpaksa ditutup disebabkan tidak memiliki lesen perniagaan. Sekali lagi rasa tertekan mula menguasai diri.

Memikirkan suami yang memerlukan perhatian, perasaan ini disimpan jauh daripada pengetahuannya kerana bimbang ia turut mengganggu emosinya. Dalam diam Ros merancang dengan anak sulungnya Syahira untuk kembali ke Kuala Lumpur, kerana berasakan inilah rumah dan kampung halamannya.

“Akhirnya saya tekad berniaga semula dengan menghasilkan produk sendiri. Idea penghasilan produk kerana ketika itu berat badan saya meningkat sehingga 68 kilogram (kg). Mungkin disebabkan tidak menjaga pemakanan serta tekanan menyebabkan tubuh semakin membesar.

“Saya mencuba pelbagai produk di pasaran namun ia tidak berkesan. Menggunakan modal berniaga nasi lemak di kampung saya mula menghasilkan produk pelangsingan badan dengan harapan dapat mencari ramuan untuk menurunkan berat badan saya.

“Alhamdulillah selepas pengambilan produk ini berat badan saya turut sedikit demi sedikit sehingga 17kg. Ia sesuatu yang cukup dibanggakan dan saya ingin berkongsi dengan wanita lain agar mereka turut berazam menurunkan berat badan untuk menjaga kesihatan,” katanya.

PERLU SABAR JAGA SUAMI SAKIT

Berpengalaman menjaga suami yang sakit empat tahun lalu, jelas wanita kecil molek ini sememangnya ia memerlukan kesabaran tinggi. Apatah lagi penglihatannya semakin merosot sehingga dia terpaksa dibantu untuk bergerak terutama ketika rawatan di hospital.

“Oleh kerana tahap diabetes semakin kronik menyebabkan saya perlu menjaga pemakanannya dengan teliti. Sebelum keluar rumah atas urusan kerja saya akan memastikan makanannya disediakan. Saya juga memasak mengikut panduan pemakanan yang betul untuk pesakit diabetes.

“Memang ia sangat mencabar tambahan pula perniagaan saya baru bermula. Tetapi saya perlu melakukan kedua-duanya iaitu menjaga suami pada masa sama memastikan pemasaran dan promosi dapat dijalankan. Mujur Syahira banyak membantu dalam urusan pemasaran dan kewangan,” katanya terharu.

Sebagai isteri ujar wanita kelahiran Johor ini menjaga suami yang sedang sakit memerlukan tingkat keikhlasan tinggi. Tanpanya mungkin seseorang itu akan merungut dan tidak ikhlas dengan apa yang dilakukan. Emosi pesakit juga perlu dijaga terutama ketika menguruskan mereka ke hospital atau perkara yang boleh mendatangkan kesedihan.

“Elakkan merungut walaupun ketika itu kita sedang penat. Layan pesakit dengan baik dan mengucapkan kata-kata manis kepada mereka. Berikan semangat yang mereka akan pulih,” katanya yang mengharapkan terus diberikan kecekalan menjaga suami serta mengharap­kan perniagaan bertambah baik.

Sebagai ibu, Ros sangat berbangga kerana anak yang sulung, Syahira mahu mengikut jejak langkah menceburi perniagaan. Mungkin kerana dia mengikuti perjalanan susah senang ibu berniaga. Pernah gagal dan bankrap sehingga terpaksa pulang ke kampung. Semua ini mematangkan Syahira untuk mengikut jejak lang­kah ibunya sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya juga tidak memiliki pendidikan tinggi, berbekalkan SPM saja. Tetapi berkat membantu ibu ayah berniaga di warung dan bekerja sebagai kerani akaun di sebuah syarikat pembinaan membuatkan sedikit demi sedikit saya mengumpul pengalaman berharga.

“Sejak kecil saya memang kuat semangat dan tidak pernah berputus asa. Saya juga gemar mencuba, selain berniaga saya juga pernah menjadi ejen hartanah wanita berdaftar yang berjaya tetapi terpaksa melupakan seketika disebabkan ingin mencabar diri dengan berniaga.

“Walaupun pelbagai cabaran dilalui, susah dan senang namun semua ini mematangkan kehidupan saya. Saya tidak pernah menyesal dengan jalan dipilih dan terus bangun bagi memantapkan ekonomi keluarga sekali gus membantu mereka yang ingin berniaga bersama saya,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 12:26pm
d