hati

Jiwa murni 6 sahabat

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

MEREKA berkerjaya profesional dalam bidang masing-masing yang pastinya menuntut jadual harian ketat, namun itu tidak langsung menghalang sekumpulan anak muda mewujudkan projek amal yang digelar Preloved Pitch menerusi pertubuhan sosial, HULUR Malaysia.

Jika orang lain selesa menghabiskan waktu terluang bersama keluarga di rumah, mereka pula tidak lokek mengerah keringat membantu golongan yang memerlukan atas dasar kemanusiaan.

Sememangnya usaha itu wajar diberi pujian kerana projek anjuran pertubuhan dianggotai 23 ahli itu bukan saja menyediakan landasan untuk orang ramai menjual barangan terpakai, malah membantu perniagaan kecil memasarkan produk mereka dan meningkat­kan kesedaran masyarakat terhadap nasib golongan yang kurang bernasib baik.

Diterajui Roslina Abdul Razak, 30, acara jualan amal yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu menyediakan ruang menjual barang terpakai yang masih berkeadaan baik dengan harga rendah.

Kesempatan menemui Roslina dan sebahagian ang­gota penggerak pertubuhan itu, baru-baru ini digunakan sepenuhnya untuk mengenali enam sahabat berjiwa murni ini.

Kehadiran Roslina, Afiqah Rosland, 29, Suria Ahmad @Salim, 31, Mohd Taufik Abdul Jalil, 26, Ika Ibrahim, 34, dan Tengku Nur Sabariah Tengku Abdul Rahman, 31, menggamatkan suasana ketika temu bual berlangsung dan penulis teruja melihat keakraban persahabatan mereka yang kini dimanfaatkan sebagai lubuk pahala.

Roslina berkata, pada 2017, mereka mula menganjurkan Preloved Pitch Vol.1 yang memberi manfaat kepada pertubuhan MyCare, asnaf dan gelandangan menerusi hasil jualan barangan terpakai.

“Tahun ini, kami berhasrat membantu lebih ramai golongan memerlukan dan untuk mengekalkan sumba­ngan kepada masyarakat, Preloved Pitch Vol 2 akan dianjurkan.

“Bukan sekadar menjadi medium untuk menjual barangan terpakai, acara jualan amal ini akan menyalurkan keuntungan kepada organisasi kebajikan terpilih iaitu Autisme Malaysia, Pusat Baitul Ulfah dan Pusat Jagaan Nur Hasanah,” katanya.

Menurut jurutera muda ini, idea penubuhan pertubuhan itu bermula apabila dia terserempak sekumpulan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang sedang membahagikan makanan kepada gelandangan di bandar raya Kuala Lumpur.

Katanya, keadaan ketika itu amat meruntun jiwanya dan pada masa sama menyedari golo­ngan ini bukan saja perlu dibantu dari segi kewa­ngan, mereka juga perlu bantuan dari segi moral dan peluang untuk mereka berusaha sendiri bagi menyara hidup, bukan hanya duduk menunggu bantuan semata-mata.

Sejak itu, Roslina mula mengajak beberapa rakan menganjurkan program Preloved Pitch dan dia terharu apabila mereka turut berminat dengan idea berkenaan.

“Selain menjual barangan peribadi kesaya­ngan milik kami, jualan Preloved Pitch ketika itu juga menggalakkan pembabitan orang ramai menyum­bangkan barangan seperti pakaian, kasut, aksesori dan beg tangan untuk dijual pada hari berkenaan.

“Semua barangan yang dijual dalam keadaan baik dan kebanyakannya dibeli ketika kami melanjutkan pengajian di luar negara. Kejayaan program itu juga mencetuskan idea penubuhan HULUR Malaysia untuk mengembangkan skop program,” katanya.

Bermula dengan lima anggota, katanya, kini pertubuhan itu dianggotai 23 kru dan masing-masing mempunyai peranan tersendiri bermula daripada perancangan awal, pemasaran, logistik, kewangan, vendor, media sosial, penajaan dan lain-lain.

Bagi mereka, jumlah itu sebenarnya masih kecil untuk menguruskan suatu acara berskala besar seperti itu kerana masing-masing mempu­nyai pekerjaan tetap dan kekangan masa adalah halangan terbesar mereka.

Roslina berkata, awalnya walaupun mereka semua berasa letih disertai tekanan tugas di tempat kerja, ia berbaloi dan seronok melakukannya.

Baginya, perasaan gembira tidak dapat digambarkan apabila mereka melihat pelanggan berpuas hati dapat membeli barangan berkualiti dengan harga rendah.

Namun kepuasan sebenar apabila melihat barangan vendor terjual dan hasil jualan dapat disumbangkan kepada badan kebajikan.

“Rasa puas dan lega apabila segala penat lelah ini berbayar. Kami ber­sengkang mata dan tidak tidur malam demi menyiapkan semua tugasan.

“Pada masa akan datang, kami berharap HULUR Malaysia bukan saja dapat membantu mereka yang kurang bernasib baik, juga mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka,” katanya.

Menurut Roslina, tahun ini mereka sekali lagi akan menganjurkan acara Preloved Pitch Vol 2 pada 2 Mac ini di Dewan Melati Seksyen 7, Shah Alam bermula jam 9 pagi hingga 9 malam.

Sepanjang acara ini, mereka berhasrat mendapatkan sekurang-kurangnya 40 vendor manakala semua bara­ngan akan dikumpul dan dikategorikan mengikut saiz dan jenis yang sesuai.

Pertubuhan itu juga amat mengalu-alukan sumbangan orang ramai dari segi dana atau sumber lain, sekali gus membantu mereka mengumpul dana untuk badan amal sasaran.

“Kami berhasrat memberikan peluang kepada rakyat Malaysia khususnya untuk mengambil bahagian dalam acara ini agar dapat menyumbangkan masa, tenaga dan sumbangan mereka dalam membantu merealisasikan impian insan yang lebih memerlukan di samping merasai kemeriahan acara ini.

“Orang ramai yang mahu menyerahkan barangan peribadi untuk disumbangkan boleh menghubungi kami melalui laman Facebook dan Instagram menerusi akaun Preloved Pitch.

“Selain itu, kami juga boleh dihubungi menerusi talian 019-6756070. Kami menghargai sumbangan orang ramai dalam usaha membantu insan kurang bernasib baik,” katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2019 @ 7:00am
d