hati

Kapten muda

TIDAK ramai yang mampu menggalas tugas mengemudi kapal pengangkut cecair gas asli bersaiz 300 meter panjang pada usia semuda 30 tahun. Kalau diimbas secara kasar, pasti angkanya boleh dikira dengan jari saja. Itu pun mungkin di luar negara atau di ceruk rantau dunia, bukan Malaysia.

Lazimnya, kapten kapal dilantik dalam kalangan mereka yang sudah melewati umur belia. Ini kerana ramai majikan lebih selesa mengambil kira faktor usia dan pengalaman dalam menentukan kecekapan bekerja, memimpin mahupun membuat sebarang keputusan.

Namun, tuah buat Muhammad Yussra Hakimi, 30, apabila dia diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab besar berkenaan oleh majikan sejak akhir tahun lalu. Pelantikan itu meletakkan dirinya sebagai antara kapten kapal termuda dalam kalangan mereka yang sejawatan dengannya.

Tambah menarik, anak kelahiran Ipoh, Perak ini tidak belayar di lautan sendirian, sebaliknya turut ditemani anak, Maryam Inara dan isteri tercinta, Ira Farina Mohamed Jasmani.

Bercerita mengenai pembabitan awalnya dalam kerjaya, kata Muhammad Yussra, dia adalah lepasan Maktab Tentera Diraja. Rezeki berpihak kepadanya apabila ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke Akademi Laut Malaysia dengan yuran ditaja syarikat perkapalan nasional.

“Saya anak sulung daripada empat beradik. Ayah, Hakimi Abdullah adalah Veteran Komando Vat 69 Polis Diraja Malaysia manakala ibu, Fatimah Lee menjadi suri rumah sepenuh mana.

“Tamat pengajian di akademi, saya menggenggam Diploma Sains Nautika dan Sijil Kecekapan (COC 1 FGN ) Tahap 1 tanpa had oleh Jabatan Laut Malaysia. Kemudian, saya terus ditawarkan bekerja di syarikat perkapalan yang menaja dari 2009 hinggalah menjadi kapten pada akhir tahun lalu,” katanya.

Kerjaya unik

Mengakui jatuh cinta pada kerjaya dan kehidupannya kini, Muhammad Yussra berkata, dia tidak pernah berasa terbeban biarpun terpaksa berpisah jauh daripada keluarga serta rakan, mahupun saudara.

“Saya mula mengenali dunia maritim melalui rakan senior di maktab. Mungkin sudah tersurat rezeki Allah SWT dan didorong pula dengan tajaan pendidikan serta tawaran bekerja, saya nekad meneroka setiap sisi bidang ini.

“Alhamdulillah, perjalanan hidup saya dipermudahkan-Nya. Saya bersyukur diberi peluang menjadi kapten pada usia yang agak muda dan diberi kepercayaan mengendalikan kapal bersaiz hampir 300 meter panjang.

“Semua ini bukanlah tugas yang mudah. Untuk mengemudi kapal sebesar ini, saya perlu sentiasa peka dan bijak dalam membuat keputusan. Ketepatan menjadi hal yang sangat kritikal dalam membuat keputusan supaya kapal sentiasa dikemudi dalam keadaan selamat.

“Apa lagi kapal sebesar ini memang memerlukan masa yang agak panjang untuk berpusing atau berhenti. Kedalaman laut harus dipantau sepanjang masa untuk mengelak risiko tersangkut pada dasar, terutama apabila menghampiri pelabuhan,” katanya.

Hal paling manis yang tidak mungkin lekang dalam ingatan lelaki ini apabila dia berpeluang menjejakkan kaki ke pelbagai negara setiap kali kapal bersauh di pelabuhan.

“Sepanjang karier daripada kadet hingga bergelar kapten, memang banyak pengalaman menarik. Siapa sangka, pada usia muda, saya sudah menjejakkan kaki ke bandar paling utara di dunia di Norway dan paling selatan di Chile.

“Selain itu, ada satu lagi pengalaman bermakna yang tidak boleh dilupakan. Pernah suatu ketika, kapal yang saya naiki melalui Teluk Aden. Lokasi ini memang cukup terkenal dengan ancaman kegiatan lanun dan rampasan kapal. Bagaimanapun, kami berterima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana menempatkan pasukan khas ketika melalui perairan berkenaan,” katanya tersenyum.

Berkali-kali juga soalan mengapa memilih cabang kerjaya ini ditujukan kepada Muhammad Yussra. Namun, lelaki ini tetap konsisten melontarkan jawapannya. Memang tajaan pendidikan dan tawaran pekerjaan yang membawa dirinya mudik ke laut dan singgah ke pelabuhan.

“Cabang kerjaya ini memang kurang diketahui anak muda. Saya sendiri mendapat peluang untuk mengenali dan meneroka dunia maritim menerusi pengajian di akademi.

“Apabila sudah menceburkan diri, barulah saya bertemu banyak peluang dan pengalaman berharga. Saya dapat menjejakkan kaki ke lebih 25 negara. Ia umpama satu nilai tambah paling menarik dalam bidang kerjaya ini.

“Saya bukan saja dapat mempelajari budaya dan sosioekonomi sesebuah negara dengan lebih dekat, malah berkesempatan menjadi duta kecil untuk mempromosikan negara di mata dunia,” katanya.

Berbeza dengan kebanyakan daripada kita yang bekerja di pejabat, cabaran dihadapi Muhammad Yussra lebih menakutkan. Ada waktunya, dia terpaksa berdepan dengan perubahan cuaca dan taufan tidak menentu. Itu tidak termasuk debarannya setiap kali melalui kawasan lanun dan perairan sibuk seperti di Selat Singapura dan Selat Melaka.

Penguat semangat

“Walaupun demikian, saya tidak mudah gentar. Adanya isteri dan anak di sisi memberi semangat dan kekuatan untuk berdepan masa sukar. Mereka memang saya bawa belayar bersama mengikut syarat ditetapkan syarikat.

“Mungkin orang ramai tidak tahu senario ini. Jadi, timbullah persepsi berjauhan daripada keluarga, berbulan di laut, hilang komunikasi dengan anak dan sebagainya.

“Kalau diikutkan, kebanyakan syarikat perkapalan sudah menyediakan kemudahan Internet untuk keperluan anak kapal. Jadi, tidak timbul soal komunikasi terhalang dan sebagainya.

“Isteri dan anak memang jarang kebosanan. Dia mula ikut saya belayar sejak kami berkahwin. Malah kini dia sudah tahu selok-belok pekerjaan saya. Ada banyak aktiviti di atas kapal. Kami juga berpeluang untuk keluar berjalan-jalan di negara lain setiap kali kapal singgah di pelabuhan. Jadi, bosan itu mungkin tidak ada,” katanya.

Jelas Muhammad Yussra, dia selalu berasakan dirinya bertuah kerana sentiasa ditemani keluarga dalam keadaan susah dan senang. Pengalaman itu katanya, terlalu mahal dan tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

Keluarga di Malaysia pula cukup memahami. Mereka sentiasa menyokong. Cuma, ada waktunya mereka dihantui kebimbangan apabila terdengar berita rampasan kapal oleh lanun dan cuaca yang tidak menentu di laut. Berkat doa dan ingatan mereka jugalah saya berjaya ke tahap ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 12:35pm
d